Thursday, September 26, 2013

Al-Fatihah buat Ustaz Azizan Razak

Ustaz Azizan Razak, mantan Menteri Besar Kedah yang menderita sakit kencing manis kronik sehingga kedua-dua kaki beliau terpaksa dipotong telahpun menghembuskan nafas terakhirnya jam 11.10 pagi tadi di wad ICU Hospital Sultanah Bahiyah.

Untuk menziarahi jenazah Allahyarham, anda semua bolehlah ke Kompleks Pas Pokok Sena. Manakala solat jenazah dan pengebumian akan dilakukan selepas Solat Asar sekitar jam 5.30 petang di Muassasah Darul Ulum. 

Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat Ilahi. 

Al-Fatihah. 

Wednesday, September 25, 2013

Mohon doakan kesembuhan buat Ustaz Azizan Razak

Baru terima berita mengenai Ustaz Azizan Razak, mantan Menteri Besar Kedah yang berada di dalam keadaan kritikal saat ini. Pihak hospital telahpun memanggil ahli keluarga terdekat.

Mesej yang berbunyi:
Salam. Sejak jam 3 pagi Ust Azizan kritikal dan tenat. Jantungnya berhenti beberapa ketika dan pulih selepas diberi renjatan. Keadaan kini masih blm sedar. Mohon doa drpd semua. Tk
Msg Sanusi, Setpol Ust Azizan..

Mohon sama-sama kita doakan agar Ustaz Azizan kembali sihat dan segera sembuh. 

Tuesday, September 24, 2013

Muktamar Pas Gopeng 2013: Tiada banyak perubahan, ukhwah dikukuhkan


Muktamar Pas Kawasan Gopeng telah dijayakan pada hari Ahad, 22 September 2013 yang baru lalu di Markaz Tarbiyyah, Taman Endah Jaya, Rapat Setia, Ipoh.

Sungguhpun tahun ini adalah tahun pemilihan, namun ianya seolah-olah hampir tiada disini. Dua jawatan terpenting tidak ditandingi manakala jawatan Naib Yang Dipertua pula dimenangi oleh calon pilihan.

Keputusan pemilihan bagi Jawatankuasa Pas Kawasan Gopeng 2013/2015 adalah seperti berikut:

Yang Dipertua: Tuan Haji Abd Rahim Md Ariff
Timbalan Yang Dipertua: YB Radzi Zainon
Naib Yang Dipertua: Ustaz Muhammad Fisol 

Manakala 16 AJK yang telah dipilih:
1. Ahmad Badrin
2. Mejar (B) Yakub 
3. Hj Abdul Haiyi
4. Kamalulail
5. Zulkifli Tapsiron
6. Hj Mat Razali
7. Mazidah Ghazi
8. Tarmizi
9. Ahmad Osman (Maju Rapat)
10. Hj Kasim Ahmad
11. Ustazah Nor Kamariah
12. Ahmad Osman (Seri Rahmat)
13. Jefridin
14. Zaidzi
15. Raja Yusof
16. Haji Azlan / Zainal Ariff


Pas Gopeng kali ini amat bertuah kerana dirasmikan muktamarnya oleh Naib Presiden Pas, Dato' Haji Mahfuz Omar. Sebelum itu, Ustaz Dr Nuri Al Amin telah memberikan ucapan bagi mewakili Badan Perhubungan Pas Perak, dan sebelum mesyuarat agung bermula, Pesuruhjaya Pas Perak dan juga Adun Titi Serong, AF YB Ustaz Abu Bakar turut menyampaikan amanat beliau buat semua yang hadir.

Pendaftaran perwakilan dan pemerhati

Jawatankuasa yang mempertahankan jawatan mereka

Alunan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran oleh Ustaz Ahmad Fuad

Nyanyian lagu-lagu nasyid oleh kumpulan daripada Kg Rapat Jaya Tambahan

YDP Haji Abd Rahim memberikan ucapan

Ustaz Dr Nuri Al Amin mewakili Badan Perhubungan Pas Perak

Ketibaan YB Dato' Mahfuz Omar disambut YDP

YB Dato' Mahfuz berucap merasmikan muktamar

Imam Zulkifli Tafsiron menerima penghargaan bagi pihak UPU Tmn Taufik sebagai UPU Terbaik PRU13 Kawasan Gopeng

Ustazah Bariah menerima anugerah bagi pihak Muslimat Pas Gopeng

Sdr Azman menerima bagi pihak Pas Ipoh Timor sebagai Kawasan yang membantu dalam PRU13

Sdr Mat Nor menerima saguhati atas khidmat Unit Amal

Sdr Firdaus juga menerima saguhati sebagai ahli Unit Amal

YB Dato' Mahfuz Omar menerima cenderahati daripada YDP Haji Rahim

Makan tengahari sebelum mesyuarat agung dimulakan

Ustaz Abu Bakar menyampaikan ucapan beliau

YB Ustaz Abu Bakar Hussien dianugerahkan sebagai Tokoh Pas Gopeng

Cikgu Ali yang mempengerusikan mesyuarat berjaya menggamatkan suasana dengan celotehnya



LANDASAN LTSAS: SPRM DIGESA SIASAT

Kenyataan Media (24 September 2013)

Jawatankuasa Isu dan Strategik Badan Perhubungan PAS Negeri Perak menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka kertas siasatan bagi menyiasat projek menaik taraf Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS), Ipoh yang telah bermula pada 13 April 2011 yang lalu dan mula beroperasi sepenuhnya pada 1 November 2012 yang telah dirasmikan oleh Pemangku Raja Perak, Raja Dr Nazrin Shah ibni Sultan Azlan Muhibbuddin Shah pada 21 Mei 2012 yang lalu yang menelan belanja RM 42 Juta.

