Tuesday, April 26, 2011

Malaysia menuju negara Kleptokratis?

Mungkin besar peratusannya Negara kita sudah menjengah ke tahap negara kleptokratis sebagaimana ungkapan yang ditulisan oleh Prof Madya Dr Syed Farid Alatas sebagai pengantar buku Rasuah, Sifat Sebab dan Fungsi karya Syed Hussain Alatas. Istilah kleptokratis dipopularkan oleh Stanislav Andreski (1970) dalam menghurai ciri-ciri negara yang sarat dengan aktiviti dan budaya hidup rasuah serta nepotisme.

Antara yang jelas bagi sesebuah negara kleptokratis adalah sebarang pertolongan dan bantuan diasaskan atas nama wang, ganjaran dan hadiah. Malah sebenarnya negara tersebut bukan menjunjung aspirasi dan tradisi perintah demokrasi, sebaliknya segala sudut dan sendi masyarakat digenggam oleh sekelompok oligarkis baik daripada peringkat kabinet, legeislatif, pendidikan, hiburan dan sukan. Malah komuniti kampung seumpama JKKK pun mampu dihinggapi oleh wabak oligarki. Ada banyak kampung di negara ini yang tidak membawa cara tadbir demokrasi sebaliknya keputusan dan pekuang ditentukan oleh kelompok oligarki yang bermaharajalela walaupun hanya di peringkat kampung.

Apa maknanya oligarki dalam sesebuah negara? Negara atau masyarakat yang sarat dengan budaya oligarki akan dikuasai oleh segelintir kleptokrat egoistik yang elit, berharta, berpengaruh serta sentiasa mengambil kesempatan atas pihak yang lemah.

Secara umum rasuah di negara ini boleh diketogarikan sebagai rasuah egoistik dan rasuah solidaristik. Rasuah egoistik banyak menjangkiti para pemodal, golongan kaya, produser, ahli korperat yang memperkudakan golongan politik, pemimpin dan perlaksana seumpama jurutera, arkitek mahupun guru dan doktor. Manakala rasuah solidaristik cukup banyak mengasai para menteri, ahli parlimen amlah sehingga ke peringkat ketua kampung yang membantu sanak saudara melalui pintu belakang atas nama membantu keluarga, membantu bangsa atau lebih jelek melegitimasikan rasuah atas nama bumiputera.

Budaya pentadbiran dan kehidupan di malaysia kini cukup menyuburkan budaya rasuah defensif di mana rakyat, ahli perniagaan, kontraktor mahupun artis terpaksa menyediakan sogokan untuk menerima habuan tender, projek, peluang untuk ke hadapan. Ia berasal dari gejala rasuah pemerasan extortive corruption yang diamalkan oleh para oligarki. Oligarki ini tidak mengenal apa itu demokrasi, pengagihan kekayaan dan kesaksamaan peluang sesama rakyat. Yang ada di fikiran mereka adalah bagaimana mengaut keuntungan ke atas bakat dan upaya pihak lain dengan menapis (mark up) wang dan ganjaran sebelum meluluskan peluang kepada pihak yang diperas. Kaibatnya golongan berbakat, golongan peniaga dan sebagainya terpaksa menyuburkan budaya rasuah defensi untuk hidup di muka bumi ini. Bukankah ia tetap rasuah?

Rasulullah bersabda; “Allah melaknat pemberi rasuah dan penerimanya” (Riwayat al-Tirmizi dan Ibn Majah). Di Malaysia masih ramai para Haji dan Hajjah yang ingin mengaut projek tertentu memulai projek dengan merasuah dahulu semata-mata untuk medapat perhatian dato’ dato’ tertentu walauapun projek tersebut melakukan pekerjaan halal seperti projek menyediakan makanan dan sebagainya.

Akhbar Sinaar Harian 18 April 2011 mungkin melakukan kelainan kerana memaparkan satu temubual dengan beberapa artis Malaysia berkenaan rasuah dan sogokan yang berlaku di kalangan artis, produser dan pengarah. Datuk Aziz satar yang berpengalaman luas mengakui gejala rasuah berlaku dalam dunia artis dan hiburan. Pekaon Abby Abadi pula mengaakui pernah mendengar desas desus adanya artis wanita menjual tubuh untuk mendapat peluang berlakon, menerbit album dan sebagainya. Manakala jawapan Presiden Persatuan Sutradara Malaysia, Mat London mungkin mengecewakan kerana beliau menganggap layanan dan siap mesra artis terentu terhadap penerbit dan pengarah bukan bermakna rasuah sebaliknya digelar ‘bijak mencari peluang’. Yang menjadi perhatian di sini adakah cara pencarian peluang tersebut mengikutia syarak? Tidak mendedah aurat, tidak melayani seperti pasangan sah dan sebagainya. Kerosakan akhlak para artis atas nama mencari peluang atau atas nama ‘mencari rezeki halal’ tidak bermakna dan ia adalah fasad.

