Wednesday, June 27, 2012

Bekas timbalan pengarah JAKIM masuk PAS























KUALA LUMPUR:  Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengalu-alukan sesiapa sahaja atau di kalangan mereka yang mempunyai peranan untuk menyertai Parti PAS.

Katanya, PAS bersikap terbuka dan menerima siapa sahaja bukan hanya di kalangan ahli politik bahkan mereka di kalangan teknokrat.

Mengulas fenomena bekas kakitangan kerajaan, artis dan selebriti secara terbuka menyertai PAS pada hari ini,  Abdul Hadi berkata, itulah satu kekuatan dan nilai tambah kepada PAS.

Beliau berkata demikian selepas menerima penyerahan borang keahlian daripada bekas Timbalan Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Yusof Hassan di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut tengah hari tadi.

Yusof Hassan yang juga bekas Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang berasal dari Parit Buntar Perak dan berhijrah ke Selangor kira-kira 30 tahun yang lalu.

Selepas dua tahun berkhidmat dalam Kerajaan Pulau Pinang di bawah pentadbiran Koh Tsu Koon, Yusuf berpindah ke Jakim kerana beliau merasakan tidak serasi dengan Ketua Menteri terbabit yang dilihat terlalu BN.

Ekoran itu, beliau hanya bertahan selama dua tahun sahaja dengan kerajaan Pulau Pinang sehingga akhir 2004.

"Saya berasal daripada keluarga yang kuat PAS, dan saya sememangnya adalah PAS, di kalangan kawan-kawasan saya dikenali ahli PAS. Cuma pada hari ini adalah secara rasmi saya masuk PAS," katanya.

Penyerahan borang keahlian PAS hari ini, Yusof menyifatkan apa yang disyaki oleh rakan-rakan sekerjanya sebelum ini adalah tepat.

"Rakan-rakan di dalam Jakim selalu menuduh saya orang PAS apabila mereka meneliti riak-riak dan hujah-hujah saya, cuma mereka tidak ada bukti. Jadi hari inilah buktinya. Tuduhan rakan-rakan saya adalah benar," katanya.

Beliau yang baru enam bulan bersara daripada Jakim, mengakui ramai di kalangan rakan-rakan di dalam jabatan itu mahu menyertai PAS cuma masanya belum tiba lagi.

Bagaimanapun beliau menafikan penyertaannya dalam PAS hari ini ekoran fenomena ramai individu termasuk artis dan selebriti secara terbuka menyertai  parti Islam itu.

"Tidak, bukan kerana ramai yang mula menyertai PAS, saya pun masuk PAS. Sebenarnya hasrat itu sudah lama lahir dari lubuk hati saya," katanya.

Turut bersama ketika penyerahan borang keahlian itu, Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali, dan Timbalan Pesuruhjaya II PAS Selangor, Sallehen Mukhyi serta beberapa wakil PAS Selangor.

- Harakahdaily

No comments:

Followers