Pihak kami diberikan maklumat bahawa naik taraf pemanjangan landasan daripada 1,798 meter sedia ada kepada 2,000 meter sebenarnya tidak tepat dan kurang daripada yang sepatutnya. Kami mendesak agar SPRM turun ke LTSAS dan mengukur landasan tersebut untuk melihat sendiri benar atau tidak pemanjangan landasan telah dilakukan sehingga 2,000 meter. Kami maklum tujuan utama untuk pemanjangan landasan bertujuan untuk membolehkan kapal terbang jenis Airbus A320 atau Boeng B737 bagi membolehkannya menggunakan landasan tersebut.

Kami melihat, inilah punca utama kenapa banyak syarikat penerbangan seperti Malaysia Airline System Berhad (MAS), AirAsia Berhad, Berjaya Air Sendirian Berhad dan syarikat-syarikat lainnya tidak menggunakan LTSAS kerana landasannya pendek. Kini hanya syarikat FlyFirefly Sendirian Berhad sahaja yang menggunakan LTSAS dimana jadual penerbangannya dua kali sehari dari Ipoh ke Negara Singapura. Jika dilihat dahulu, banyak syarikat penerbangan daripada Negara Indonesia, Brunei, Thailand dan Filipina telah beroperasi di LTSAS, tetapi kini ianya hanya tinggal sejarah sahaja.

Kami sekali lagi mendesak SPRM agar segera melakukan siasatan kerana ianya melibatkan wang rakyat dan memalukan imej LTSAS yang melibatkan Institusi DiRaja secara tidak langsung. Kami melihat jika benar perkara tersebut berlaku, SPRM juga wajar menyiasat syarikat yang diberikan projek menaik taraf tersebut. Perkara ini sewajar tidak berlaku kerana ianya memberikan kesan negatif kepada hab penerbangan di Negeri Perak khasnya!

DR RAJA AHMAD ISKANDAR AL-HISS

Koordinator,
Jawatankuasa Isu dan Strategik,
Badan Perhubungan PAS Negeri Perak.

Monday, September 23, 2013

Bang Mat bantu tabung dana OKZ13


Malam ini, bertempat di Kompleks Pas Kuala Kangsar, Bukit Chandan akan diadakan Ceramah Solidariti Ops Bubar bagi mengisi tabung dana bantuan untuk mangsa tahanan atau lebih dikenali sebagai OKZ13 (Orang Kena Zalim). 

Siri ceramah yang telah diatur Pas Perak ini akan diadakan di beberapa kawasan dengan bermulanya pada malam ini di Bukit Chandan (tempat berlakunya kejadian tangkapan) dan akan berakhir di Tapah (dimana mereka ditahan di Penjara Tapah). 

13 orang tahanan ini telah dikenakan denda sebanyak RM5000 seorang dan perlu dibayar dalam masa 6 bulan ini, sekiranya gagal, hukuman penjara mereka akan ditambah selama 5 bulan lagi. 

Marilah kita sama-sama memenuhi tapak ceramah-ceramah Solidariti Ops Bubar ini sambil menderma bagi meringankan bebanan 13 orang yang ditahan. 

Bagi ceramah permulaan ini, Bang Mat Sabu telah berbesar hati untuk turut membantu dengan turun berceramah dikhalayak anda. 

Bagi yang tidak dapat bersama di dalam siri ceramah ini, bolehlah menghulurkan bantuan secara terus ke dalam akaun seperti di dalam gambar di bawah ini: 


Dah lama tak dengar Bang Mat berceramah, jom ramai-ramai malam ini ke Kuala Kangsar. Ada antara 13 OKZ yang akan turut sama di dalam ceramah ini nanti. 



Friday, September 20, 2013

Detik pembebasan 13 OKZ dari Penjara Tapah

Tapah: 19 Sept -- Tepat jam 9 malam  di pintu utama Penjara Tapah sebuah bas dipandu keluar yang membawa 13 Orang Kena Zalim (OKZ) ,berikutan pada pagi hari ini Hakim Mahkamah Tinggi Taiping telah menerima permohonan peguambela untuk menangguhkan hukuman yang telah dijatuhkan terhadap 13 OKZ  (peserta Ops Bubar).

Hakim, Datuk Ahmad Nashfi memutuskan kesemua dilepaskan dengan jaminan RM3,000 dan denda RM5,000 boleh dibayar dengan ansuran.

Sebelum ini, Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar, Norsalha Hamzah telah menjatuhkan hukuman maksimum penjara dua tahun dan denda RM5,000, dan telah menolak permohonan untuk menangguhkan hukuman tersebut kepada 13 individu yang terlibat dalam perhimpunan di hadapan Masjid Ubudiah, Bukit Chandan, 6 Februari 2009.

