Monday, April 11, 2011

Kejutan 'tsunami' dari Bumi Kenyalang


11 APRIL — “Tak payah lah you orang gempur Sarawak kuat-kuat, BN mesti menang punya,” kata seorang Timbalan Menteri kepada sekumpulan Ahli Parlimen (MP) Pakatan Rakyat ketika minum-minum di lobi Parlimen.

“Mana you tau BN mesti menang?” tanya seorang MP.

“Mestilah menang BN kuat punya, kita control Sarawak majoriti lebih dua pertiga,” kata Timbalan Menteri bukan daripada Umno tersebut.

“You tengok Selangor, Perak, Pulau Pinang, Kedah, you fikir BN boleh kalah ke?” lantas seorang MP yang lain menghujah.

Dahi Timbalan Menteri itu terus berkerut. Beliau terdiam seketika. “Itu cerita lain,” katanya sambil terus berlalu dari situ.

Dari raut wajahnya ketika terpingga-pingga akibat “pukulan” hujah simple MP Pakatan Rakyat.

Beliau terpingga-pingga kerana hampir ke semua negeri yang dimenangi Pakatan Rakyat, dikuasai penuh oleh BN. Lebih dua pertiga majoriti. BN juga tidak pernah mimpi untuk tewas di negeri-negeri tersebut.

Tsunami politik 2008 (bagi kerusi DUN) tidak berlaku di Sarawak kerana Pilihan Raya Negeri diadakan secara berasingan. BN Sarawak bagaimanapun menerima kejutan pertama selepas tewas kepada DAP dalam PRK Sibu.

Maknanya, penolakan rakyat terhadap BN masih boleh berlaku. Mungkin pada pendapat yang berbeza, BN Sarawak tidak mungkin tewas kerana perbezaan besar etnik, sosio budaya dan demografi daripada Semenanjung.

Harus diingat, kaum Melayu bukan kaum majoriti di Sarawak. Dalam masa yang sama kaum Tionghoa dan Iban secara majoritinya menolak BN dan Tan Sri Taib Mahmud.

PAS dan rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat, sudah mula turun ke Sarawak sejak sebelum hari penamaan calon.

Agak mengejutkan apabila rakyat Sarawak memberikan sambutan yang memberangsangkan kepada Pakatan Rakyat. Apabila kenderaan yang memasang bendera PAS, KeADILan dan DAP, rakyat akan menyambutnya dengan hebat. Mereka membunyikan hon, melambai tangan, bertepuk tangan dan ada di antara mereka bersorak.

Mereka bersorak kerana gembira mereka sudah mempunyai alternatif untuk menggantikan pemerintahan BN.

Malah di rumah-rumah panjang pun, walaupun yang datang berkempen di kalangan MP Pakatan Rakyat yang tidak dikenali, mereka berjaya menghimpunkan empat lima ratus orang.

Malah di sesetengah rumah panjang, mereka sanggup menunggu kedatangan sehingga dua tiga pagi.

Fenomena seperti ini tidak pernah berlaku dalam pilihan raya yang lepas-lepas. Kebiasaannya rakyat Sarawak agak pesimis dengan golongan pembangkang.

Kebanyakan mereka tinggal di kawasan pedalaman, tiada bahan komunikasi, tiada surat khabar, tiada televisyen.

Walaupun media talibarut BN seperti RTM, TV3, Utusan Malaysia, Berita Harian, apa sahaja pun kempen BN dipaparkan, hanya untul “halwa” penyokong BN di Semenanjung sahaja. Tidak lebih daripada itu.

Hakikat yang berlaku jauh daripada gambaran media talibarut BN. Sambutan rakyat kepada kempen calon-calon Pakatan Rakyat amat luarbiasa dan kita amat mengharapkan ianya diterjemahkan dalam bentuk undi.

Bagi kaum Tionghoa pula, mereka menggelar Taib Mahmud sebagai “Pek Mo” atau orang yang berambut putih. Mereka enggan menyebut nama Taib, mereka begitu muak dengan Taib dan BN. Dalam mana-mana ceramah Pakatan Rakyat, bila penceramah menyebut sahaja “Pek Mo” mereka akan bangun menyorak, menunjukkan kebencian terhadap Taib yang begitu tinggi.

Namun di sebalik ini semua, kita harus akui bukan mudah untuk menumbangkan Taib dan BN.

Kerusi Dewan Undangan Negeri ada 71, maknanya hendak mendapat majority mudah Pakatan Rakyat harus menang 37 kerusi.

