Thursday, November 12, 2009

Selepas jambatan Kuala Dipang, tembok bangunan SUK pula runtuh

Tembok bangunan Perak Darul Ridzuan yang turut dikenali sebagai bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini runtuh selepas hujan lebat malam semalam menyebabkan sebahagian Jalan Istana ditutup kepada lalu lintas.

Kejadian yang berlaku pada kira-kira 9 malam itu bagaimanapun tidak menyebabkan sebarang kemalangan jiwa.

Datuk Bandar Ipoh Datuk Roshidi Hashim berkata sebahagian tembok sepanjang kira-kira 24 meter dan setinggi 2 meter itu dipercayai runtuh akibat tekanan air.

Bercakap kepada pemberita semasa meninjau kerja-kerja pembersihan yang dijalankan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR), beliau berkata siasatan awal mendapati longkang di sebelah tembok berkenaan tersumbat dan air yang bertakung telah menolak tembok itu.

Kerugian dianggarkan kira-kira RM10,000, katanya.

Bangunan yang menempatkan pejabat Menteri Besar, Setiausaha Kerajaan Negeri dan Dewan Undangan Negeri Perak itu dirasmikan pada 2000. - BERNAMA


Gambar-gambar diatas adalah ehsan AlHusseyn

Ajijoi ~ Alasan yang diberikan oleh Datuk Bandar, tembok itu runtuh akibat tekanan air agak janggal kerana takkan tembok setegap dan segagah itu boleh tumbang dan runtuh akibat tekanan air daripada longkang yang tersumbat?

Perlukah kesemua binaan bangunan yang dibina semasa pemerintahan BN disiasat dan dipantau kerana mungkin cerucuk binaan tersebut telah diselenggarakan tanpa mengikut spesifikasi yang telah ditetapkan.

Mengapa pula SPRM buat-buat tak nampak tentang kejadian ini? Tiada siasatan yang perlu dibuat? Tiada sesiapa yang perlu dipertanggungjawabkan? Ataupun kerana suspek utamanya hanyalah 'AIR' sepertimana kata Datuk Bandar?

Bangunan SUK yang begitu gagah dipertahan BN Perak dengan menggunakan beratus-ratus polis dan 'topi merah' daripada digunakan secara sah oleh adun-adun pilihan rakyat daripada Pakatan Rakyat, akhirnya tumbang juga. Rakyat hanya menantikan masa BN Perak pula yang tumbang. 'AIR' manakah pula yang akan menumbangkan BN Perak dan Zambry nanti?

No comments:

Followers