Sunday, January 20, 2013

Susah sangatkah untuk kenali siapa pemfitnah?

Masyarakat kita terutama kaum Melayu kelihatan agak sukar mengenali siapa pemfitnah siapa yang benar kerana si pengeluar fitnah kerap memberi laba dan ganjaran dunia kepada mereka.

Malah budaya membaca akhbar di kedai kopi di awal pagi berjaya mentarbiah pemikiran mereka kearah pemikiran sehala (dogmatik) bukannya lateral thinking.

Tambahan pula jenis akhbar yang disediakan oleh si tuan kedai hanya berkitar 3 akhbar lapuk yang tegar menghasilkan fitnah saban bulan, saban hari. Walaupun mereka disaman, mereka masih konsisten memproduksi fitnah semata-mata mengampu kepimpinan yang ada.

Orang Melayu sedar atau tidak 17 Januari 2013 yang lalu 5 orang  Hakim Mahkamah Persekutuan telah menolak rayuan Utusan ke atas keputusan Mahkamah Rayuan sebelum ini yang memihak kepada anggota Parlimen Shah Alam, Haji Khalid Samad.

Keputusan Mahkamah Persekutuan untuk  tidak memberikan kebenaran kepada pihak Utusan untuk merayu sekaligus keputusan Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi sebelum ini dikekalkan iaitu  memerintahkan Utusan membayar kos sebanyak RM10,000-00.

Malah Mahkamah Rayuan pada 24 Mei 2012 juga telah menolak dengan kos rayuan Utusan Malaysia ke atas keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang memerintahkan Utusan membayar gantirugi RM60,000-00 kepada Ahli Parlimen Shah Alam itu.

Kenapa mereka disaman? Jika kerajaan menjustifikasikan AES, saman ekor semata-mata untuk mendisiplinkan rakyat yang engkar mematuhi peraturan, maknanya yang kena saman dilabel kerajaan sebagai pesalah, pihak yang melanggar undang-undang. Melanggar undang-undang maknanya tidak baik.

Jadi hari ini kita tahu Utusan Malaysia disaman dan mereka dilarang merayu. Bermakna mereka tidak baik dan telah membuat salah.

Apa pula kesalahan mereka?

Kesalahan Utusan adalah menyiar di muka hadapan Utusan Malaysia bertarikh 10 September 2009 artikel  bertajuk ""ZULKIFLI BIDAS 'PAK JANGGUT' " dan diakui oleh Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Tuan Prasad Sandhosham Abraham pada 21 November 2011.

Rasanya tidak perlu penulis nyatakan isi artikel fitnah tersebut kerana pembaca boleh sahaja mencarinya melalui akses internet yang ada.

Utusan menfitnah berkali-kali dan mereka berkali-kali diputuskan bersalah oleh pihak Mahkamah. Ya, mahkamah sivil duniawi ciptaan manusia juga menyabit salah bagi dosa fitnah yang mereka keluarkan. Biar penulis senaraikan beberapa dosa yang Utusan lakukan sebelum ini;

1.       Pada 30 Ogos 2012 Mahkamah Tinggi Sivil Kuala Lumpur perintah  Utusan Melayu (M) Bhd bayar gantirugi kepada Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin isu berhubung pembelian nombor plat kenderaan WWW 1 oleh Sultan Johor.

2.       8 Oktober 2012- Utusan Malaysia mohon maaf kepada MP Seputeh Teresa Kok kerana fitnah yang disiar Mingguan Malaysia 12 Oktober 2008

3.       22 Jun 2012- Mahkamah Tinggi Pulau Pinang dapati akhbar Umno, Utusan Malaysia bersalah fitnah Ketua Menteri Pulau Pinang dan diperintah bayar RM450,000 kepada Lim Guan Eng. RM200,000 adalah untuk kerosakan yang dibuat oleh akhbar itu manakala RM250,000 lagi adalah kos mahkamah. Utusan Melaysia menulis pada 12 Mac 2008 bertajuk "Tiada lagi DEB" mendakwa DAP akan menghapuskan DEB.

