Friday, January 18, 2013

Bukan apa yang dikata tapi siapa yang kata

Fenomena video 'Listen' yang menjadi kejelekan rakyat Malaysia masakini telah membuka mata semua mengenai budaya bersuara di dalam pusat pengajian tinggi negara.

Selama ini, keadaan pembelajaran dan pemikiran para mahasiswa di dalam pusat pengajian tinggi negara telah tersorok jauh daripada pengetahuan kita.

Dengan pendedahan dan penyebaran video tersebut melalui laman youtube dan facebook, barulah kita tahu bahawa budaya pembelajaran di sana adalah mengenai 'Listen' atau dengar sahaja tanpa boleh menyuarakan pendapat.

Ini dibuktikan apabila salah seorang mahasiswa yang bernama Bavani telah ditekan, dikutuk dan direndah-rendahkan martabat beliau di dalam satu forum anjuran 'Suara Wanita 1 Malaysia' di hadapan khalayak ramai.

Kenapa jadi begitu? Kerana Bavani dengan beraninya telah menyoal beberapa soalan yang disertakan dengan fakta tetapi tidak sealiran dengan penganjur forum tersebut.

Moderator kepada forum itu, Sharifah Zohra telah secara biadap mengalihkan mikrofon daripada Bavani dan memberhentikan beliau dengan menyebut 'Listen' (dengar) sebanyak sepuluh kali dan diikuti dengan 'Let me speak' (biar saya bercakap) beberapa kali. (Rujuk video 'Suara Mahasiswa' tersebut di laman Youtube)

Apa yang saya ingin sampaikan disini adalah budaya masyarakat kita hari ini yang telah diterapkan sedari alam persekolahan dan pusat pengajian tinggi lagi iaitu sesuatu perkara atau isu yang diperkatakan itu akan lebih dipandang dari sudut siapa yang memperkatakannya berbanding apa yang dikatakannya walaupun yang dikatakan itu benar dan berfakta.

Dalam kes video 'Listen' ini sebagai contoh, walaupun Bavani telah memperkatakan sesuatu yang benar dan ditambah lagi dengan beberapa fakta diberikan beliau tetapi itu tidak menghalang moderator untuk memperkecilkan Bavani kerana yang dilihat adalah seorang mahasiswa yang belum tamat pengajiannya berbanding Sharifah Zohra sebagai moderator yang telahpun punya segulung ijazah (ini dinyatakan sendiri oleh Sharifah Zohra di dalam video tersebut).

Amatlah malang sekali apabila hujah sebegitu bernas boleh diketepikan begitu sahaja hanya kerana ianya datang daripada seorang pelajar.

Sepatutnya kita perlu berasa bangga kerana walaupun Bavani hanyalah seorang pelajar tetapi hujah berfakta yang diberikannya jauh lebih baik, berisi dan berkesan daripada hujah seorang graduan yang memesong isu kemanusiaan kepada permasalahan beberapa jenis haiwan.

Malaysia perlukan satu budaya yang baru. Budaya berani bersuara kerana kebenaran.

Walaupun siapa yang memperkatakannya, lihatlah kepada apa yang diperkatakan, bukan siapa yang mengatakannya.

"Orang yang mendengar sesuatu perkataan (biar dari mana perkataan itu), kemudian mereka ikut apa yang terbaik." - Surah Az Zumar : 18

No comments:

Followers