Monday, April 11, 2011

Melayu rosak kerana hiburan artis melampau bukan kerana ‘seni’.

Saya berasa terpanggil untuk menulis memberi komentar terhadap tulisan Mior Kamarul Shahid yang disiar dalam akhbar Berita Harian 2 April 2011 yang lalu. Tulisan beliau kelihatan sebagai aluan dan selamat datang kepada Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2011 yang bakal disiar secara langsung menerusi beberapa siaran media perdana negara.

Saya bersetuju dengan tajuk kecil beliau iaitu tiada kajian ilmiah buktikan nilai masyarakat terhakis kerana dunia seni kerana saya memahami istilah seni jauh bezanya dengan takrifan istilah seni artis yang pihak media maklumi.

Seni yang saya faham adalah seperti yang digambarkan dalam Ensiklopedia Indonesia, bahawa seni adalah penjelmaan rasa indah yang terkandung dalam jiwa manusia, dilahirkan dengan perantaraan alat komunikasi kedalam bentuk yang dapat ditangkap oleh pancaindera pendengaran (seni suara), penglihatan (seni lukis dan ruang), atau dilahirkan dengan perantaraan gerak (seni tari dan drama).

Agama Islam mengharuskan perasaan cinta kepada kesenian dan keindahan. Allah sentiasa menyeru manusia supaya memerhati keindahan yang terdapat dalam alam ini. Tamadun Islam telah menghidupkan pelbagai jenis seni dan seni-seni ini telah berkembang dalam tamadun Islam sehingga menjadi tamadun Islam sebagai sebuah tamadun yang unik dan berbeza dengan tamadun-tamadun lain. Al-Quran menceritakan keindahan langit (Qaf, ayat 6), keindahan bumi yang terbentang luas (Qaf, ayat 7), keindahan kejadian haiwan ( al-Nahli, ayat 6), keindahan ciptaan manusia (al-Taghabun, ayat 3 dan al-Infitar, ayat 7-8).

Menurut Ustaz Abd Ghani Shamsuddin, seni dijadikan sebagai alat menyebarkan agama dan memperkukuhkan amal kebajikan dan kebaikan dikalangan ummah. Hasil seni boleh menjadi faktor pendorong yang intensif bagi mengingati dan memuji Allah. Daya seni yang dikurniakan oleh Allah adalah bertujuan untuk menimbulkan keikhlasan dan kesedaran dalam diri manusia. Dengan bakat seni yang ada, para seniman muslim ternyata mampu menggunapakai pelbagai teknik, bentuk seni yang terbuka di tempat yang berlainan ke dalam daerah seni dan budaya Islam.

Ulama’ tersohor seperti Al Qaradhawi juga banyak menulis berkenaan kesenian dalam islam (Al Islam Fal Fann) yang menegaskan betapa salahnya kita mengharamkan seni yang merupakan fitrah insaniyah yang dianugerahkan kepada manusia.

Kita juga melihat bahawa kaum Monggol dan Gassar (Jermanik) yang menghancurkan tamadun Arab dan Rom tidak memiliki korpus kesenian sebaliknya hanya berbekalkan keganasan dan strategi peperangan sehingga menyaksikan tamadun mereka tidak kekal berpenjangan.

Seni juga menjadi musuh kepada kerajaan-kerajaan komunis sehingga mengistilahkan seni adalah alat Komrad iaitu hanya alat propaganda untuk menyembahkan manusia terhadap ideology komunis dan bukannya suatu ekspresi ikhlas manusia untuk berhibur.

Namun istilah seni yang dibawa dalam majalah dan akhbar hiburan adalah seni sekular yang tiada kaitan/hubungan dengan saranan Islam. Istilah artis (ahli seni) kelihatannya tidak layak dipegang oleh para artis dan selebreti di Malaysia dan serata dunia memandangkan aspek moral dan etika mereka yang meleset. Sedangkan seni adalah suatu kerjaya yang berstatus, bermoral, berakhlak serta mengundang rasa izzah kepada pembawa seni tersebut. Ekspresi seni yang digambarkan oleh artis di Malaysia dengan menayang dada,ketiak dan bahu, berpakaian ala kemban serta bermegah dengan parti sosial di internet tidak layak bergelar artis atau ahli seni.

Lantaran itu, pihak Berita Harian tidak menjumpai hasil kajian masyarakat melayu hancur dan rosak disebabkan seni kerana seni itu baik. Masyarakat melayu tidak pernah rosak dengan aktiviti seni rakyat yang bermoral, seni lukisan, seni suara yang beradab melaung nama Tuhan dan kebaikan, malah orang melayu semakin hebat apabila berhadapan dengan seni rekabentuk indah, ukiran dan seni silat yang tidak bercanggah dengan islam. Semua itu adalah seni selagi mana ia adalah ekspresi tubuh dan akal manusia.

Tetapi terlalu banyak hasil kajian dan kenyataan media yang mengaitkan kerosakan kaum melayu terutama belia dan remaja akibat aktiviti hiburan yang dipopularkan oleh ‘artis’ yang mengaku berseni tersebut. Seni yang bagaimana cuba ditonjolkan jika keruntuhan rumah tangga dan aib suami isteri dimainkan oleh media sehingga menolak aspek rumah tangga Islam?

