Sunday, April 10, 2011

Tanah Rizab Melayu Teluk Rubiah telah tergadai


FAKTA YANG PERLU DI KETAHUI MENGENAI EKSPLOITASI GUNA-TANAH
KAWASAN CADANGAN PROJEK DAN PERSEKITARANNYA
(CADANGAN PROJEK KILANG MEMPROSES BIJIH BESI OLEH
SYARIKAT VALE INTERNATIONAL SA DI TELUK RUBIAH, DAERAH MANJUNG, PERAK)

Pada asalnya keseluruhan kawasan cadangan projek dan persekitarannya ialah sebuah kampung tradisional nelayan yang dikenali sebagai Kampung Teluk Rabiah yang berstatus Tanah Rizab Melayu (Malay Reserve) dan juga sebahagian daripada Hutan Simpan Teluk Muroh (Teluk Muroh Forest Reserve).

Eksploitasi keseluruhan kampung tradisional nelayan Kampung Teluk Rabiah dan sebahagian daripada Hutan Simpan Teluk Muroh bermula pada tahun 1983 apabila Kerajaan Negeri bercadang kawasan tersebut dimajukan untuk tujuan pembangunan komersial khususnya pelancongan mewah.

Untuk memajukan pembangunan tersebut, Kerajaan Negeri telah mengguna-pakai peruntukan perundangan mengikut Seksyen 4, Akta Pengambilan Tanah 1960 (No Warta: 264 - Tarikh Penyiaran Warta: 17 Mac 1983) bagi maksud Projek Pelancongan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) dalam kawasan Teluk Batak / Teluk Rubiah, Mukim Lumut, Daerah Dinding, Perak.

Sebahagian daripada HS Teluk Muroh pula telah dimansuhkan penwartaannya sebagai Hutan Simpanan Kekal (HSK) seluas kira-kira 487 hektar iaitu daripadanya seluas 274 hektar diberi milik kepada PKNP dan seluas 213 hektar lagi masih berstatus Tanah Kerajaan (No Warta: 1112 - Tarikh Penyiaran Warta: 29 September 1988).

Bagaimanapun kawasan seluas 350 hektar daripada 487 hektar HS Teluk Muroh yang telah dimansuhkan penwartaannya sebagai HSK dijadikan sebagai padang golf dan ‘resort’ serta banglo yang dikenali sebagai ‘Teluk Rubiah Country Club’ dan ‘Teluk Rubiah Resort’.

Mengikut dokumentasi Jabatan Perhutanan, keluasan asal keseluruhan HS Teluk Muroh semasa ditubuhkan pada 26 Oktober 1948 ialah 917.93 hektar. Baki HS Teluk Muroh yang masih ada setelah sebahagian dimansuhkan penwartaannya sebagai HSK ialah seluas kira-kira 430.93 hektar.

HS Teluk Muroh pernah dikelaskan sebagai Hutan Simpanan Dara (VJR) mengikut Seksyen 10 (g), Akta Perhutanan Negara 1984. Sejenis spesies palma yang terancam (Phoenix paladosa) juga telah ditemui berhampiran kawasan cadangan projek (berhampiran Loji Janakuasa Manjung).

Malah mengikut ulasan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Negeri Perak (Jab PERHILITAN Negeri Perak) pula, kawasan cadangan projek masih kaya dengan pelbagai fauna dan avifauna dan kebanyakannya dilindungi mengikut Akta Perlindungan Hidupan Liar 1972.

Oleh kerana keseluruhan kawasan Kampung Teluk Rabiah dan persekitarannya dicadangkan untuk tujuan pembangunan komersial (pelancongan mewah), Kerajaan Negeri telah memansuh Rizab Melayu Teluk Rabiah seluas kira-kira 163 hektar mengikut Seksyen 4 (i)(b), Enakmen Rizab Melayu (No Warta: 738 - Tarikh Penyiaran Warta: 20 Julai 1989).

Semua penduduk kampung tersebut telah berhijrah ke tempat-tempat lain terutama di sekitar Daerah Manjung. Penghijrahan penduduk dari Kampung Teluk Rabiah dibayar pampasan dan diberi penempatan baru atau mereka sendiri yang berhijrah kerana bertujuan mengubah penghidupan yang lebih baik.

Manakala tanah perkuburan yang ada di bekas Kampung Teluk Rabiah juga dipindahkan.

Apabila sebahagian HS Teluk Muroh yang dimansuhkan penwartaannya sebagai HSK mula dieksploitasi (dibalak) pada tahun 2001, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Perak telah menyuarakan bantahan kepada Kerajaan Negeri kerana kawasan tersebut pada keseluruhannya ialah Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS).

Bantahan tersebut disokong oleh beberapa NGO lain dan Sekolah Membina Semangat Malaysia (OBS Malaysia) termasuk Sahabat Alam Malaysia (SAM).

Kesungguhan dan usaha menyelamat sebahagian HS Teluk Muroh daripada dimansuhkan penwartaannya sebagai HSK oleh NGO yang berkenaan dan sokongan beberapa NGO dan pihak lain, menyebabkan Kerajaan Negeri mewartakan semula sebagai HSK sebahagian yang dimansuhkan seluas hanya kira-kira 89.83 hektar (No Warta 746 - Tarikh Penyiaran Warta: 28 April 2004). Kini keluasan keseluruhan HS Teluk Muroh ialah kira-kira 520.76 hektar.

Keluasan HS Teluk Muroh semakin berkurangan apabila Kerajaan Negeri melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) telah meluluskan pemansuhan sebahagian lagi hutan simpan tersebut seluas kira-kira 121.16 hektar pada 6 Januari 2010.

Oleh kerana sebahagian guna-tanah semasa kawasan cadangan projek dan persekitarannya masih dilitupi kawasan semula-jadi (lebih 400 hektar kawasan cadangan projek adalah guna-tanah hutan - hutan primer dan hutan sekunder jenis hutan bukit pantai) dan pantai yang tidak terganggu, Majlis Perbandaran Manjung (MPM) telah mewartakan (sebelum cadangan projek ini) sebagai Zon Pelancongan dan kawasan perumahan berkepadatan rendah.

Tetapi pada 23 Februari 2010 Kerajaan Negeri telah mewartakan pengubahan zon daripada Zon Pelancongan kepada Zon Perindustrian tanpa mengambil-kira ulasan dan bantahan berbagai pihak dan ‘stakeholder’ yang berkepentingan semata-mata untuk cadangan projek tersebut.

Harap maklum.

Disediakan oleh,
Sahabat Alam Malaysia.

Artikel Yang berkenaan:-
1. Sempadan Teluk Rubiah & Teluk Batik Yang Tergadai:http://www.facebook.com/album.php?fbid=205096186169229&id=167668853245296&aid=54433

2. Dihalau Oleh Warga Asing di Bumi Sendiri: http://www.facebook.com/notes/mohd-syafri-rokok/di-halau-oleh-bangsa-asing-di-bumi-sendiri-selamatkan-teluk-rubiah-dari-kerakusa/10150201529806774

3. Tapak Perkuburan Islam Teluk Rubiah Yg Terjual & Akan Dipindahkan:http://www.facebook.com/album.php?fbid=1343898253495&id=1712422991&aid=36963

4. Artikel, gambar & video penuh: http://facebook.com/SaveTelukRubiah

No comments:

Followers

Video ajijoi

Loading...