Thursday, June 21, 2012

Tapak SAR: Pas Gopeng pertahan prinsip Islam

IPOH: PAS Gopeng mempertahankan prinsip Islam apabila menyokong sekumpulan penduduk yang mempertahankan tanah mereka daripada dirampas walaupun untuk membina sekolah agama.

Prinsip itu adalah menentang assobiyah iaitu tidak membela kezaliman yang dibuat hatta untuk kepentingan golongan sendiri.

Namun PAS kawasan itu tidak pernah membantah usaha mana-mana pihak sama ada kerajaan Umno BN ataupun Pakatan Rakyat yang mahu membina sekolah apatah lagi Sekolah Agama Rakyat (SAR).

Bagaimanapun dalam isu kononnya PAS dan PKR membantah pembinaan SAR di Taman Pegoh Aman, Ipoh di atas tapak sebuah padang awam telah disalah ertikan.

Semalam Utusan melaporkan PAS membantah pembinaan sekolah agama rakyat di Gunung Rapat.

Menurut Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Gopeng, Radzi Zainon, yang turut terlibat dalam kemelut itu, menafikan sekeras-kerasnya mereka membantah pembinaan SAR sebagaimana yang dilaporkan akhbar milik Umno itu.

Apa yang tidak dipersetujui PAS dalam hal ini, katanya tindakan pihak terbabit yang mengambil tapak padang tersebut tidak mengikut prosedur yang sah.

"Cara mereka mengambil tanah tersebut tidak ikut prosedur, (seolah-olah dirampas sahaja) dan saya hanya melahirkan simpati terhadap penduduk disitu,"katanya.

Radzi pernah didatangi penduduk terbabit sambil menceritakan kekecewaan mereka apabila memorandum bantahan pembinaan sekolah yang dihantar kepada Adun Sungai Rapat Datuk Hamidah Osman, langsung tidak diendahkan.

Pada 4 Mei 2012, penduduk telah menghantar memorandum kepada Hamidah meminta diadakan sesi dialog bersama penduduk, malangnya ia telah tertangguh selama dua minggu.

Beliau juga difahamkan tahan lapang itu adalah milik penduduk bersama selepas mereka membayar lebih RM1000 kepada pemaju bagi mendapatkan tanah itu.

"Adun BN berkenaan tidak hirau langsung masalah penduduk terbabit, akhirnya mereka datang jumpa PAS dan Ahli Parlimen Gopeng Dr Lee Boon Chye," katanya.

Ekoran itu, PAS dan PKR telah membuat sidang media pada 29 Mei 2012 di padang Taman Pegoh Aman dan disertai oleh seramai 80 penduduk tempatan.

Bahkan, beliau juga dimaklumkan pihak Datuk Hamidah telah mengumumkan perutukan RM100 000 untuk membina sekolah agama secara tergesa-gesa.

Tambahnya, sekolah terbabit dibina dalam keadaan tanpa perancangan awal sepertimana jawatankuasa SAR yang biasa, tanpa prosedur Majlis Bandaraya Ipoh, Jabatan Kerja Raya, dan Bomba.

"Tanpa pagar keselamatan atau papan tanda projek yang selalunya mengambil masa enam bulan hingga setahun. Projek tersebut dibuat tanpa sesiapa tahu apakah status bangunan dan untuk apakah bangunan misteri itu dibina.

"Jika ditinjau dari segi pengalaman Jawatankuasa SAR Desa Perlancongan, jangkamasa untuk memohon tapak sahaja memakan masa hingga setahun," katanya.

- Harakahdaily

No comments:

Followers