Tuesday, March 1, 2011

Pas punya banyak isu untuk dibongkar di Kerdau



Kenyataan Media Pengarah PRK Kerdau - 01 Mac 2011


Dakwaan Menteri Besar Pahang bahawa PAS tidak punya isu dalam PRK N28 Kerdau ternyata adalah satu kenyataan yang cukup meleset. Semalam, kami telah mengemukakan sekaligus mendedahkan pelbagai kebejatan serta ketempangan pengurusan pentadbiran kerajaan negeri di bawah kepimpinan beliau. Kami akan terus membuat asakan tentang beberapa lagi kepincangan ini termasuk syarikat-syarikat yang menyaman kerajaan negeri atas pelbagai dakwaan pelanggaran perjanjian kontrak dalam urusan pembalakan dan perlombongan yang berjumlah hampir RM300 juta.

Hari ini kami mahu mendedahkan pelbagai perlakuan salah guna kuasa pemimpin Umno/BN Pahang khususnya dalam tempoh berkempen di PRK N28 Kerdau ini serentak menggambarkan betapa tertekannya Umno berhadapan dengan rakyat yang lebih matang dan bermaklumat. Pendedahan ini juga membuktikan bahawa DUN Kerdau jauh terpinggir dalam arus pembangunan negara.

Justeru kerana kegagalan merancang pembangunan secara bersistematik, maka Perdana Menteri dan Menteri Besarnya amat tertekan sehingga sanggup mengisytiharkan projek luar kawasan mengundi diresmikan dalam kawasan mengundi.

Janji yang dibuat dalam pilihanraya kecil Sanggang pada tahun 2000 bagi membekalkan air bersih di kampong orang Asli Paya Sendayan gagal ditunai sehingga kini. Pada PRK kali ini, PM sekali terpaksa menjanjikan peruntukan RM9.25juta bagi menaikan taraf loji air Batu Sawar. Tindakan membekalkan air 3 hari sekali yang sedang berjalan adalah gambaran sebenar pengabaian nasib rakyat yang kini mahu dipancing undi mereka.

Maka tepatlah tuduhan rasuah dan membeli undi rakyat oleh pimpinan tertinggi Umno/BN apabila Perdana Menteri sendiri melakukannya dihadapan umum tanpa segan silu dengan menyatakan bahawa ”Saya bukanlah hendak membeli undi. TETAPI kalau kamu menyokong kami (BN), saya akan tambah lagi peruntukan esok atau lusa. Dengan syarat kamu tunjukkan sokongan kepada BN terlebih dahulu”.

Ucapan ini mengingatkan rakyat apa yang juag diucapkan oleh Perdana Menteri dalam PRK Sibu dengan kata-kata rasuah beliau ”You help me, I help you!”. Sebagaimana pengundi di Sibu bijak menilai lantas menolak sogokan tersebut dengan terus memberi undi kepada calon Pakatan Rakyat, demikian juga harapan kami kepada pengundi DUN Kerdau.

Kerana terdesak bagi mendapat undi kaum Cina, India dan kaum asal, PM secara terbuka meluluskan peruntukan RM400,000 untuk Dewan Terbuka Kampong Seri Kerdau, RM150,000 untuk Balai Bomba sukarela dan RM100,000 untuk Kuil Hindu. Ini tidak termasuk pemberian berbentuk hampers dan makanan yang diedar di kampong Baru Kerdau oleh Menteri Kesihatan sebagaimana dilaporkan oleh RTM.

Keseluruhan peruntukan yang diisytiharkan oleh Perdana Menteri adalah melebihi RM10juta yakni 10 kali ganda peruntukan sebenar pembangunan di setiap parlimen. PAS mengharapkan satu tindakan tegas mesti diambil oleh pihak SPRM dan SPR yang terang-terangan bertentangan dengan peruntukan Akta Kesalahan (Penjalanan) Pilihanraya (1960).

Sehubungan dengan ini, Dewan Pemuda PAS negeri akan membuat laporan Polis, SPRM dan SPR atas pelanggaran Akta Pilihanraya.

Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man
Naib Presiden PAS,
Pengarah Pilihanraya N.28 Kerdau
01 Mac 2011

No comments:

Followers