Monday, January 28, 2013

Akhbar The Star pernah dimiliki Melayu?

"Beberapa tahun selepas teori kalau hendak memulakan akhbar baru mesti sanggup menghadapi rugi sekurang-kurangnya tiga tahun, maka seorang taikun Cina Pulau Pinang, Boon Siew, pengedar tunggal motorsikal Honda di Malaysia menerbitkan akhbar The Star. Dipercayai kekayaannya mampu rugi bahkan lebih dari tiga tahun.

Dari mula ia menyiarkan tulisan tetap setiap hari Ahad oleh Tunku Abdul Rahman Putra, bekas Perdana Menteri yang dikatakan pencen bulanannya tidak cukup bagi menampung keperluan kewangannya. Boon Siew sanggup membayar seribu ringgit kepadanya untuk satu tulisan. Tunku boleh dapat empat atau lima ribu ringgit sebulan. Ia tanda modal The Star besar dan ia melegakan kewangan Tunku.

Satu hari Boon Siew mengadap Tunku. Kata Tunku pada saya, Boon Siew minta fikirannya tentang tawaran seorang yang mengaku wakil Perdana Menteri Tun Razak untuk mengambil alih The Star. Tiada pilihan bagi Boon Siew melainkan menyerah pada tekanan itu. Terus Tunku mengira ia adalah percubaan orang-orang Tun Razak bagi menghalangnya meneruskan tulisannya. Kata Tunku, 'Inilah saja yang ada pada saya sekarang. Pasal apa depa nak kacau?"

Ruangan Tunku di akhbar itu mulanya Looking Back kemudian ditukar kepada As I See It. Antara kandungannya mengkritik pentadbiran Tun Razak. Bila Tun Hussein Onn menggantikan Tun Razak, ia terus mengkritik dasar dan pentadbiran Tun Hussein yang dirasanya tidak betul. Demikian juga dengan pentadbiran Dr. Mahathir. Satu kemungkinan lagi Boon Siew dipaksa menjualnya ialah The Star adalah akhbar yang ada potensi memecah monopoli The New Straits Times. Tan Sri Abdullah Ahmad, Setiausaha Politik Tun Razak yang sangat berpengaruh masa itu tentu ada maklumat tentang usaha mengambil alih The Star.

Tunku pun mengadu kepada penyokong setianya Tun Datu Mustapha, Ketua Menteri Sabah. Tun Mustapha tidak berlengah lalu datang kepada Tunku dengan satu beg eksekutif yang penuh duit. Tun Mustapha mengambil alih The Star dan menjadikan Tunku sebagai pengerusi. Apabila Tun Mustapha digulingkan dan dia pula mulai kesempitan duit, akhirnya The Star dijual pula kepada MCA. Maka The Star jatuh ke tangan kumpulan yang mempunyai modal yang sanggup menanggung rugi bukan sekadar tiga tahun, bahkan beberapa tahun. The Star bukan sekadar mampu memecahkan monopoli The New Straits Times, malah menjadi syarikat penerbitan Inggeris yang utama."

Kisah ini dipetik daripada buku terbaru karya Subky Abdul Latif yang bertajuk 'Propagandis Zaman' iaitu sambungan kepada Memoir Kewartawanannya, Anak Apak.

Banyak kisah-kisah sejarah negara di ceritakan melalui pengalaman beliau yang terlibat secara langsung sebagai wartawan pada waktu itu.



1 comment:

Unknown said...

Mahu beli satu naskhah

Followers