Showing posts with label prk. Show all posts
Showing posts with label prk. Show all posts

Saturday, April 16, 2011

Rakyat Sarawak mula undi tentukan mandat kerajaan negeri

KUCHING, 16 April — Lebih 970,000 rakyat Sarawak mula keluar mengundi, sejak 8 pagi tadi, di 71 kerusi Dewan Undangan Negeri dalam pilihan raya negeri ke-10 — yang digambarkan paling sengit dalam sejarah bumi Kenyalang ini.

Pengundian akan ditutup secara berperingkat-peringkat pada pukul 5 petang ini.

Keseluruhan keputusan akan diketahui menjelang 11 malam ini.

Pilihan raya kali ini juga menyaksikan peningkatan jumlah pengundi dengan 1,748 pusat mengundi dibuka di seluruh negeri itu.

Semalam, Suruhanjaya Pilihan Raya menjangkakan peratusan pengundian antara 65 hingga 75 peratus daripada 979,796 pemilih berdaftar.

Peratusan pengundian pada 2006 ialah 63.2 peratus. Seramai 213 calon bertanding merebut 71 kerusi. Pada kali ini, BN bertanding dan menghadapi saingan di kesemua 71 kerus dengan calon-calon daripada parti komponen BN negeri yang diterajui Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud iaitu Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRK) dan Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP).

Pada 2006, BN menguasai 62 kerusi pada hari pengundian dan kemudiannya, seorang wakil rakyat dari Parti Kebangsaan Sarawak (Snap) menyertai komponen itu yang membolehkan BN menguasai 63 kerusi dalam Dewan Undangan Negeri sebelum pembubarannya.

Seramai 18,363 pemilih telah mengundi secara pos pada Rabu dan Khamis lalu.

Sebanyak 27 kawasan menyaksikan pertandingan satu lawan satu, 23 kawasan (tiga penjuru), 17 (empat penjuru), dua (lima penjuru) manakala dua lagi (enam penjuru).

Pada 2006, pembangkang menawan lapan kerusi dengan enam daripadanya dimenangi DAP yang sebelum itu dikuasai SUPP.

DAP adalah anggota Pakatan Rakyat (PR) dan bertanding di 15 kerusi majoriti Cina dan campuran Cina-Iban. Dua lagi anggota PR ialah Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang bertanding di 49 kerusi majoriti Melayu/Melanau dan Dayak, dan PAS di lima kawasan Melayu.

Turut bertanding ialah Snap di 26 kerusi majoriti Dayak, Parti Cinta Malaysia (PCM) di enam kawasan Bumiputera dan 41 calon Bebas. Kumpulan calon Bebas termasuklah 15 calon daripada parti yang masih belum berdaftar, Parti Ekonomi Rakyat Sarawak Bersatu (PERSB), menggunakan simbol kapal terbang dan sembilan anggota PKR yang telah dipecat daripada parti selepas memilih untuk bertanding atas tiket Bebas.

Dua calon Bebas yang popular ialah Datuk Salleh Jafaruddin, dua pupu Taib, yang akan mencabar Ketua Menteri itu dalam pertandingan tiga penjuru di DUN Balingian, dan peguam Dominique Ng, yang mahu mempertahankan kerusi DUN Padungan di Kuching selepas beliau diketepikan oleh PKR walaupun merupakan satu-satunya calon PKR yang menang pada 2006.

-malaysianinsider

Monday, April 11, 2011

Laman berita dan blog alternatif bakal diserang menjelang PRN Sarawak

Petaling Jaya: Laman pemecah berita, blog aktivis dan beberapa surat khabar online sedang 'crashing' menjelang berlangsungnya pilihanraya negeri Sarawak.

Cybertroopers Barisan Nasional mungkin sedang menjalankan kerja mereka, kata Presiden National Union of Journalists (NUJ) Hata Wahari. Dan Centre of Independent Journalism juga dicurigai sama.

"Serangan-serangan cyber telah berlangsung sejak seminggu yang lalu," ujar Hata hari ini. "Kita telah melihat laman-laman seperti TV Selangor dan lain-lain yang terjejas.

"Saya kira ada perang cyber terjadi kerana orang mencari maklumat tentang Sarawak."

Sarawak Report, sebuah laman popular yang didedikasikan untuk mendedahkan korupsi Ketua Menteri Sarawak Abdul Taib Mahmud, dan juga laman-laman penting seperti Radio Free Sarawak, Dayak Baru dan blog Anil Netto's semuanya telah diserang.