Mereka adalah Bad Latif Mansor, 47, Suhana Abdullah, 49, Meor Safizal Meor Mohamed Amin, 38; Mohd Faiz Mohd Arshad, 26; Zulhaizam Zulkifli, 29 ; Isha Riduan Ishak, 59; Adi Hilmee Mohd Nasir, 44; Yusoff Jaafar, 48; Idris Mohd Thaib, 48; Mohamad Nazeer Hameed, 48; Khairul Azmi Hassan Basri,48; Mohd Hasri Ismail, 48; dan Mohamed Ismail SM Abdul Kadir, 47.

Orangni sempat merakam detik-detik mengembirakan bagi para ahli keluarga terlibat serta 13 OKZ yang dibebaskan berikutan permohonan menangguhkan hukuman diterima oleh Hakim Mahkamah Tinggi Taiping hari ini.

Jam 9 malam 
Bas Penjara yang membawa 13 OKZ dipandu keluar
Wajah ceria melihat keluarga tersayang serta rakan sahabat yang menunggu mereka
Laungan "Takbir" sebaik saja turun dari bas Penjara...
Syukur...
kegembiraan jelas dimuka mereka...








Antara pimpinan yang hadir menyambut 13 OKZ
Ust Mohamad Fakharuddin Ketua Lujnah Kebajikan membaca doa


Monday, September 16, 2013

Peserta demo dipenjara: BN cuba takutkan rakyat?


Oleh MUHAMMAD FAEEZ AZAHAR

IPOH:PAS Perak mempersoalkan adakah hukuman penjara yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar terhadap 13 peserta adalah satu cara untuk menakut-nakutkan rakyat.

Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Abu Bakar Hussien berkata, hukuman tersebut akan menjadi rujukan oleh kerajaan dan mahkamah untuk membayangkan kepada rakyat bahawa mereka akan diambil tindakan berat jika cuba untuk bersuara terhadap kebrobrokan kerajaan.

Menurutnya, tindakan memenjarakan 13 aktivis itu bukanlah satu cara mendidik mahupun memberi pengajaran kepada rakyat sebaliknya ianya adalah satu bentuk kezaliman serta mencabuli hak rakyat untuk bersuara.

"Kami persoalkan adakah hukuman dua tahun penjara ini akan dapat mendidik rakyat atau sebaliknya iaitu menambah kebencian rakyat kepada kerajaan.

"Ianya juga menjadi satu tonik semangat kepada rakyat untuk terus berjuang menentang kezaliman di negara ini," katanya kepada Harakah 16 September lalu.

Tegasnya, hukuman yang tidak bertanggungjawab ini telah membuktikan betapa zalimnya BN terhadap rakyat tanpa memikirkan kenapa rakyat melakukan sedemikian rupa.

Beliau menyifatkan, tahanan terhadap 13 aktivis itu adalah satu tahanan yang bermaruah kerana mereka adalah antara suara besar rakyat Malaysia khususnya Perak dalam mempertahankan hak rakyat serta demokrasi di negara ini yang semakin dirosakkan oleh BN.

"Saya bersimpati dengan nasib yang dialami oleh 13 tahanan yang mempunyai latar belakang yang cukup bagus, mereka bukanlah penjenayah tetapi mereka semua adalah orang yang baik. 

Jadi adalah tidak berhati perut dengan melayan mereka ini sedemikian rupa (memenjarakan serta merta) tanpa melihat latar belakang individu serta keluarga dan kesalahan mereka secara terperinci," jelasnya.

Adun Titi Serong itu berkata, PAS turut bersimpati dengan nasib keluarga tahanan kerana selama dua tahun ini terseksa kerana sumber pendapatan dan kasih sayang hilang.

"Mangsa tahanan ini majoritinya masih ramai tanggungan keluarga dan bukanlah dari kalangan yang 'berada', ramai dari kalangan mereka bekerja sendiri dan dengan tangkapan ini telah menyebabkan hasil pencarian keluarga hilang.

"PAS dengan rasa tanggungjawab akan membantu sedaya upaya membantu meringankan beban keluarga disepanjang dua tahun mereka dipenjara (jika hukuman kekal)," jelasnya lagi.

Ijtimak Tarbawi 3.0: Aqidah yang benar, Fikrah yang syumul, Syakhsiyah yang soleh


Ijtimak Tarbawi 3.0

1. Dewan Pemuda PAS Malaysia sebagai  salah satu sayap Gerakan Islam tanahair ini sekali lagi akan menganjurkan program tahunannya di Maahad Tahfiz Al Quran Al Muhammadi Kundang Ulu Ledang [ dalam Parlimen Pagoh  Johor ] pada 4, 5 dan 6 Oktober 2013 akan datang. Program yang dimaksudkan ini ialah Ijtimak Tarbawi 3.0 

2.  Ijtimak Tarbawi  1.0 peringkat kebangsaan ini pernah dianjurkan pada 1, 2 dan 3 Oktober 2010 di Perkarangan Masjid Rusila Terengganu dengan kehadiran melebihi 5000 peserta dari seluruh negara.

3. Ijtimak Tarbawi 2.0 pula diadakan pada 28, 29 dan 30 Oktober 2011 di Kolej Universiti Islam Zulkifli Mohamad Taman Melewar Selangor.

