Sunday, January 6, 2013

Bekas AJK Umno Gopeng isytihar rumah sebagai markas Pas



IPOH: Akibat geram dengan tindakan Umno yang menghentam dirinya, Bekas AJK Umno Gopeng mengisytiharkan salah sebuah rumahnya sebagai markas.

(Anak kepada cikgu Nazri bersama isteri menyerahkan borang permohonan keahlian dan borang penubuhan cawangan kepada Dr Muhaimin sulam)

Cikgu Nazri Nordin, 59, sangat terkilan dengan tindakan Umno yang menyerang dirinya termasuk keluarganya bertalu-talu selepas beliau mengisytiharkan diri menyertai PAS dan menyerahkan borang keahlian kepada Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat 16 Jun lalu.

"Saya mengisyiharkan rumah saya itu sebagai Markas dan akan menubuhkan cawangan baru di kampung tersebut.

"Dengan usaha ahli keluarga telah berjaya mencari dana untuk memulakan penubuhan PAS Cawangan Kampung Sri Indah dan kini kami telah mendapat ramai ahli-ahli baru," katanya ketika berucap dalam ceramah bersama Bekas Naib Presiden Felcra, Dato' Ramli Buyong dan AJK PAS Pusat, Dr Muhaimin Sulam di Kampung Sungai Terap, Batu Gajah 26 Disember lalu.

Menurutnya, Umno telah mengugutnya apabila bercadang untuk mengadakan ceramah di rumahnya itu yang terletak berdekatan rumah Adun Sungai Rapat, Dato'  Hamidah Osman di Kampung Sri Indah, Sungai Terap.

Selepas ugutan itu, beliau telah membuat laporan Polis kerana risau jika berlaku apa-apa perkara yang tidak diingini.

Kata beliau, disebabkan itu, ceramah tersebut terpaksa dipindahkan di kampung bersebelahan atas arahan Polis apabila mendapat makluman akan berlaku kekececohan jika diteruskan mengadakan ceramah di rumah tersebut.

Cikgu Nordin menjelaskan, Umno tidak senang dengan tindakannya menyertai PAS kerana beliau mempunyai banyak rahsia termasuklah Dato' Hamidah Osman sepanjang beliau bersama parti itu.

Kata beliau, dugaan-dugaan yang ditempuhinya itu telah membuatkan beliau lebih bersemangat untuk berjuang dalam PAS untuk menjatuhkan BN khususnya Umno.

"Saya sedikit pun tidak risau dengan apa jua dugaan yang diterima dan ianya menjadikan peniup semangat untuk meneruskan perjuangan demi memenangkan Islam dan menjatuhkan BN," tegas beliau.

Mengulas lanjut, beliau turut menyatakan akan membuat tindakan undang-undang kepada sebuah laman blog pro Umno yang membuat pelbagai fitnah terhadap dirinya.

Sementara itu, Timbalan Yang Dipertua PAS Gopeng, Ustaz Radzi Zainon ketika ditemui berkata, beliau kesal dengan tindakan Umno yang membuat ugutan itu sehingga menyebabkan ceramah dipindahkan tempat dan ianya jelas tidak mengamalkan prinsip demokrasi.

Katanya, ini menggambarkan Umno tidak senang apabila penduduk setempat menerima maklumat yang benar daripada Pakatan Rakyat.

"Umno semakin terdesak mengekalkan kuasa sehingga terpaksa mengamalkan politik samseng," tegas mantan calon PAS di Dun Sungai Rapat itu.

Sumber: Perakite Daily

No comments:

Followers