4.       14 Disember 2011- Mahkamah Tinggi Pulau Pinang dapati, Utusan Malaysia bersalah fitnah Ketua Menteri Pulau Pinang isu berita yang bertajuk 'Kebiadaban Guan Eng' yang diterbitkan pada 20 Disember 2010. Utusan beri pampasan RM200,000 dan RM25,000 lagi sebagai bayaran kos. Utusan  menuduh Lim sebagai seorang 'rasis' dan 'anti-Melayu'.

5.       12 Mei 2012 Utusan Malaysia mohon maaf kepada senator bebas daripada Selatan Australia Nick Xenophon yang digambarkan dalam artikel sebagai anti-Islam. Permohonan maaf dan penarikan balik berita itu disiarkan di  Utusan dan laman web berhubung artikel yang disiarkan pada 1 Mei di akhbar dan web bertajuk 'Senator anti-Islam pantau BERSIH 3.0'.

Sifir mudah perlu kita terangkan kepada masyarakat terutama kaum Melayu bahawa saman fitnah adalah antara indikator mudah untuk mengenal hak dan batil. Sebagai contoh ramai pecacai UMNO, blogger upahan dan facebooker UMNO menggunakan kata-kata fitnah Anwar Al Juburi dan peliwat sebagai gelaran. Mereka lambakkan kata-kata ini sehingga mencipta stigma dan persepsi. Hakikatnya:

Mahkamah Tinggi telah membuat keputusan dalam kes liwat II, bahawa Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim didapati tidak bersalah dan dibebaskan.  Hakim Mahkamah Tinggi Mohamad Zabidin berkata, kedua-dua bukti DNA dan oral-lisan tidak boleh sabit kesalahan. Si penyokong UMNO haprak resah dengan keputusan hakim duniawi telah menaikkan baner 'Liwat tetap liwat' seolah mencabar keputusan Mahkamah. Tindakan mereka cukup aib.


Sebelum itu pada 19 Jun 2012  Anwar telah  menang kes saman fitnah terhadap Nallakaruppan a/l Solaimalai berhubung kenyataan menerima wang sebanyak RM60 juta di Mahkamah Tinggi kuala Lumpur. Kalau Nalla benar kenapa pelru disaman dan disabitkan salah?

Pelik apabila orang Melayu kian lupa bahawa ada seorang penfitnah besar telah meninggal dunia. Pada 18 Ogos 2005   Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur meluluskan tuntutan gantirugi sebanyak RM4.5 juta kepada Anwar  dalam saman fitnahnya terhadap penulis buku, Khalid Jefri (50 dalil mengapa Anwar tidak boleh menjadi PM). Malah tindakan  buku itu telah disebarkan kepada kesemua perwakilan dalam perhimpunan agung Umno pada bulan Mei 1998 dikritik Hakim sebagai perosak karier Anwar selepas itu.

Jadi, daripada mana sabit hukum penggunaan gelaran Al Juburi yang UMNO dan pecacai blogger mereka gunakan?

Bodohnya orang kita sehingga fakta rasuah dan pembaziran yang didedah Ketua Audit negara saban tahun dibutakan dan ditulikan daripada pengetahuan orang Melayu khususnya. Akibatnya mereka seolah-olah melihat tuduhan rasuah dan penyeleweng terhadap BN yang dilontar oleh pemimpin Pakatan Rakyat sebagai tiada usul, hadis maudhu' atau khabar palsu tanpa sanad dan rujukan. Sedangkan rujukan absah begitu mudah diakses iaitu Laporan Audit Negara yang dibayar gaji oleh kerajaan Malaysia juga!

Hal ini menjadi obligasi kita untuk menerangkan hakikat memandangkan masyarakat kita masih ada yang memerlukan 'spoon feeding' untuk faham sesuatu benda. Tugas anggota petugas penerangan perlu dipermantap dan diperkasa. Fakta-fakta mestilah  disusun dan Insya Allah kebenaran demi kebenaran pasti menjelma jua.

Sumber: blog landskapsiasah

No comments:

Followers