Sebahagian besar masih 'down' semasa laporan ini ditulis.

Hata mendakwa bahawa serangan itu sebahagian daripada strategi kerajaan untuk memaksa rakyat Malaysia hanya berharap kepada media BN untuk mendapatkan berita.

"Ketika orang tidak bisa mengakses halaman-halaman ini, dan mereka memerlukan maklumat, mereka terpaksa harus bergantung pada media perdana," katanya.

"Saya diberitahu bahawa semua surat khabar di Sarawak menyiarkan hanya hal-hal baik yang dilakukan oleh kerajaan di sana."

Dia bimbang bahawa pola suara akan terjejas.

Waktu yang mencurigakan

Pegawai Eksekutif CIJ Masjaliza Hamzah mengatakan waktu serangan membuatkan mereka merasa curiga.

"Mereka mencipta kecurigaan pada orang-orang yang mengharapkan Internet untuk berita alternatif," katanya.

Beliau menjangkakan lebih banyak lagi laman internet yang akan mengalami gangguan dalam beberapa hari akan datang.

"Saya fikir jika anda mengutarakan pandangan alternatif, kemungkinan untuk anda diserang adalah cukup tinggi," katanya.

Pemilik Sarawak Report, Rewcastle Clare Brown semalam memberitahu FMT bahawa laman itu dilanda serangan Distributed Denial of Service (DDoS), seperti yang berlaku kepada Wikileaks Whistleblower antarabangsa.

Masjaliza mencadangkan agar laman berita dan blog alternatif untuk menambahkan langkah-langkah keselamatan mereka.

diterjemah daripada Free Malaysia Today

Kejutan 'tsunami' dari Bumi Kenyalang


11 APRIL — “Tak payah lah you orang gempur Sarawak kuat-kuat, BN mesti menang punya,” kata seorang Timbalan Menteri kepada sekumpulan Ahli Parlimen (MP) Pakatan Rakyat ketika minum-minum di lobi Parlimen.

“Mana you tau BN mesti menang?” tanya seorang MP.

“Mestilah menang BN kuat punya, kita control Sarawak majoriti lebih dua pertiga,” kata Timbalan Menteri bukan daripada Umno tersebut.

“You tengok Selangor, Perak, Pulau Pinang, Kedah, you fikir BN boleh kalah ke?” lantas seorang MP yang lain menghujah.

Dahi Timbalan Menteri itu terus berkerut. Beliau terdiam seketika. “Itu cerita lain,” katanya sambil terus berlalu dari situ.

Dari raut wajahnya ketika terpingga-pingga akibat “pukulan” hujah simple MP Pakatan Rakyat.

Beliau terpingga-pingga kerana hampir ke semua negeri yang dimenangi Pakatan Rakyat, dikuasai penuh oleh BN. Lebih dua pertiga majoriti. BN juga tidak pernah mimpi untuk tewas di negeri-negeri tersebut.

Tsunami politik 2008 (bagi kerusi DUN) tidak berlaku di Sarawak kerana Pilihan Raya Negeri diadakan secara berasingan. BN Sarawak bagaimanapun menerima kejutan pertama selepas tewas kepada DAP dalam PRK Sibu.

Maknanya, penolakan rakyat terhadap BN masih boleh berlaku. Mungkin pada pendapat yang berbeza, BN Sarawak tidak mungkin tewas kerana perbezaan besar etnik, sosio budaya dan demografi daripada Semenanjung.

Harus diingat, kaum Melayu bukan kaum majoriti di Sarawak. Dalam masa yang sama kaum Tionghoa dan Iban secara majoritinya menolak BN dan Tan Sri Taib Mahmud.

PAS dan rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat, sudah mula turun ke Sarawak sejak sebelum hari penamaan calon.

Agak mengejutkan apabila rakyat Sarawak memberikan sambutan yang memberangsangkan kepada Pakatan Rakyat. Apabila kenderaan yang memasang bendera PAS, KeADILan dan DAP, rakyat akan menyambutnya dengan hebat. Mereka membunyikan hon, melambai tangan, bertepuk tangan dan ada di antara mereka bersorak.

Mereka bersorak kerana gembira mereka sudah mempunyai alternatif untuk menggantikan pemerintahan BN.