4. Ijtimak Tarbawi anjuran Dewan Pemuda PAS Malaysia ini berperanan besar untuk memperkasakan Gerakan Amal Tarbawi dalam Parti Islam Se Malaysia [PAS] sebagai Gerakan Islam melalui gandingan 3 elemen utama iaitu :

Aqidah yang benar
Fikrah yang syumul
Syakhsiyah yang soleh

5. Penganjuran Ijtimak Tarbawi peringkat kebangsaan ini di tetapkan pada bulan Oktober setiap tahun kecuali DPPM terpaksa menangguhkan penganjuran untuk tahun 2012 kerana memberi laluan kepada tumpuan gerakkerja parti menghadapi pilihanraya umum ke 13.

6. Penyertaan Ijtimak Tarbawi 3.0 ini mewajibkan semua EXCO DPPM, EXCO DPP Negeri - Negeri dan 12 orang peserta daripada setiap DPP Kawasan dengan mengutamakan AJK DPP Kawasan. Ia juga terbuka kepada semua pemuda dan pemudi Islam yang menyintai Amal Tarbawi. Sementara sasaran kali ini ialah 3 - 5 ribu peserta berasaskan  kesesuaiaan lokasi program.

Tentatif Ijtima Tarbawi  3.0

Anjuran Dewan Pemuda PAS Malaysia kali ke3
__________________
4 Oktober 2013 (Jumaat)
__________________

3.00pm - Pendaftaran
4.30pm - Solat Asar 
5.00pm - Layan diri 
[ dan makan malam ]

6.30pm - al Ma'thurat bimbingan  Ust Abdul Muiz

             - taklimat program oleh Ustaz Riduan Mohd Nor

7.20pm - Solat Maghrib

7.45pm - Kuliah Maghrib
Tajuk: Mengapa Tarbiyah Sepanjang Masa.

Oleh : Ustaz Syed Abdul Kadir al Jofree

8.45pm - Solat Isya'

9.30pm - Majlis Perasmian Ijtima' Tarbawi

1) Ucapan Ketua DPP Negeri Johor
2) Ucapan Pengarah Ijtima' 
3) Ucapan Ketua DPPM
4) Ucapan Perasmian oleh : 
Dato Dr Mahfuz Mohamad
Naib Ketua Dewan Ulama' PAS Pusat.

11.45pm - Rehat

__________________
5 Oktober 2013 (Sabtu)
__________________

4.30am - Qiamul-lail
5.45am - Solat Subuh

6.15am - Kuliah Subuh
Tajuk : Khulasah Surah As Shaff. Penyampai : Ustaz Mohd Khalil Abdul Hadi.

7.00am - Rehat dan makan pagi

8.30am -  Kuliah Tafsir 1
Tajuk: Surah al Munafiqun
Pembentang: Al Fadhil Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang.

10.30am - Rehat

11.00am - Kuliah Tafsir 2
Tajuk: Surah al Munafiqun
Pembentang: Al Fadhil Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang.

12.45pm - Rehat, makan tengahari 

2.00pm  -  Solat Zohor

2.30pm  - Forum Tarbawi 
Tajuk: Cabaran Tarbiyah Dalam Gerakan Islam Moden

Panel:
1) Tuan Haji Salahudin Ayub VP
2) Dr Zuhdi Marzuki COO  PPP

4.15pm - Rehat dan solat Asar
5.00pm - Rehat dan makan malam.

6.30pm - al Ma'thurat dan Tazkirah  oleh : Ustaz Abdul Muiz Muhammad.

7.20pm - Solat Maghrib

7.45pm - Kuliah Maghrib
Tajuk: Dakwah Fardiyah: Pengalaman dalam perjuangan.

Penyampai : Al Fadhil Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man

8.45pm - Solat Isya'

9.15 - Ceramah Tarbawi

Pemidato: 

1) Tuan Hj Mohd Sabu
2) Dato' Nik Mohd Amar Abdullah
3) Dato' Abu Bakar Chik
4) Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali 
5) Sdr Aminul Huda TPJ Johor
6) Dr. Raja Ahmad Iskandar al Hiss 
7) Wakil2 Gerakan Islam

1200am - Rehat

_____________
6 Oktober 2013 (Ahad)
__________________

4.45am - Qiamullail
5.40am - Solat Subur

6.15am - Kuliah Subuh
Tajuk: Ujian dalam perjuangan politik Islam

Penyampai : Ir Hj Khairil Nizam bin Khiruddin. [ Bendahari DPPM ]

7am - Rehat dan makan pagi

8.30am - Wacana Tarbawi
Tajuk: 10 Tarbiyah Utama

Pembentang: 
1) YB Ustaz Idris Ahmad
2) Ustaz Zaharudin Muhammad

10.00am - Dialog Tarbawi bersama DPPM.

Panel:  Semua EXCO DPPM

11.30am - Rehat

12.00pm - Majlis Perasmian Penutup.

1) Ucapan pengarah
2) Ucapan Ketua DPPM
3) Perasmian Penutup: Al Fadhil Dato' Dr. Harun Din

1.30pm - Solat Zohor
2.00pm - Majlis Wada'

Sunday, September 15, 2013

13 Tahanan Kudeta: Dibebaskan atau direhatkan


13 tahanan kudeta yang dipenjarakan selama 2 tahun di Penjara Tapah kini menjalani kehidupan yang berbeza. Bukan saja rutin seharian, malah rupa paras juga kini berbeza.

Cikgu Khairul yang kita semua kenali dengan imej rambut dan janggut yang panjang, kini telah botak ditarah penjara. Namun begitu, ketawanya masih deras, selorohnya masih keras. Jasadnya saja yang terpenjara tetapi jiwa batinnya tetap sama. Cuma, satu yang diketagihkannya. Rokok. 

