Monday, February 2, 2009

MB Perak hadap Sultan, Speaker maklum kekosongan

MENTERI Besar Perak, Datuk Seri Ir. Mohamad Nizar Jamaluddin melambaikan tangan kepada wartawan ketika keluar dari Istana Kinta, selepas mengadap Sultan Perak Sultan Azlan Shah Ipoh, hari ini. Mohamad Nizar dipercayai memaklumkan baginda mengenai perkembangan semasa politik negeri itu khususnya berkaitan desas-desus perletakan jawatan ADUN Behrang Jamaluddin Mohd Radzi dan Adun Changkat Jering Mohd Osman Jailu. Kedua-dua ADUN berkenaan kini menghadapi tuduhan menerima rasuah berhubung kelulusan permohonan projek perumahan bernilai RM180 juta di Sri Iskandar, Perak Tengah.


PETALING JAYA: Speaker Dewan Undangan Negeri Perak, V. Sivakumar pagi tadi telah menyerahkan surat secara rasmi memaklumkan kepada Pejabat Pilihan Raya Negeri Perak mengenai kekosongan kerusi bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Changkat Jering dan Behrang.

Sivakumar dalam kenyataan satu perenggan yang difakskan kepada Bernama berkata surat rasmi itu telah diserahkan kepada Pengarah Pilihan Raya Perak, Ahmad Adli Abdullah pada pukul 8 pagi tadi.

Ahmad Adli ketika dihubungi mStar Online juga mengesahkan yang beliau telah menerima pemakluman daripada Speaker hari ini.

"Saya telah memanjangkan kepada Ibu Pejabat (SPR) sebentar tadi," kata beliau ketika dihubungi di Ipoh.

Bagaimanapun kata beliau, tindakan susulan berhubung pemakluman tentang kekosongan kedua-dua kerusi Behrang dan Changkat Jering akan ditentukan oleh Ibu Pejabat.

Semalam, Sivakumar dalam satu kenyataan media mengumumkan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) iaitu Jamaluddin Mohd. Radzi (Behrang) dan Mohd Osman Jailu (Changkat Jering) telah menyerahkan surat peletakan jawatan mereka sebagai ADUN di rumah beliau pada 5.45 petang semalam.

Bagaimanapun, kedua-dua wakil rakyat dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu, yang tidak dapat dikesan sejak 26 Januari lepas, pada malam tadi menafikan kenyataan Sivakumar bahawa mereka telah meletak jawatan berkuatkuasa serta-merta.

Mereka mendakwa surat yang dimaksudkan oleh Sivakumar adalah surat yang ditandatangani oleh mereka pada 8 Mac tahun lepas selepas pilihan raya umum tahun lepas.

Menyentuh mengenai kesahihan kedudukan kedua-dua kerusi itu berikutan penafian oleh Jamaluddin dan Mohd Osman, Ahmad Adli berkata beliau menyerahkan kepada Pengerusi SPR untuk membuat keputusan tersebut.

"Memandangkan hari ini cuti umum di Putarajaya (sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan), saya jangkakan keputusan akan dibuat esok mengenai kedudukan kedua-dua kerusi itu," katanya.

Ketika ditanya sama ada beliau turut menerima surat daripada kedua-dua ADUN berkenaan, Ahmad Adli memberitahu: "Saya juga ada menerima salinan surat mereka (kedua-dua ADUN)."
Bagaimanapun beliau enggan memaklumkan kandungan surat berkenaan.

"Saya cuma menerima salinan surat, yang mereka hantar kepada Speaker Dewan Undangan Negeri... jadi saya tidak boleh menyatakan kandungannya... anda boleh tanya Speaker," kata beliau lagi.

Isu itu berbangkit berikutan kerajaan negeri tidak dapat mengesan Jamaluddin dan Mohd Osman sejak 26 Januari lepas.

Dalam pada itu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin telah mengadap Sultan Perak pada kira-kira pukul 10 pagi tadi di Istana Kinta.

Beliau dipercayai berjumpa dengan Sultan Perak bagi membincangkan isu Jamaluddin dan Mohd. Osman.

Mohammad Nizar kelihatan meninggalkan istana tersebut pada pukul 10.25 pagi namun beliau enggan ditemu ramah wartawan.

Bernama melaporkan, Nizar yang menaiki kereta rasmi barunya Toyota Camry bernombor plet AGS 10 hanya mengucapkan 'terima kasih, kita jumpa pada lain kali' kepada seorang jurugambar yang merakamkan gambarnya yang sedang melambai tangan kepada para anggota media.

Terdahulu, pada majlis "executive talk" oleh Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Harun Din untuk kakitangan kerajaan negeri di Bangunan Darul Ridzuan di sini, Mohammad Nizar enggan menemui pihak media yang menunggunya sejak awal pagi dan telah bergegas keluar pada pukul 9.45 pagi untuk mengadap Sultan Perak.


Ajijoi ~ Gambar diatas seakan-akan lambaian selamat tinggal, sayonara, ta-ta, bye-bye daripada MB kepada Jamaludin dan Osman yang melompat terkejut dikatakan meletak jawatan sebelum sempat melompat parti.

Mana ada orang ambik MC pergi bercuti tanpa pengetahuan sesiapa termasuk keluarga sendiri. Melainkan doktor yang bagi MC tu terbagi ubat khayal pada dia sehinggakan tak sedar yang dia telah berada di Pahang. Ubat khayal tersebut sempat habis kesannya apabila berita mengatakan dia dah meletak jawatan.

Hamid Albar lagi merapu bila dia mengatakan yang mereka berdua ini pergi bersiar-siar (sampai ke Pahang). Mana dia tahu? Aku menteri dalam negeri-lah, katanya menjegil mata.

Sekarang ni, kedua-dua katak jadian yang tak menjadi ini telah kehilangan segala-galanya. Jawatan adun, exco mungkin juga puluhan juta ringgit yang telah dijanjikan kepada mereka sebelum ini kerana mereka telah tidak bernilai walau sesen pun kepada ameno.

Rakyat Perak rata-ratanya telah terkeliru dan tertanya-tanya akan cerita dan perkembangan sebenar yang berlaku di Perak. Ramai juga yang pening kepala. Untuk menghilangkan rasa pening tersebut, bacalah berita-berita dan kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh puak-puak BN yang pasti akan menggelikan hati dan kelakar sehinggakan rakyat merasa bahawa mereka tidak lagi diperbodohkan dengan kenyataan-kenyataan BN ini malah pimpinan BN-lah yang sebenarnya memperbodoh-bodohkan diri mereka sendiri.

No comments:

Followers