Malah di rumah-rumah panjang pun, walaupun yang datang berkempen di kalangan MP Pakatan Rakyat yang tidak dikenali, mereka berjaya menghimpunkan empat lima ratus orang.

Malah di sesetengah rumah panjang, mereka sanggup menunggu kedatangan sehingga dua tiga pagi.

Fenomena seperti ini tidak pernah berlaku dalam pilihan raya yang lepas-lepas. Kebiasaannya rakyat Sarawak agak pesimis dengan golongan pembangkang.

Kebanyakan mereka tinggal di kawasan pedalaman, tiada bahan komunikasi, tiada surat khabar, tiada televisyen.

Walaupun media talibarut BN seperti RTM, TV3, Utusan Malaysia, Berita Harian, apa sahaja pun kempen BN dipaparkan, hanya untul “halwa” penyokong BN di Semenanjung sahaja. Tidak lebih daripada itu.

Hakikat yang berlaku jauh daripada gambaran media talibarut BN. Sambutan rakyat kepada kempen calon-calon Pakatan Rakyat amat luarbiasa dan kita amat mengharapkan ianya diterjemahkan dalam bentuk undi.

Bagi kaum Tionghoa pula, mereka menggelar Taib Mahmud sebagai “Pek Mo” atau orang yang berambut putih. Mereka enggan menyebut nama Taib, mereka begitu muak dengan Taib dan BN. Dalam mana-mana ceramah Pakatan Rakyat, bila penceramah menyebut sahaja “Pek Mo” mereka akan bangun menyorak, menunjukkan kebencian terhadap Taib yang begitu tinggi.

Namun di sebalik ini semua, kita harus akui bukan mudah untuk menumbangkan Taib dan BN.

Kerusi Dewan Undangan Negeri ada 71, maknanya hendak mendapat majority mudah Pakatan Rakyat harus menang 37 kerusi.

Tetapi segalanya tidak mustahil. Setakat ini diunjurkan Pakatan Rakyat boleh menang antara 13 hingga 25 kerusi DUN. Jumlah ini sudah cukup untuk menafikan dua pertiga majoriti BN. Jika jumlah ini diperolehi, ia sudah cukup untuk membuatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menarik handbrake. PRU tidak ada tahun ini, mungkin 2013.

Pada penulis, Pakatan Rakyat harus berfikir lebih jauh kehadapan. Bukan setakat menafikan dua pertiga majoriti, mana tahu rakyat Sarawak berani melakukan perubahan seperti rakan-rakan di Selangor, Perak, Pulau Pinang dan Kedah.

Maka kita harus bersedia untuk menyusun bakal Ketua Menteri yang baru, barisan exco. Dan yang terutama sekali menjaga ADUN-ADUN supaya mereka tidak dibeli oleh Taib Mahmud.

Kekayaan Taib Mahmud amat luarbiasa. Adik ipar bekas PM British, Claire Rewcastle yang mengendalikan kempen anti-Taib Mahmud di London, mendakwa Ketua Menteri Sarawak itu merupakan antara individu yang terkaya di dunia. Melebihi kekayaan Sultan Brunei dakwanya.

“Siasatan saya mendapati sebahagian harta kekayaan Taib terdapat di London, dalam industri hotel,” kata Claire.

Selain daripada di United Kingdom, Taib juga dikatakan mempunyai aset di Amerika Syarikat dan Kanada.

Daripada mana kekayaan beliau diperolehi jika tidak dengan “merompak” harta rakyat? Beliau dikatakan mempunyai aset puluhan bilion.

Apa yang kita bimbangkan ialah, hasil daripada kekayaan yang luarbiasa ini, Taib dan BN berkemampuan membeli ADUN-ADUN Pakatan Rakyat, sebagaimana yang dilakukan oleh Umno, yang membeli beberapa orang “katak” daripada KeADILan.

Ada kalangan MP di Parlimen mengandaikan, setakat RM10 juta seorang untuk dibeli begitu “kacang” buat Taib yang kaya raya itu.

Dalam waktu sekarang ini bagaimana duit-duit Taib dari luar negeri hendak dibawa masuk? Ada sumber mendakwa, kemungkinan duit-duit kotor ini akan dibawa masuk melalui Labuan, dibawa ke Sabah dan melalui jalan darat ke Limbang.