Tahanan yang lain juga sama. Kebebasan pergerakan mereka dibatas, tetapi tidak pemikiran dan semangat juang yang telah sedia ada. 

Sedikit perkhabaran gembira buat mereka yang ditahan secara bersama di sana. Pada hari Selasa ini, 17 September, pasukan peguambela yang mewakili mereka akan membuat permohonan semakan keputusan Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar yang tidak membenarkan penangguhan hukuman ke Mahkamah Tinggi Ipoh.

Terlihat sedikit cahaya harapan buat mereka dan keluarga. Tetapi seperti biasa, permainan undang-undang ini agak meletihkan. Keputusannya tidak menentu.

Jika diperkenankan Allah Taala, mungkin mereka dibebaskan sehingga menunggu rayuan yang dibuat. 

Jika tidak, dan keputusan itu dikekalkan, anggaplah saja 13 pejuang menentang rampasan kuasa dinegeri Perak ini direhatkan Allah Taala selama 2 tahun di sana.

Lelah mereka dahulu yang menjalani kehidupan dan perjuangan jemaah, akan dicas semula tenaga dan spiritual mereka selama mana 'berehat' di dalam tahanan. Dan keluarnya mereka nanti, akan menjadi insan yang baru. Baru dengan tenaga dan semangat perjuangan yang berganda.

Harapan kita semua dan tentunya ahli keluarga agar 13 pejuang ini akan dikembalikan kepada khalayak kerana sememangnya mereka tidak layak untuk berada di zon merah tahanan. 

Panjatkan doa dan panjangkan sujud, semoga mereka kembali di dalam jemaah meneruskan perjuangan. 


Diharapkan agar Ketua Penumbang Lembu untuk Majlis Qurban Surau Al-Ehsan dapat bersama kita lagi tahun ini. 

Tahaluf Siasi: Kaji Hanya Untuk Penambahbaikan


Saya membaca muka hadapan Sinar Harian hari ini 15 September 2013 yang memuatkan tajuk besar PAKATAN RUGIKAN PAS? dengan memetik ucapan Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Harun Taib yang dikatakan meminta Majlis Syura Ulama mengkaji semula Tahaluf Siyasi (Persefahaman Politik) dalam Pakatan Rakyat. 

Saya tidak menghadiri Multaqa Ulama yang diadakan di Kota Sarang Semut semalam sekalipun saya benar-benar berhasrat untuk hadir. Keuzuran dan situasi kesihatan menghalang saya untuk hadir ke program yang saya sifatkan sangat bermakna itu. Justeru, saya tidak mendengar sendiri ucapan Ketua Dewan Ulama PAS Pusat seperti yang dilaporkan oleh akhbar. Berkemungkinan ia hanya ulasan akhbar dan bukannya ucapan sebenar beliau ataupun sememangnya dipetik dari ucapan beliau, wallahulam.

Walau bagaimanapun, suka untuk saya memberikan respon terhadap tajuk yang digunakan di muka hadapan Sinar Harian iaitu PAKATAN RUGIKAN PAS? Perlu dijelaskan bahawa penyertaaan PAS melalui Tahaluf Siyasi di dalam Pakatan Rakyat bukannya diputuskan oleh beberapa individu sahaja. Ia diputuskan oleh keputusan kolektif pimpinan PAS dan diperkuatkan melalui Muktamar Tahunan PAS yang berlangsung selepas pilihanraya umum 2008. 

Saya melihat keputusan ini tidak sekali-kali silap bahkan ia lebih membawa PAS ke hadapan pentas politik di Malaysia. Lebih bermakna daripada itu, PAS berjaya mempersembahkan Islam kepada non Muslim dengan cara yang tidak pernah dilakukan oleh UMNO. UMNO bukan setakat menjauhkan bukan Islam daripada Islam bahkan menjauhkan orang Islam sendiri dari memahami agama mereka. 

Senjata UMNO ialah perkauman, lambang UMNO ialah keris tidak bersarung, politik UMNO ialah politik samseng jalanan, sampai bila-bila non Muslim tidak akan melihat keindahan Islam melalui cermin mata politik UMNO yang penuh dengan habuk kebangsaan.
Di dalam Pakatan Rakyat, pendekatan Islam yang dibawa oleh PAS tidak pernah ditentang. Pemimpin-pemimpin DAP khususnya seringkali datang ke pejabat saya berbincang sentiasa tentang nilai-nilai Islam. Ada yang datang mengungkapkan istilah-istilah perundangan syarak yang kadang-kadang pemimpin UMNO sendiri pun barangkali tidak pernah bersua dengan istilah sebegini. 

PAS wajib melangkah ke hadapan. Pengalaman sebagai gerakan Islam yang telah berusia lebih setengah abad wajar mengajar PAS bahawa untuk terus relevan di pentas politik negara, PAS wajib memahami suasana politik. Selagi tidak bertentangan dengan prinsip asas syariat, jangan mengurung PAS di dalam kandang pemikiran yang kita sendiri cipta. PAS membawa nama Islam di dalam perjuangannya, maka wajiblah ke atas PAS untuk mempersembahkan Islam dengan wajah terbaik kepada masyarakat Malaysia.

