Tuesday, January 31, 2012

UJIAN KEPIMPINAN!!! Muhyiddin gagal jadi pemimpin sederhana

KUALA LUMPUR, 30 JAN: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah gagal dalam dua ujian kepimpinan apabila tidak menjadi pemimpin sederhana dan tidak mendokong konsep 1Malaysia ciptaan pemimpinnya Datuk Seri Najib Razak.

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata Muhyiddin telah gagal dalam dua ujian tersebut apabila beliau telah memberi reaksi paling rasis dan ekstremis terhadap kemasukan orang Melayu ke dalam DAP.

Katanya Muhyiddin telah memberi amaran kepada orang Melayu supaya jangan "jatuh ke dalam perangkap DAP" di samping bersikap rasis dan eksteremis apabila mendakwa kononnya "DAP tidak pernah sekali pun berjuang untuk hak orang Melayu."

Menurutnya, Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden UMNO sudah mula panik dengan penyertaan beberapa personaliti Melayu dalam DAP termasuk bekas wakil rakyat UMNO dari Pahang, Mohd Ariff Sabri Abdul Aziz; veteran UMNO Negeri Sembilan Aspan Alias; bekas Presiden Kesatuan Wartawan Kebangsaan Hata Wahari dan dua graduan undang-undang muda UiTM Fairuz Azhan Amirruddin dan Dyana Sofya Mohd Daud.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur berkata bahawa sejak penubuhan DAP, ia berjuang sebagai sebuah gerakan politik yang patriotik dan berbilang bangsa yang berdedikasi ke arah perjuangan untuk semua rakyat Malaysia, tidak mengira kaum, agama, mahu pun daerah.

Tambah beliau, DAP merupakan parti se-Malaysia yang pertama kerana bukan sahaja beroperasi di Semenanjung tetapi juga di Sabah dan Sawarak.

Sehingga hari ini UMNO dan MCA tidak beroperasi di Sarawak manakala sejarah DAP dalam Sabah dan Sarawak sudah melangkaui 30 tahun.

"Seperti mana yang saya sudah sebut dalam sidang media untuk menyambut kemasukan dua graduan muda UiTM, Fairuz Azhan dan Dyana Sofya, sudah terdapat lima wakil rakyat dari kaum Melayu dalam sejarah DAP Perak."

"Sejak dari mula penubuhan DAP sejak lebih empat dekad lalu, para pemimpin DAP di dalam dan luar Parlimen telah berjuang untuk orang Melayu yang tertindas dan dizalimi sebagaimana rakyat Malaysia yang lain sama ada berketurunan Cina, India, Orang Asli, Kadazan mahupun Iban," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Selepas tsunami politik pilihan raya umum 2008, Kit Siang berkata semakin ramai orang Melayu dapat melihat dan menilai UMNO yang cuba meracuni minda orang-orang Melayu yang menggambarkan DAP sebagai anti-Melayu, anti-Islam dan anti-Raja.

Menurut beliau, inilah yang menyebabkan panik di kalangan pemimpin UMNO seperti Muhyiddin kerana penipuan mereka terhadap DAP kini menemui satu pasaran yang kian meruncing termasuklah di kalangan orang Melayu.

"Kemasukan orang Melayu ke dalam DAP sepatutnya dilhat sebagai 'kejayaan' dasar 1Malaysia Najib, tetapi sebaliknya ini dikutuk oleh padangan rasis dan ekstremis Muhyiddin.

"Musuh utama 1Malaysia Najib sebenarnya datang daripada pandangan rasis dan ekstremis seperti Muhyiddin," tambah beliau.

No comments:

Followers

Video ajijoi

Loading...