Dalam akhbar yang sama Dr Ridhuan Tee mungkin jelas menyelar golongan yang menjadi punca rasuah iaitu golongan perasuah extortive yang menyebabkan beberapa anggota Kastam dan penjawat awam negara ini terpaksa menerima rasuah untuk melakukan perkara menyalahi undang-undang. Semua penjawat awam sedar implikasi rasuah yang merosakkan negara. Tetapi mengapa masih ada pihak menerima rasuah? Jika diteliti lagi jelas ia menjadi lumra dan kebiasaan akibat rasuah-rasuah mega yang dilakukan oleh para pemimpin masih banyak tidak dibongkar dan diselesaikan.

Firman Allah dalam An Nisa’ ayat 135, Wahai orang-orang Yang beriman! hendaklah kamu menjadi orang-orang Yang sentiasa menegakkan keadilan, lagi menjadi saksi (yang menerangkan kebenaran) kerana Allah, sekalipun terhadap diri kamu sendiri, atau ibu bapa dan kaum kerabat kamu. kalaulah orang (yang didakwa) itu kaya atau miskin (maka janganlah kamu terhalang daripada menjadi saksi Yang memperkatakan kebenaran disebabkan kamu bertimbang rasa), kerana Allah lebih bertimbang rasa kepada keduanya. oleh itu, janganlah kamu turutkan hawa nafsu supaya kamu tidak menyeleweng dari keadilan. dan jika kamu memutar-balikkan keterangan ataupun enggan (daripada menjadi saksi), maka Sesungguhnya Allah sentiasa mengetahui Dengan mendalam akan apa Yang kamu lakukan.

Allah jelas melarang kita membezakan golongan yang patut diberikan penyaksian atau memilih pangkat dan keturunan. Jika rasuah wujud di kalangan rakyat ikan bilis sehinggalah golongan oligarki yang besar umpa jerung tetap perlu disiasat dan diberi penyaksian atas rasuah mereka.

Menurut Ramli Abdul Samad aliran pendapatan negara sepanjang 10 tahun lalu menunjukkan bahawa hampir 34% daripada 1.3 juta pekerja memperolehi kurang RM700 sebulan sedangkan garis kemiskinan adalah RM720 sebulan. Sementara itu negara dengan jumlah penduduk seramai 27 juta orang telah berjaya menghasilkan seramai 22 orang bilioner. Peruntukan sebanyak RM52 bilion selama beberapa Pelan Rancangan Malaysia sebelum ini untuk ekuiti orang Melayu telah hangus atas angin dan menjadikan orang Melayu masih memegang lebih kurang 2-3% ekuiti. Jika tidak impian kerajaan melihat ekuiti orang Melayu sebanyak 30% sudah tercapai. Ketirisan wang sebanyak RM28 bilion berlaku setiap tahun.

Lebih sedih ada yang beralasan, biarkan ketirisan wang berlaku bukankah yang mendapat habuan adalah golongan rakyat negara ini yang bakal membayar cukai kepada kerajaan dan negara? Bukankah faedahya akan kembali kepada rakyat?

Persoalannya tujuan wang dilabur dan disalurkan melalui projek-projek tertentu adalah untuk merealisasikan matlamat dan mencapat KPI tinggi keberhasilannya dan bukan sekadar indah di kertas kerja sahaja. Jika alasan faedah cukai kembali ke negara digunakan tidak pelrulah projek-projek indah dilaksanakan atas nama kebajikan kepada rakyat. Salurkan terus kepada si oligarki penagih wang tertentu. Lagipun, wang yang tiris ke tangan penagih rasuah selalunya disimpan ke bank luar negara yang menyebabkan kurangkan faedah kembali ke dalam negara.

Tidak hairan jika Prof Datuk Hassan Ahmad pernah berkata dalam makalah tetapnya dalam Dewan Masyarakat, orang Malaysia yang sebenarnya miskin dan papa bukannya rakyat bawahan yang cukup makan dan pakai. Sebaliknya golongan jutawaan yang papa kedana kerana seringkali menagih perhatian pemimpin tertentu untuk hidup dan mendapat kemewahan hidup. Inilah golongan miskin sebenar negara kita.

Muhammad Nuruddin Bashah

Ketua Penerangan DPPK Gopeng 2011

No comments:

Followers