Saya mendegar pengalaman Yang Berhormat Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan yang baru pulang dari lawatan kerja di Johannesburg, Afrika Selatan. Katanya di sana zakat turut diberikan oleh orang Islam kepada bukan Islam. Di Malaysia, di bawah asnaf muallaf, hanya orang yang baru memeluk agama Islam menerima zakat. Sedangkan muallaf juga boleh jadi seorang non muslim yang hampir lembut hatinya untuk memeluk Islam dan juga seorang non muslim yang sangat tegar memusuhi Islam namun jika diberikan zakat, permusuhannya itu kendur. 

Ini sebagai contoh bagaimana ada aspek pengamalan Islam secara praktikal di Malaysia masih belum tepat dengan wajahnya yang sebenar. Inilah yang perlu dibaiki dan PAS wajib memainkan peranan. Saya yakin, jika Islam difahami dengan baik tanpa gangguan daripada pihak-pihak yang berkepentingan, ia akan diterima dengan mudah tanpa sebarang syak wasangka oleh rakan-rakan daripada non Muslim. 

Di sinilah letaknya misi sebenar PAS di dalam Pakatan Rakyat. Benar, kita ingin memburu kemenangan di dalam pilihanraya, tetapi juga perlu diingat PAS sebagai gerakan Islam juga memikul tanggungjawab dakwah yang besar di pentas politik. Justeru, keberadaan PAS di dalam Pakatan Rakyat sekali-kali bukan merupakan langkah yang silap, bahkan ia merupakan langkah yang sangat tepat dengan realiti politik negara. 

Tahniah kepada para ulama yang bermultaqa semalam. Harapan saya agar ia dapat menguatkan iltizam kita semua di dalam memperkukuhkan PAS sebagai parti politik yang berdasarkan Islam. Berhubung kedudukan PAS di dalam Pakatan Rakyat, jika mahu dikaji, silakan. Tetapi kaji hanya untuk penambahaikan, bukan kaji untuk mengundur ke belakang. Kaji untuk berundur ke belakang hanyalah memberikan pelampung kepada UMNO yang sedang kelemasan. 

Sekian.

Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat,
Al-Mursyidul Am PAS.
Bertarikh : 9 Zulkaedah 1434H bersamaan 15 September 2013M

Saturday, September 14, 2013

Resolusi Multaqa Ulamak SeMalaysia: Pengukuhan Gerakerja Tarbiyyah, Kepimpinan & Pengurusan


RESOLUSI MULTAQA ULAMAK SEMALAYSIA:

Tema Multaqa Ulamak Se-Malaysia "Ulamak Haraki Benteng Izzah Islam" yang berlangsung di Kompleks PAS negeri kedah menekankan tentang halatuju ulamak haraki PAS dalam memperjuangkan Islam sebagai pemimpin politik dan cabaran serta keyakinan dalam menegakkan Islam. 

Multaqa Ulamak Se-Malaysia yang bersidang pd 14 september 2013 mengambil beberapa resolusi yg terkandung di dalam ucaptama dan perbahasan seperti berikut: 

1- Ulamak Haraki hendaklah memposisikan diri mereka dgn lebih berkesan sebagai pemimpin politik yg menyambung tugas para nabi-nabi. Mereka hendaklah memahami tentang cabaran semasa dan mempertingkatkan keyakinan terhadap Allah bagi menegakkan Islam. 

2- Multaqa Ulamak Se-Malaysia juga mengajak para ulamak haraki PAS bagi melakukan pengukuhan gerakerja,  antaranya ;
i-  mengukuhkan gerakerja tarbiyah 
ii- mengukuhkan kedudukan kepimpinan ulamak yg menjadi tunjang utama kepada PAS. 
iii-memperkasakan ilmu pengurusan dan kepimpinan

3- Multaqa Ulamak Se-Malaysia mengambil ketetapan untuk bersama-sama menangani dan menghadapi pemikiran yg merosakkan (haddamah) dengan pelbagai usaha dan pendekatan supaya umat Islam tidak tersasar dari asas Islam. 

4- Multaqa Ulamak Se-Malaysia mengambil ketetapan mencadangkan kepada Pas Pusat supaya melakukan analisa yang menyeluruh dan telus serta mengemukakan analisa  bagi tujuan untuk menilai prestasi pru 13 untuk lonjakan pru 14.

5- Multaqa Ulamak Se-Malaysia turut mencadangkan supaya Tahaaluf Siyaasi bersama rakan-rakan Pakatan Rakyat khususnya PKR disemak semula oleh Majlis Syura Ulama dan Jawatankuasa PAS Pusat melalui kuasa yang ada bagi tujuan menjaga maslahah dan membendung serta menghalang mafsadah Syar'iyyah. 

6- Multaqa Ulamak Se-Malaysia menyarankan kpd semua kerajaan-kerajaan negeri di bawah PR supaya memberi ruang yang munasabah dan bersesuaian kepada ulamak haraki PAS yang berkelayakan supaya dapat melibatkan diri mereka di dalam urusan pentadbiran dan pemerintahan. 

7- Multaqa Ulamak SeMalaysia menerima saranan daripada wakil-wakil perbahasan untuk menegaskan bahawa jawatan Presiden dan Timbalan Presiden Pas sewajarnya daripada kalangan ulamak yg memahami dan faqih tentang islam dan realiti semasa. Jawatan-jawatan lain termasuk naib-naib presiden juga turut perlu dipertimbangkan daripada kalangan ulamak dengan gandingan bersama golongan profesional dan aktivis. 