Tetapi segalanya tidak mustahil. Setakat ini diunjurkan Pakatan Rakyat boleh menang antara 13 hingga 25 kerusi DUN. Jumlah ini sudah cukup untuk menafikan dua pertiga majoriti BN. Jika jumlah ini diperolehi, ia sudah cukup untuk membuatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menarik handbrake. PRU tidak ada tahun ini, mungkin 2013.

Pada penulis, Pakatan Rakyat harus berfikir lebih jauh kehadapan. Bukan setakat menafikan dua pertiga majoriti, mana tahu rakyat Sarawak berani melakukan perubahan seperti rakan-rakan di Selangor, Perak, Pulau Pinang dan Kedah.

Maka kita harus bersedia untuk menyusun bakal Ketua Menteri yang baru, barisan exco. Dan yang terutama sekali menjaga ADUN-ADUN supaya mereka tidak dibeli oleh Taib Mahmud.

Kekayaan Taib Mahmud amat luarbiasa. Adik ipar bekas PM British, Claire Rewcastle yang mengendalikan kempen anti-Taib Mahmud di London, mendakwa Ketua Menteri Sarawak itu merupakan antara individu yang terkaya di dunia. Melebihi kekayaan Sultan Brunei dakwanya.

“Siasatan saya mendapati sebahagian harta kekayaan Taib terdapat di London, dalam industri hotel,” kata Claire.

Selain daripada di United Kingdom, Taib juga dikatakan mempunyai aset di Amerika Syarikat dan Kanada.

Daripada mana kekayaan beliau diperolehi jika tidak dengan “merompak” harta rakyat? Beliau dikatakan mempunyai aset puluhan bilion.

Apa yang kita bimbangkan ialah, hasil daripada kekayaan yang luarbiasa ini, Taib dan BN berkemampuan membeli ADUN-ADUN Pakatan Rakyat, sebagaimana yang dilakukan oleh Umno, yang membeli beberapa orang “katak” daripada KeADILan.

Ada kalangan MP di Parlimen mengandaikan, setakat RM10 juta seorang untuk dibeli begitu “kacang” buat Taib yang kaya raya itu.

Dalam waktu sekarang ini bagaimana duit-duit Taib dari luar negeri hendak dibawa masuk? Ada sumber mendakwa, kemungkinan duit-duit kotor ini akan dibawa masuk melalui Labuan, dibawa ke Sabah dan melalui jalan darat ke Limbang.

Labuan dikenali sebagai kawasan International Offshore Financial Centre. Walaupun ia gagal dijadikan lokasi pengurusan dana kewangan pesisir antarabangsa, namun ia boleh digunakan sebagai laluan keluar masuk wang tunai dari luar negara.

Pada waktu ini sukar untuk dikesan bagaimana wang-wang untuk merasuah rakyat bagi mengundi BN dibawa masuk. Mungkin selepas ini MP Pakatan Rakyat boleh mengusulkan di Parlimen, untuk dilakukan siasatan dan kajian yang mendalam.

Kita harus meragui segala kemungkinan kerjasama antara Ketua Menteri Sarawak, PM, Menteri Kewangan dan Bank Negara dalam membawa masuk wang-wang haram ini.

Apa pun kita harus memuji keberanian rakyat Sarawak yang gigih melawan arus sogokan daripada BN. Rakyat Sarawak sudah memberi pukulan pertama kepada BN, iaitu tiada kerusi dimenangi secara percuma (menang tanpa bertanding), seperti pilihan raya sebelum ini.

Penulis mendapat khabar, sebelum ini BN menjangkakan menang percuma 10 kerusi DUN pada hari penamaan. Namun jangkaan tidak jadi kenyataan. Sebaliknya jika SPR tidak memihak kepada BN, sudah pasti PAS akan menang kerusi DUN Muara Tuang.

Rakyat Malaysia di seluruh negara, bersama-sama dengan rakyat di Sarawak, mereka menantikan perubahan. Mereka mahu melihat BN tumbang di Sarawak. BN tiada jalan lain untuk terus memerintah, selain daripada menipu dan merasuah pengundi.

Kita doakan moga rakyat Sarawak kental. Moga mereka tidak tewas dengan sogokan. Moga “tsunami” benar-benar berlaku, moga ia menjadi isyarat BN akan terkubur. Kita menanti isyarat tsunami dari Bumi Kenyalang. — Mohd Rashidi Hasan - harakahdaily.net

No comments:

Followers

Video ajijoi

Loading...