Thursday, May 17, 2012

Dewan Ulamak Pas Perak mengulas kenyataan Harussani 'Pas salah guna Islam'

Dewan Ulamak Negeri Perak ingin memberikan ulasan mengenai kenyataan Tan Sri Dato' Seri Haji Harussani Zakaria, Mufti Kerajaan Negeri Perak yang disiarkan dalam Berita Harian, Isnin, 14 Mei 2012H / 22 Jamadilakhir 1433H.  Walaupun menyedari bahawa terdapat kemungkinan sebahagian daripada yang disiarkan mungkin tidak sebagaimana yang diucapkan sebagaimana kenyataan-kenyataan beliau yang terdahulu namun bagi pihak PAS Perak amat perlu menjelaskan bebarapa perkara yang mungkin akan mengelirukan Umat Islam yang tidak memahami hakikat yang sebenar.

Kenyataan beliau yang mengatakan bahawa Perjuangan PAS kini sudah menyeleweng daripada matlamat asal serta menyalahgunakan Agama Islam demi kuasa dan kerusi politikadalah merupakan tuduhan melulu jika tidak diasaskan kepada kajian dan pembuktian yang lengkap. Adakah beliau benar-benar memahami matlamat asal PAS dan sudut manakah yang sudah diselewengkan. Adakah beliau merasakan PAS melakukan sesuatu sesuka hati sedangkan Pas dikawal oleh Majlis Syura Ulama yang dianggotai oleh para ulamak yang berwibawa dan setaraf dengan barisan para mufti di negara ini.

Saranan agar Majlis Fatwa Kebangsaan membincangkan kewajaran parti itu menggunakan perkataan Islam dalam nama  parti adalah merupakan satu saranan yang hanya akan membuktikan Majlis tersebut hanya mengikut telunjuk UMNO. Ini kerana bukan hanya PAS sahaja yang menggunakan nama Islam di negara ini. Apakah badan-badan lain termasuk Jabatan Kemajuan Islam dan Jabatan Agama Islam wajar menggunakan perkataan Islam sedangkan sebahagian daripada tindakan agensi kerajaan ini juga tidak terlepas daripada kesilapan dan dikritik oleh cendiakawan Islam sehingga menjejaskan nama baik Islam. Kenapa tidak beliau menyarankan agar tindakan ini dimulakan dengan badan seperti Sister In Islam yang dengan jelas dianggap oleh beliau selama ini sebagai memusuhi Islam.

Gesaan beliau "kepada ahli dan penyokong PAS, khususnya yang fanatik dan taksub segera kembali kepada ajaran Islam sebenar dan berfikiran waras" tidak mencerminkan keadaan yang sebenar. Apakah salah bagi seseorang individu Muslim fanatik dan taksub kepada perjuangan menegakkan Syariat Islam keran itulah sebenarnya ajaran Islam.Bukankah semua Muslim diperintahkan agar menerima Islam sepenuhnya termasuk perlaksanaan Undang-Undang Jenayah Islam sebagaimana yang diperjuangkan oleh Islam. Bukankah lebih wajar beliau menggesa ahli dan penyokong UMNO yang berterusan mentaati pemimpin mereka yang berterusan mencari alasan untuk tidak melaksanakan ajaran islam sepenuhnya.   

Dewan Ulamak PAS tidak bersetuju dengan dakwaan beliau bahawa perpecahan Umat Islam adalah disebabkan oleh sifat dengki, tamak, mengejar pangkat dan kedudukan di kalangan pemimpin parti politik yang kononnya memperjuangkan Islam. Perpecahan Umat Islam sebenarnya adalah disebabkan sebahagian daripada mereka yang mengaku sebagai Islam tetapi tidak mahu patuh sepenuhnya dengan Syariat Islam. Mana mungkin kita mahu mengajak para pejuang Islam meninggalkan Syariat Islam semata-mata untuk menyatukan umat.

Keputusan  Majlis Fatwa Kebangsaan yang mengharamkan Himpunan Bersih 3.0, adalah amat jelas dibuat sebelah mata kerana tidak ada seorangpun wakil penganjur yang diambil keterangan mengenainya. Kerosakan harta benda dan kecederaan orang ramai boleh dielakkan jika pihak berkuasa melaksanakan tanggungjawab mereka bagi mengawal keadaan, bukan menambahkan provokasi sehingga menimbulkan suasana tegang. Apakah beliau yakin terdapat niat di pihak penganjur untuk menjatuhkan kerajaan.  

Dalam Islam ulamak juga berselisih pandangan mengenai hukum menjatuhkan kerajaan yang sah walaupun kerajaan diperintah oleh pemimpin Islam yanmg fasik selagi pemerintah menjaga kebajikan umat Islam. Apakah beliau begitu pasti pemerintah negara ini benar-benar menjaga kebajikan Umat Islam ataupun hanya menjaga kebajikan Umat Islam yang menjadi penyokong tegar mereka semata-mata. Peserta Bersih 3.0 yang hanya datang berbekalkan garam dan tuala kecil amat jauh untuk diistilahkan sebagai " bughah atau pemberontakan melampau yang menghancurkan negara, sekaligus membolehkan pemberontak dihukum bunuh" kerana ulamak mensyaratkan bagi kes Bughah yang boleh di hukum bunuh mestilah pemberontakan tersebut mempunyai kekuatan dan bersenjata.

Oleh yang demikian, Dewan Ulamak  PAS Negeri Perak menasihatkan agar  Tan Sri Dato' Seri Haji Harussani Zakaria kembali kepada fungsi dan peranan beliau yang asal sebagai Mufti yang bertanggungjawab menasihati kerajaan agar tunduk kepada kehendak Allah. Oleh kerana beliau tidak memahami situasi politik semasa yang begitu mencabar, beliau perlu mengurangkan ulasan berkaitan politik yang hanya memberi ruang kepada musuh-musuh Islam untuk menyalahgunakan kenyataan beliau. Jika beliau terus dengan sikap berat sebelah seperti ini maka kepercayaan Umat Islam terhadap beliau akan beransur terhakis dan kegemilangan beliau sebagaimana dahulu yang dihormati sebagai seorang ulamak yang berani dan bijaksana tidak akan dapat dikembalikan buat selama-lamanya. 

Ustaz Ibrahim Zakaria

( Naib Ketua Dewan Ulama' PAS Perak )

http://perak.pas.org.my/

No comments:

Followers

Video ajijoi

Loading...