8. Multaqa Ulamak Se Malaysia menyeru kepada seluruh ulamak haraki PAS supaya bersiap sedia untuk mengukuhkan kedudukan dan memainkan peranan masing-masing dalam usaha mencapai kemenangan dalam PRU14 ke arah perlaksanaan Islam yang syumul di Malaysia.

Teruskan berjuang menentang kerajaan zalim - Mangsa tahanan


Oleh MUHAMMAD FAEEZ AZAHAR

IPOH: Teruskan perjuangan, teruskan perjuangan dan teruskan perjuangan! Jangan berputus asa untuk berjuang menentang kerajaan zalim," demikian pesanan daripada 13 mangsa tahanan yang sedang ditahan di penjara Tapah ketika ini.

Pesanan tersebut dikirim oleh seorang mangsa, Bad Latif Mansor kepada Isterinya, Nashita Md Noor ketika diberi peluang melawatnya pagi ini.

Beliau dibenarkan melawat bersama-sama tiga orang anaknya serta ahli keluarga mangsa tahanan yang lain.

Nashita berkata, semangat kesemua mangsa tahanan sangat kuat dan tidak pernah luntur walaupun dikenakan hukuman penjara.

Menurutnya, mereka mengatakan hukuman yang dijatuhkan terhadap mereka adalah satu pengorbanan kepada masyarakat dan mengharapkan ianya menjadi satu semangat untuk terus berjuang.

"Suami saya menangis ketika saya hadir, tetapi semangat juangnya tidak pernah luntur.

"Persoalan dari mereka apakah kita di luar dapat kekalkan momentum perjuangan dan desakan sekiranya ditakdirkan dua tahun mereka disebalik tembok penjara. 

"Suami saya kata beliau rela dipenjarakan jika inilah perjuangan dan pengorbanan untuk rakyat bangkit melihat kezaliman.

"Beliau mengharapkan agar semua yang diluar dapat mendoakan kesejahteraan mereka dan terus berjuang disepanjang mereka dipenjara," katanya ketika berucap di luar penjara selepas selesai melawat.

Menurutnya, ke semua mereka dimasukkan dalam satu bilik sekali kecuali seorang yang dihantar ke Penjara Kuala Kangsar akibat masalah teknikal serta seorang mangsa muslimat di bilik berasingan.

"Setiap masa mereka sentiasa bersama, mereka tinggal satu bilik sekali. Mereka solat berjemaah bersama, tahajjut bersama, berzikir, menyampaikan kuliah, dan mengaji bersama.

"Mereka dipakaikan baju merah bermakna ianya adalah satu gred kesalahan paling berat bermakna ianya setara dengan kesalahan penjenanyah besar.

"Kami selepas ini hanya dibenarkan melawat sebulan sekali kerana ianya diklasifikasikan sebagai peringkat merah," jelas Nashita yang juga Aktivis Gerakan Mansuhkan ISA (GMI).

Menurutnya, mereka semua telah membayangkan bahawa hukuman yang dijatuhkan terhadap mereka kekal dan sudah bersedia dari segi mental untuk menghadapinya.

Namun katanya, mereka mengharapkan masyarakat khususnya para penyokong dapat berdoa agar tindakan susulan oleh pihak peguam akan berjaya.

Dalam pada itu, seorang lagi isteri mangsa tahanan, Laila mengucapkan jutaan terima kepada semua kerana memberikan sokongan padu kepada suaminya serta tahanan yang lain.

Menurutnya, beliau tidak sangka, diusia 59 tahun, suaminya, Isha Riduan Ishak, 59, dizalimi dengan dijatuhkan hukuman penjara.

Beliau menyatakan, suaminya itu mengalami kanser tiroid dan perlu menerima rawatan di Kuala Lumpur tidak lama lagi.

Namun jelas beliau, ianya telah dimaklumkan dan keseleruhan proses rawatan itu akan diuruskan oleh penjara.

"Saya tabah kerana saya tahu suami saya seorang pejuang dan beliau di medan harakah yang benar," jelas beliau dengan penuh semangat.

Dalam perkembangan berkaitan, Aini Syawati iaitu kakak kepada mangsa tahanan muslimat, Suhana berkata, beliau telah berpesan dan memberi semangat kepada adiknya agar terus tabah dalam menghadapi dugaan ini.

Menurut beliau, suhana adalah ibu tunggal kepada 3 anak dan salah seorang daripadanya mengalami masalah mental.

"Saya cakap dengan suhana, awak jangan menangis kerana perjuangan awak, kalau nak nangis, nangislah kerana awak dipenjarakan. Awak adalah pejuang yang hebat," jelas beliau.

Friday, September 13, 2013

HIMPUNAN KUALA KANGSAR: PAS PERAK SIMPATI

Kenyataan Media (13 September 2013)

Saya bagi pihak Badan Perhubungan PAS Negeri Perak merakamkan simpati terhadap semua 13 orang kena tuduh berikutan Mahkamah Seksyen Kuala Kangsar telah menjatuhkan hukuman 2 tahun penjara dan denda RM5,000 setiap seorang pada hari ini. Kami, PAS Perak dan juga Pakatan Rakyat (PR) Negeri Perak akan berusaha membantu semua yang kena tuduh dan tindakan selanjutnya telah diambil oleh Pasukan Peguam bagi memohon rayuan di atas hukuman yang telah dikenakan oleh mahkamah.

