Friday, February 13, 2009

Nizar fail saman angkat sumpah tidak sah Zambry

Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sempat melambai ketika beliau diasak para jurugambar semasa memfailkan saman terhadap Menteri Besar Perak, Datuk Dr Zambry Abdul Kadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini.

KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Besar Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin hari ini mengemukakan permohonan di Mahkamah Tinggi di sini bagi mendapatkan perisytiharaan bahawa beliau masih merupakan Menteri Besar Perak yang sah.

Mohammad Nizar, 52, juga memohon mahkamah mengeluarkan perintah deklarasi bahawa Datuk Dr Zambry Abdul Kadir, yang telah dilantik sebagai Menteri Besar Perak yang baru pada 6 Feb lepas, tidak berhak memegang jawatan itu.

Beliau, yang hadir di mahkamah dengan berbaju Melayu lengkap berwarna hijau, memfailkan permohonan itu di Pejabat Pendaftaran Mahkamah Rayuan dan Kuasakuasa Khas di sini, melalui Tetuan Leong & Tan kira-kira pukul 12 tengah hari tadi.

Mohammad Nizar, yang merupakan Anggota Dewan Undangan Negeri Pasir Panjang apabila memenangi kerusi itu pada pilihan raya umum pada 8 Mac 2008, menamakan Zambry sebagai responden dalam permohonan tersebut.

Dalam permohonan itu, Mohammad Nizar, yang memegang jawatan Menteri Besar Perak pada 17 Mac tahun lepas, mendakwa beliau masih merupakan Menteri Besar yang sah atas tiga alasan berikut:

Pertama, tidak terdapat pembubaran Dewan Undangan Negeri Perak;
Kedua, tidak terdapat usul tidak percaya diambil dan diterima pakai oleh Dewan Undangan Negeri terhadapnya sebagai Menteri Besar Perak; dan
Ketiga, tidak terdapat peletakan jawatan Menteri Besar Perak.

Dalam afidavit sokongan terhadap permohonan itu, Mohammad Nizar menyatakan dua Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN), Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang) dan Mohd Osman Mohd Jailu (Changkat Jering) meletakkan jawatan sebagai Anggota Dewan Undangan Negeri melalui surat bertarikh 30 Januari 2009, dan seorang lagi ADUN Hee Yit Foong (Jelapang) meletakkan jawatan beliau melalui surat bertarikh 3 Feb, 2009.

"Berikutan peletakan jawatan itu, Barisan Nasional kini mempunyai 28 Anggota Dewan Undangan Negeri. Saya telah memaklumkan kepada Sultan perkembangan terkini dan berdasarkan prinsip demokrasi, memohon agar Dewan Undangan Negeri dibubarkan bagi membolehkan rakyat Perak memilih semula kerajaan yang mereka kehendaki.

"Melalui kenyataan media pejabat Sultan pada 5 Februari 2009, Sultan bertitah tidak akan membubarkan DUN dan sekiranya saya serta ahli Majlis Mesyuarat Negeri tidak meletakkan jawatan, jawatan kami akan dianggap kosong.

"Saya menegaskan bahawa walaupun terdapat usaha mengusir saya daripada jawatan Menteri Besar Negeri Perak, saya masih Menteri Besar dan masih menjalankan fungsi dan tugas dengan baik, cermat dan adil," katanya dalam afidavit itu.

Mohammad Nizar, yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak, memohon mahkamah mengeluarkan perintah supaya responden memberikan tunjuk sebab bagaimana dan di bawah dasar apa beliau (Zambry) berhak memegang jawatan Menteri Besar Perak.

"Responden telah secara tidak sah mengambil dengan tiada hak dan merampas jawatan Menteri Besar, serta menjalankan tanggungjawab, fungsi dan tugas sebagai Menteri Besar secara tidak sah dan bercanggah dengan Undangundang Tubuh Kerajaan Negeri Perak.

Katanya "Responden kini membuat representasi kepada rakyat Malaysia bahawa beliau adalah Menteri Besar Negeri Perak, ini mengelirukan rakyat," menurut permohonan itu.
Mohammad Nizar juga memohon perintah injunksi bagi menghalang responden daripada melaksanakan tanggungjawab dan tugastugas Menteri Besar di negeri itu.

Beliau mendakwa terdapat pertikaian undangundang perlembagaan membabitkan Fasal 16(6) Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak berkenaan status jawatan Menteri Besar di antara beliau dan responden.

"Di bawah undang-undang tubuh, pemohon (Mohammad Nizar) tidak memegang jawatan Menteri Besar bersandarkan keredaan Sultan, juga tidak terdapat peruntukan untuk pemohon diarahkan meletakkan jawatan atau dipecat dari jawatan Menteri Besar," kata permohonan itu.

Mohammad Nizar turut menuntut ganti rugi punitif, ganti rugi keterlaluan dan ganti rugi teladan serta kos daripada responden. BERNAMA

No comments:

Followers