Saturday, January 14, 2012

Jom bikin filem

Media baru kini merupakan pilihan utama rakyat untuk mendapatkan bahan berita yang cepat dan tepat, tanpa selindung mahupun tapisan. Peranan media utama negara dalam menyampaikan maklumat kini mendapat saingan daripada media baru. Kepercayaan merupakan kunci utama untuk menjadi pilihan.

Saingan yang semakin sengit dari sehari ke sehari telah menyuntik satu gelombang fenomena segar kepada penggiat media baru. Penghasilan video atau filem pendek menjadi kegilaan terkini dalam menarik dan mengumpul pengikut dalam produk hasilan mereka.

Teknologi penggunaan kamera digital (DSLR) sebagai alat utama untuk merakam video berkualiti tinggi (HD) telah membuka selera ramai untuk mencuba menghasilkan video atau filem mereka sendiri. Dengan adanya laman YouTube sebagai tempat meletakkan video atau filem tersebut dan juga laman-laman sosial seperti Facebook, Twitter mahupun blog sebagai medan penyampaian, jumlah penonton yang akan menyaksikan hasil video atau filem tadi memang mengejutkan. Apatah lagi, kini mereka bukan sahaja menonton tetapi kerap berkongsi (Share) video atau filem tersebut bersama rakan-rakan mereka.

Setelah kejayaan filem pendek 'Gua Ikut Enta The Movie' dan 'Oley!', kini pelbagai lagi filem-filem pendek berjaya dihasilkan oleh orang perseorangan mahupun kumpulan-kumpulan yang mula bergiat didalam bidang ini. Saban hari, ada sahaja filem ataupun video pendek yang dihasilkan dengan pelbagai tema untuk menyampaikan mesej mereka masing-masing.

Jangan dibiarkan sahaja gelombang video yang melanda alam siber hari ini, ayuh bersama-sama kita memeriahkannya dengan menterjemahkan buah fikiran dan pandangan di dalam bentuk filem.

Ayuh! Jom bikin filem.

No comments:

Followers