Labuan dikenali sebagai kawasan International Offshore Financial Centre. Walaupun ia gagal dijadikan lokasi pengurusan dana kewangan pesisir antarabangsa, namun ia boleh digunakan sebagai laluan keluar masuk wang tunai dari luar negara.

Pada waktu ini sukar untuk dikesan bagaimana wang-wang untuk merasuah rakyat bagi mengundi BN dibawa masuk. Mungkin selepas ini MP Pakatan Rakyat boleh mengusulkan di Parlimen, untuk dilakukan siasatan dan kajian yang mendalam.

Kita harus meragui segala kemungkinan kerjasama antara Ketua Menteri Sarawak, PM, Menteri Kewangan dan Bank Negara dalam membawa masuk wang-wang haram ini.

Apa pun kita harus memuji keberanian rakyat Sarawak yang gigih melawan arus sogokan daripada BN. Rakyat Sarawak sudah memberi pukulan pertama kepada BN, iaitu tiada kerusi dimenangi secara percuma (menang tanpa bertanding), seperti pilihan raya sebelum ini.

Penulis mendapat khabar, sebelum ini BN menjangkakan menang percuma 10 kerusi DUN pada hari penamaan. Namun jangkaan tidak jadi kenyataan. Sebaliknya jika SPR tidak memihak kepada BN, sudah pasti PAS akan menang kerusi DUN Muara Tuang.

Rakyat Malaysia di seluruh negara, bersama-sama dengan rakyat di Sarawak, mereka menantikan perubahan. Mereka mahu melihat BN tumbang di Sarawak. BN tiada jalan lain untuk terus memerintah, selain daripada menipu dan merasuah pengundi.

Kita doakan moga rakyat Sarawak kental. Moga mereka tidak tewas dengan sogokan. Moga “tsunami” benar-benar berlaku, moga ia menjadi isyarat BN akan terkubur. Kita menanti isyarat tsunami dari Bumi Kenyalang. — Mohd Rashidi Hasan - harakahdaily.net

PRU-13 waktu cuti sekolah bulan Jun?

Pilihanraya Umum ke-13 dijangka akan diadakan pada bulan Jun diwaktu cuti sekolah pertengahan tahun untuk kemudahan penggunaan sekolah sebagai tempat pembuangan undi.

Desas-desus tersebut yang telah lama berlegar, kini dikuatkan lagi dengan surat-surat pekeliling yang dihantar kesekolah-sekolah untuk mempercepatkan ujian dan peperiksaan serta tidak menyewakan dewan sekolah untuk tempoh waktu tersebut.

Walau apapun yang dijangkakan, keputusan pilihanraya negeri Sarawak tetap memainkan peranan penting dalam menentukan sama ada BN berani membubarkan parlimen dan berdepan dengan kuasa pilihan rakyat.

Sekolah terima notis awalkan peperiksaan, petanda PRU-13?

KUALA LUMPUR, 11 April — Di sebalik desas-desus kemungkinan pilihan raya umum ke-13 akan diadakan tahun ini, laporan media menyebut sudah ada notis meminta peperiksaan sekolah-sekolah kerajaan pertengahan tahun ini dipercepatkan — dipercayai sebahagian persiapan menghadapi hari pengundian kelak.

Laporan Sin Chew Daily hari ini menyebut, satu notis kerajaan persekutuan telah diedarkan meminta sekolah agar mempercepatkan peperiksaan supaya pilihan raya umum ke-13 boleh diadakan Jun atau Julai ini, bergantung pada keputusan pilihan raya negeri Sarawak yang sedang berlangsung sekarang.

Akhbar itu berkata beberapa sekolah di Negeri Sembilan telah menerima notis dan peperiksaan mesti diadakan bulan depan dan dewan sekolah pula tidak boleh disewa kepada awam mulai Jun dan bulan seterusnya.

Penganalisis dan pemerhati melihat pilihan raya paling cepat akan diadakan pada Jun atau Julai atau pada Oktober memandangkan Ogos dan September merupakan bulan Ramadan dan sambutan Aidilfitri manakala November umat Islam akan menunaikan haji.

Pengetua sebuah sekolah rendah kebangsaan Cina di Selangor berkata notis pemberitahuan seumpama itu biasa dihantar oleh Kementerian Pelajaran sebulan atau dua bulan sebelum pilihan raya umum diadakan walaupun tiada sebab yang dinyatakan.