Saya tekankan, kami menghormati keputusan mahkamah tersebut dan dalam masa yang sama mengharapkan tiada sebarang tindakan berbentuk provokasi yang akan diadakan. Berikan kepercayaan kepada Pasukan Peguam kita bagi mendapatkan keadilan bagi mereka yang terlibat. Saya menyeru agar semua pihak memanjatkan doa agar keputusan kelak yang akan berpihak kepada kita semua. Saya juga sarankan agar diadakan solat-solat hajat dan munajat bagi mendapatkan kebaikan kepada mereka yang terlibat.

Saya mengharapkan semua ahli keluarga mereka yang terlibat agar bersabar dan sentiasa berdoakan agar 13 orang kena tuduh tersebut diberikan kekuatan sebelum proses rayuan yang akan dikemukakan kelak. Saya juga telah mengarahkan PAS Kawasan yang terlibat dimana jika terdapat orang yang kena tuduh di tempat mereka agar membantu ahli keluarga mereka bagi meringgankan beban. Ini kerana kami dimaklumkan bahawa kebanyakkan mereka yang terlibat menghadapi masalah kewangan yang amat diperlukan bantuan setelah mereka kini dipenjarakan.

PAS Perak juga telah mengarahkan semua PAS Kawasan agar melancarkan tabung khas bagi tujuan membantu ahli keluarga mereka yang terlibat. Bagi tujuan yang sama juga untuk memudahkan mana-mana pihak yang ingin menyalurkan sumbangan melalui Akaun Maybank Berhad atas nama Parti Islam Se Malaysia (PAS) – 55 84 53 10 02 25. Untuk keterangan lanjut diharap berkunjung ke Pejabat PAS Perak, No. 13, Medan Istana 3, Bandar Ipoh Raya, Ipoh atau hubungi talian – 052557231.

YB HAJI ABU BAKAR HUSSIEN
Pesuruhjaya,
PAS Negeri Perak.

"Kami kuat, yang lain teruskan perjuangan"

KUALA KANGSAR: "Kami bersama perjuangan Dr Morsi serta seluruh pejuang Islam diseluruh negara dan Malaysia. Kami kuat dan yang lain diluar teruskan perjuangan," demikian pesanan ringkas Bad Latif.

Beliau adalah salah seorang daripada 13 peserta demonstrasi di Bukit Chandan ketika krisis politik di Perak yang dijatuhkan hukuman penjara dua tahun dan denda RM5000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar hari.ini.

Kata-kata itu dinyatakan beliau ketika dihubungi oleh isterinya Nashita Md Noor.

Mengulas tentang keputusan mahkanmah itu, Nashita berkata, beliau dan suami memang difahamkan kes tersebut agak berat kerana berkait dengan institusi diraja.

Namun katanya, di dalam perbicaraan kes itu, pihak tertuduh telah mengemukakan hujah serta bukti yang kukuh berbentuk rakaman video dan gambar bagi menjadikan rujukan dalam menentukan hukuman.

"Suami saya ditahan ketika mengambil gambar dan ketika ditahan, kamera masih berada tergantung di bahunya.

"Jadi kita sudah bagi bukti, mereka bukan membuat rusuhan bahkan daripada bukti-bukti rakaman dan gambar yang kami kemukakan, mereka ini membantu menyekat pihak-pihak yang ingin membuat provokasi.

"Jadi kita harap hakim pertimbangkan daripada bukti, keterangan tertuduh serta saksi tetapi beliau tidak sangka hakim menjatuhkan hukuman mandatori," katanya ketika ditemui Harakahdaily di perkarangan mahkamah.

Beliau terkejut hakim memutuskan semua tertuduh tidak boleh dibuat rayuan dan penangguhan hukuman kerana ianya tidak pernah berlaku di negara ini dalam kes berkaitan.

"Saya tak sangka, mereka terus digari dan dibawa ke penjara sekarang juga," jelasnya lagi.

Biarpun berdepan dugaan suaminya dipenjara, Nashita berkata beliau cuba kuat untuk meneruskan kehidupannya bersama anak-anak selepas ini.

Ujarnya, telefon bimbitnya tidak putus-putus dihubungi oleh pelbagai pihak bagi menyatakan sokongan dan dorongan kepadanya.

"Ramai yang menghubungi saya dan bertanya nak beri bantuan macam mana dan dari segi mana, ini memberikan semangat kepada saya.

"Sebelum ini saya banyak membantu keluarga mangsa tahanan ISA yang lebih berat hukumannya. 

"Saya yakin saya boleh lakukan, saya seorang wanita yang kuat!," tegas beliau yang juga aktivis Gerakan Mansuh ISA (GMI).

- HarakahDaily

Gambar-gambar sekitar penahanan peserta Demo Bukit Chandan

Pimpinan Pakatan Rakyat Perak turut serta menghadiri perbicaraan di Mahkamah Kuala Kangsar pagi ini. Mereka juga memberikan semangat kepada 13 orang yang dijatuhkan hukuman penjara 2 tahun serta denda RM5000.

Kesemua tahanan digari dan dibawa ke Penjara Tapah.








Semoga kesemua mereka diberi kekuatan oleh Allah Taala dalam menempuh ujian yang getir ini. 

Followers