Wednesday, May 9, 2012

Durian runtuh Felda sepatutnya lebih dari RM38,000 - Husam Musa

KOTA BHARU: Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa, menyifatkan durian runtuh kepada peneroka sebanyak RM15,000 terlalu kecil jika dibandingkan dengan keuntungan yang diperolehi.

Katanya, RM15,000 hanyalah pulangan hak pada mereka ke atas kehilangan ladang komersial yang sebelum ini menjadi sumber dividen tahunan.

"Felda memberikan dividen yang tertinggi di Negara ini, iaitu 15 peratus setahun kepada peneroka, iaitu hasil ladang komersial  yang tidak ada peneroka.

"Ladang komersial itu diagihkan dalam bentuk dividen kepada peneroka sebanyak 15 peratus seorang setiap tahun,"ujarnya lagi.

Dakwa Husam lagi, apabila peneroka diberikan RM15,000 ini mereka tidak lagi menikmati dividen tahunan seperti mana sebelum ini kerana ladang berkenaan telah menjadi milik Felda Golden Vantures Holding Bhd (FGVH).

"Tukaran dari hak milik tersebut terlalu kecil. Saya ingat durian runtuh ini RM38,000 ke atas bersekali dengan saham peneroka dalam syarikat FGVH yang disenaraikan,"ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung 'durian runtuh' sebagaimana yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak di hadapan warga peneroka, di Felda Jengka 8, Jerantut, Pahang semalam.

Tambah Husam yang juga anggota exco kerajaan negeri Kelantan, apa yang dipersoalkan kenapa durian runtuh yang dimaksudkan itu terlalu kecil, malah beliau tidak bersetuju dengan jumlah itu.

"Sepatutnya dengan hak yang dilepaskan oleh peneroka itu mereka seharusnya mendapat jumlah yang lebih besar daripada apa yang diberikan,"ujarnya.

Tambahnya, jika dinilai dari RM15,000 untuk diagihkan kepada semua peneroka hanya melibatkan jumlah RM500 juta.

Beliau menambah, sedangkan pada awalnya jumlah pendapatan yang wajar diperolehi melalui durian runtuh sebanyak RM2 bilion.

"Jadi saya nak tanya Perdana Menteri ke mana perginya wang sebanyak RM1.5 bilion lagi. Kenapa mereka hanya diberikan RM15,000 dan bukannya RM38,000 sebagaimana yang diwar-warkan sebelum ini?,"soalnya.

Sehubungan itu, beliau menyifatkan durian runtuh hanya runtuhnya sebela dahan sahaja, selebihnya tidak boleh dimakan.

Beliau berkata demikian sewaktu sidang medianya di JKR 10 selepas mesyuarat Dewan Harian PAS Kelantan, di sini, semalam.

No comments:

Followers