“Tapi notis seperti ini boleh menjadi petunjuk pilihan raya dan biasanya ia tepat,” kata pengetua yang enggan namanya didedahkan.

Menurut Sin Chew Daily lagi, setakat ini sekolah yang menerima notis pemberitahuan itu tidak banyak dan pilihan raya umum akan diadakan berpandukan sokongan rakyat terhadap Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya negeri Sarawak.

Pengundian pilihan raya negeri Sarawak diadakan 16 April ini.

Pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat mengakui BN itu akan berjaya mempertahankan Sarawak namun ramai yang percaya kedudukan kerusi Dewan Undangan Negeri BN akan berkurangan.

Kini, BN Sarawak yang dipimpin Tan Sri Abdul Taib Mahmud mempunyai 63 kerusi di Dewan Undangan Negeri manakala DAP enam, PKR dan Parti Cinta Malaysia masing-masing satu.

Dalam temu bual dengan Reuters awal bulan ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata keputusan pilihan raya negeri Sarawak pertengahan bulan ini akan digunakan sebagai “ukuran” untuk menentukan tarikh pilihan raya umum ke-13 — sama ada dipercepatkan ataupun sebaliknya.

Pengerusi BN itu berkata kerajaan akan memutuskan masa yang sesuai bagi pilihan raya umum selepas pilihan raya negeri Sarawak.

Jangan hanya janji, umumkan tarikh dan pengganti Taib

KUCHING, 11 April – Parti Keadilan Rakyat (PKR), satu lagi komponen Pakatan Rakyat menggesa Datuk Seri Najib Razak agar mengumumkan tarikh Tan Sri Abdul Taib Mahmud akan melepaskan jawatan ketua menteri dan bakal penggantinya.

Pagi tadi, DAP meminta ketua menteri paling lama itu melepaskan jawatannya sekarang.

Petang ini, Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim (gambar) menolak keikhlasan Najib dengan menyifatkan janji Pengerusi BN itu sebagai “satu lagi gimik politik untuk mengkaburi penilaian rakyat.”

Anwar meramalkan Najib akan gagal menunaikan janjinya meskipun beliau merupakan perdana menteri dan pengerusi BN.

Katanya, Najib tiada pengaruh ke atas Taib yang tidak pernah tunduk kepada pemimpin berpengaruh seperti Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini.

“Janji ini pernah dibuat sebelum ini, jadi sama ada Dr Mahathir berbohong atau beliau tiada kapasiti untuk mengatasi pengaruh Taib,” kata Ketua Umum Pakatan Rakyat yang merujuk kepada kegagalan Dr Mahathir untuk memastikan Taib berpegang kepada janji yang sama 16 tahun lalu.

“Ini ulangan kepada apa yang berlaku sebelum ini,” kata Anwar sambil menambah, beliau yakin Najib tidak akan menunaikannya.

“Jika beliau serius dan bertekad untuk melakukannya, beliau perlu membuat pendirian sekarang... bila Taib akan meletakkan jawatan dan siapa yang akan mengambil alih,” kata Anwar lagi.

Dalam pada itu, ahli jawatankausa kerja PAS pusat Datuk Husam Musa pula menyifatkan kenyataan Najib semalam mencerminkan satu sandiwara Perdana Menteri untuk mengaburi mata rakyat.

“Jika beliau benar-benar serius dalam perkara ini, Perdana Menteri harus terus menamakan pengganti yang telah dipersetujui oleh Tan Sri Taib untuk mengambil alih tampuk pentadbiran negeri.

“Tan Sri Taib Mahmud telah pun mengeluarkan kenyataan untuk berundur daripada jawatan Ketua Menteri sewaktu pilihanraya 2006 tetapi sehingga sekarang masih belum melakukannya,” kata beliau yang juga Exco Kerajaan Negeri Kelantan.

Kini, kata Husam, janji tersebut diulang tayang semula kepada rakyat Sarawak sebagai harapan palsu bahawa perubahan akan berlaku.

“Ketua Menteri yang ada kini sudah terlalu lama memerintah.

“Beliau gagal membersihkan diri dari isu-isu mengaut kekayaan melalui jawatannya, anak-anaknya, kronisme dan penggondolan hutan semula jadi Sarawak dan membiarkan sebahagian besar rakyat Sarawak tertinggal dalam kemunduran, kemiskinan dan suasana terancam,” kata beliau.

