Monday, May 7, 2012

Penjelasan Pesuruhjaya Pas Perak terhadap ulasan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan

Bagi saya ulasan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan perlukan beberapa perincian bagi mengelakkan fitnah dan tuduhan melulu.

Mereka memutuskan bahawa haram untuk umat Islam menyertai perhimpunan atau demonstrasi yang bertujuan tidak baik, melanggar undang-undang serta mencetuskan huru-hara dan kekacauan dalam negara. Keputusan ini dibuat selepas Perhimpunan Bersih 3.0 baru-baru ini.

 Saya sebagai Pesuruhjaya PAS Perak ingin menjelaskan bahawa menyertai Bersih 3.0 tidaklah diharamkan kerana :

1.     Bertujuan yang baik, iaitu mencari keadilan dan demokrasi yang telus. Ia disebabkan penyelewengan yang dilakukan oleh SPR dan pihak kerajaan.

2.     Tidak melanggar undang-undang, antaranya peserta tidak memasuki kawasan larangan berhimpun dan sebagainya.

3.    Tidak mencetuskan huru hara, sebaliknya yang mencetuskan huru hara tersebut adalah pihak polis yang menyerang, menangkap dan memukul peserta Bersih 3.0 tanpa sebarang sebab.

Maka, berdasarkan keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan, sepatutnya Perhimpunan Bersih 3.0 tidak sepatutnya dianggap sebagai haram.

Mereka menyatakan lagi bahawa tindakan merusuh, membawa kacau bilau dan merosakkan harta benda awam adalah suatu perbuatan yang ditegah Islam. Malah niat untuk menjatuhkan negara yang sah di sisi undang-undang melalui penganjuran demonstrasi seumpama itu juga haram di sisi agama.

Mereka juga menyatakan bahawa sesiapa juga tidak boleh buat, tidak boleh bersetuju ke arah usaha mendatangkan kemudaratan, keresahan, menjadikan rusuhan sesama kita hingga berpecah, apatah lagi kalau berlaku pertumpahan darah.

Kebanyakan mereka ini sepatutnya dituju kepada pihak polis yang membelasah peserta Bersih 3.0, dan pihak-pihak yang menghantar SB untuk menimbulkan provokasi. Sepatutnya Majlis Fatwa Kebangsaan perlu mengatakan "haram" terhadap tindakan kasar polis dan pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab menghantar SB, bukan kepada mereka yang ingin menuntut keadilan dan ketelusan dengan cara "duduk dan bantah".

Seterusnya Prof Emeritus Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin, Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan menyatakan lagi bahawa larangan menunjukkan sokongan dan simpati kepada mereka yang menyokong LGBT. Sepatutnya mereka perlu faham bahawa kerajaan juga pernah meluluskan Konsert Adam Lambert, yang membawa ikon gay pada 14 Oktober 2010. Kenapakah Majlis Fatwa Kebangsaan tidak tegas dan lantang dalam isu ini? Sebaliknya, apabila timbul isu dalam Pakatan Rakyat, mereka timbul untuk mengulas isu ini.

Kita perlu faham, PAS tidak pernah menyokong hubungan sejenis, bahkan PAS membantah Konsert Adam Lambert yang mengetengahkan seorang ikon gay. Dalam isu Bersih 3.0, PAS menyokong tuntutan supaya telus dan adil dalam pilihanraya. Perkara ini perlu difahami oleh Majlis Fatwa Kebangsaan, supaya tidak mengeluarkan fatwa membuta tuli tanpa memahami realiti.

Saya harap, pihak Majlis Fatwa Kebangsaan perlu bertaqwa kepada Allah sebelum mengeluarkan sebarang hukum. Kalian akan dihadapkan di hadapan Allah yang berkuasa menentukan hukum haram atau halal.

Ustaz Abu Bakar Hussian

( Pesuruhjaya PAS Perak )


No comments:

Followers

Video ajijoi

Loading...