Husam juga berkata, sekalipun isu-isu rakyat Sarawak bukan sekadar berbangkit dari cara pemerintahan Taib yang berkisar kepada pengkayaan kroni tetapi lebih kepada dasar-dasar BN Sarawak yang telah terlalu lama memerintah, namun pengunduran Taib adalah sangat perlu untuk perubahan.

“Justeru itu, untuk mengelakkan Tan Sri Taib membina dinasti keluarga dengan menamakan adik beliau, Datuk Seri Muhamad Ali Mahmud, Perdana Menteri harus menamakan pengganti Tan Sri Taib sebelum hari pengundian.

“PM dilihat memberikan restu untuk Tan Sri Taib sekali lagi menjadi Ketua Menteri Sarawak dengan membelakangkan tuntutan perubahan oleh majoriti rakyat Sarawak dengan mengizinkan beliau bertanding semula,” katanya lagi.

Kata Husam, perdana menteri dengan itu telah bersekongkol mengizinkan penindasan yang dilakukan oleh BN Sarawak ke atas rakyat Sarawak berterusan dan lebih mengutamakan perasaan individu pemimpin dari suara hati rakyat terbanyak Sarawak.

Suhu politik Sarawak menggelegak, ceramah Pakatan jadi tumpuan

Suhu politik di Sarawak mula bergelegak dan lazimnya malam Ahad yang sunyi dikejutkan dengan kedua-dua BN dan pakatan Rakyat yang memperhebatkan kempen masing-masing.

NONEPertarungan paling sengit berlaku di Kuching, malam semalam. DAP melabelkannya sebagai 'Super Sunday', di mana hadirin sehingga melebihi 10,000 orang membanjirinya dua rali yang dianjurkannya.

Jumlah hadirin terbesar adalah di Batu Kawah, dengan dianggarkan tidak kurang 8,000 orang yang datang dan sanggup berdiri berjam-jam lamanya semata-mata untuk mendengar ceramah daripada tiga ‘orang kuat’ Pakatan - setiausaha agung DAP Lim Guan Eng; ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Mursyidul Am PAS, Datuk Seri Nik Aziz Nik Mat.

Sebaik sahaja Anwar menyebut mengenai “video seks’, para hadirin gelak dan ramai yang dilihat kurang mempercayai bahawa pelaku di pita itu adalah dirinya seperti yang didakwa.

NONEKehadiran orang ramai menyebabkan kesesakan lalulintas sehingga lima kilometer di Jalan Batu Kawah. Ada juga yang membawa kerusi plastik masing-masing dan berada di jambatan Batu Kawah, kira-kira 200 meter dari lokasi ketua pembangkang itu sedang berucap.

"Saya juga diberi amaran - sekarang ini seorang pegawai Kastam telah meninggal dunia, DNA saya juga akan ditemui di sana,” kata Anwar sambil disambut gelak ketawa daripada hadirin.

Dalam nada yang lebih serius, beliau juga menimbulkan isu kitab Injil berbahasa Melayu yang dirampas di Pelabuhan Klang dan Kuching oleh Kementerian Dalam Negeri.

NONESejumlah 31,500 kitab Injil berkenaan dirampas dan ditahan kerana dikatakan mengandungi beberapa perkataan yang dilarang termasuk penggunaan kalimah Allah.

"Nama bapa kepada Nabi Muhammad ialah Abdullah (maknanya hamba Allah) dan beliau dilahirkan 70 tahun sebelum kedatangan Islam, jadi ini bukan isu,” kata Anwar.

Beliau juga membidas kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sendiri berkempen di Sarawak.

Sambil menyifatkan ia sejarah dalam pilihan raya Sarawak, katanya kehadiran Najib membuktikan BN kini terlalu takut dengan kuasa rakyat yang kini sudah tidak boleh menerima lagi Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud.

NONENik Aziz pula dalam ucapannya mahu rakyat di Sarawak memilih pemimpin yang amanah dan tidak mengkhianati rakyat dan tidak melakukan kemungkaran di bumi Allah.

Beliau yang juga menteri besar Kelantan berkata, apa yang sudah terbukti, Pakatan Rakyat telah mempamerkan urus tadbir yang baik di negeri-negeri yang diperintah mereka termasuk Kelantan yang diperintah sudah lebih 20 tahun dengan menerapkan nilai agama Islam.

"Pilihan raya ini tempat kita nak pilih pemimpin yang baik dan amanah.

Batu kawah Pakatan ceramah"PAS berkawan dengan DAP dengan PKR dan berjanji untuk menjaga rakyat dengan lebih baik.

"Jadi pilih calon Pakatan Rakyat. Kalau calon DAP bertanding, pangkah DAP, kalau PKR tanding, pangkah PKR, kalau PAS tanding pangkah PAS," katanya yang turut mendapat tepukan gemuruh hadirin.

Buaya dua kaki

Lim yang juga ketua menteri Pulau Pinang ketika berucap, turut menyeru rakyat Sarawak memilih calon Pakatan Rakyat.

Dalam nada berseloroh, katanya, wakil DAP di Batu Kawah, Christina Chew berkeupayaan menangkap 'buaya dua kaki' yang sering memakan harta rakyat negeri ini.

NONE"Di Sarawak ada banyak sungai, dalam sungai ada banyak buaya, bukan buaya empat kaki, tapi buaya dua kaki.

"Kalau empat kaki takpa, kita boleh tembak saja tapi ini buaya dua kaki, kita kena undi Christina untuk ajar itu buaya dua kaki," kata Lim yang menyebabkan hadirin tidak kering gusi.

Sambil merayu penduduk di bumi Kenyalang itu agar berhenti memberi mandat kepada BN, beliau juga mahu rakyat jangan terus tertipu dengan janji Taib yang mahu menjadikan Sarawak negeri terkaya.

"Nak jadi kaya mesti zero corruption, kalau tidak, you zero income", katanya.

Lim seterusnya mengajak hadirin menukar rangkap lagu 'I want nobody nobody but you'nyanyian Wonder Girls kepada 'No money no money for you' untuk ditujukan kepada Taib.


FOKUS MENANGKAN CALON PAS, TUBUHKAN CAWANGAN BARU PAS SERTA SEBARKAN DAKWAH ISLAM DI SARAWAK : PESURUHJAYA PAS PERAK


Pesuruhajaya PAS Perak, Ustaz Abu Bakar Hussain, menyatakan bahawa kini PAS kini telah berjaya meluaskan ruang dakwah dalam kesempatan Pilihanraya Negeri Sarawak yang sedang berlangsung di Sarawak dan akan berakhir pada 16 April ini.

Menurut beliau, bagi DUN Muara Tuang DUN yang diamanahkan kepada tiga negeri iaitu Perak, Wilayah Persekutuan dan Terengganu mereka menumpukan agenda dakwah sebagai aspek utama bagi mendidik dan menarik hati rakyat Muara Tuang untuk memahami dan bersama perjuangan PAS sekaligus memberikan komitmen yang tinggi untuk memenangkan calon dari PAS.

Beliau menyatakan bahawa kini rakyat Sarawak khususnya di DUN yang ditandingi PAS mendapat gambaran sebenar apakah perjuangan yang dibawa oleh PAS, dan mereka dapat menerima dengan sebaiknya dan begitu gembira dengan kehadiran PAS untuk menyampakan dakwah berkenaan Islam disamping bersama menyelesaikan masalah rakyat dengan adil dan saksama tanpa mengira agama dan bangsa.

Selain itu, Pesuruhjaya PAS Perak itu turut menggambarkan kegembiraannya apabila DUN Muara Tuang yang dijaga oleh jentera PAS dari tiga negeri dari semenanjung iaitu Perak, Wilayah Persekutuan dan Terengganu Berjaya menubuhkan banyak cawangan baru PAS di Dun Muara Tuang.

Memetik ucapan beliau, “ Setakat ini PAS telah berjaya menubuhkan 5 cawangan penaja PAS yang terdiri dari ,cawangan penaja ke penaja PAS Taman Desa Ilmu, kampong Tanjung Bundong, Kampung Pinang, Kampung Sindang dan Kampung Pengkalan Kuap”

“ Dengan penubuhan cawangan-cawangan penaja PAS ini akan merancakkan lagi gerak kerja dakwah dan tarbiyah bagi masyarakat PAS untuk bersama mendokong perjuangan PAS”

Pesuruhjaya PAS Perak itu juga menyatakan Ini adalah satu petanda baik bagi PAS di Bumi Kenyalang. sekaligus membuktikan bahawa PAS diterima oleh masyarakat Sarawak.












Followers