Kata saudara Mior lagi;

Di Malaysia, ada golongan yang kononnya menganggap mereka sebagai moralis Melayu yang tidak pernah melihat dunia hiburan dalam konteks yang matang. Mereka mengaitkan hiburan dan Melayu. Disebabkan acara hiburan sering dibanjiri orang Melayu, mereka membuat generalisasi bahawa semua orang Melayu suka berhibur.

Lagi;

Janganlah disebabkan secebis ruangan gosip artis, maka media dan dunia hiburan dipersalahkan. Mereka yang kononnya membenci gosip sebenarnya adalah orang yang suka membaca gosip. Inilah sikap hipokrit golongan yang perasan mereka moralis yang sering menyalahkan dunia hiburan kononnya punca kepada gejala negatif. Setakat ini, rasanya belum ada kajian ilmiah yang boleh membuktikan korelasi jelas antara hiburan dengan gejala negatif masyarakat. Jika hiburan menjadi faktor kegagalan pelajar dalam peperiksaan, tentulah universiti di negara ini kosong tanpa pelajar, sedangkan sekarang sudah ada puluhan universiti awam dan swasta.

Ruangan gosip tidak perlu dicari alasan untuk dihalalkan. Gosip adalah haram dalam Islam secara tuntas. Tidak pelru menyalahkan si pengkritik gosip sebagai hipokrit. Malah tulisan-tulisan media hiburan kebanyakkan cuba menaikkan nama beberapa kerat artis yang kelihatan bermoral sebagai tanda aras bahawa masih ada artis malaysia yang bermoral sedangkan mereka amat keliru betapa jauhya beza antara moral dan etika dengan nilai akhlak Islam. Berhati budi, tiada skandal namun tidak menutup aurat masih dianggap tidak berakhlak dalam Islam. Cuma beretika sahaja menurut kaca pandang manusiawi.

Dahulu sekitar tahun 1992, hangat diperkatakan mengenai Garis Panduan mengenai peri laku artis. Malah garis panduan ini turut diperbincangkan pada peringkat kabinet bagi memastikan selebriti di negara ini mengamalkan cara berpakaian dan penampilan sesuai budaya di negara ini. Ia juga sejajar dengan dasar Kebudayaan Kebangsaan Negara.

Perkara utama yang diberi perhatian ialah dari segi wajah dan pakaian ketika muncul di kaca televisyen, filem dan pentas, tingkah laku, pertuturan bersopan dan berperibadi yang tinggi. Dari segi pakaian pula, mereka perlu mematuhi cara dan budaya ketimuran iaitu sama sekali tidak menjolok mata. Sekurang-kurangnya ada juga kesedaran untuk mengelakkan para ‘artis’ terjerumus dalam dosa yang lebih dalam.

Presiden Pertubuhan Wanita Antarabangsa Malaysia dan juga Pakar Motivasi, Dr Robiah Kulop Hamzah, berkata garis panduan dan etika berpakaian penting bagi golongan ini kerana mereka biasanya menjadi ikutan remaja masa kini.

Siapa kata artis tidak menjadi ikutan ramai sehingga ramai penulis media cuba membela artis yang membawa budaya berpakaian tertentu dan menafikan kaum Melayu selalu terikut-ikut dengan budaya tersebut?

Suatu ketika ada artis seperti Wardina telah membawa gelombang positif apabila mengenengahkan tudung seni yang menarik dan ringkas untuk diikuti oleh remaja. Namun malang apabila ada pula artis lebih muda daripadanya mencipta pula kaedah tudung ala-makcik zaman 60an berbungkus seperti bola di kepala dengan membuka leher dan telinga.

Antara tindakan RTM yang boleh dipuji dalam mengekang gejala negetif artis Malaysia adalah seperti berlaku pada 1 November 1992-Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang menyiarkan secara langsung majlis simbolik pemotongan rambut penyanyi kumpulan Search, Amy dan penyanyi kumpulan Wings, Awie oleh Menteri Penerangan ketika itu, Datuk Mohamed Rahmat. Pada 1993- Kod Etika Perilaku Artis diedarkan kepada artis dan persatuan yang terbabit di dalam dunia hiburan, merangkumi empat aspek penting seperti menjaga dan mengekalkan disiplin dan maruah diri ketika mengadakan persembahan di khalayak ramai atau ketika muncul di kaca televisyen. Menjaga nama baik artis daripada sebarang gosip liar yang menjejaskan imej diri dan industri hiburan keseluruhannya. Mengutamakan kesopanan dari segi berpakaian dan tutur kata ketika berhadapan dengan orang ramai di dalam sesuatu pertunjukan atau berlakon di dalam filem dan drama. Berpegang teguh terhadap tatasusila ketimuran, bangsa, negara dan agama.

Namun begitu mengapa pula pada 1 Ogos 2004 RTM mula memberi kelonggaran untuk artis berambut panjang dan berpakaian agak seksi kerana khuatir RTM akan ketinggalan dalam arus persaingan industri penyiaran negara.

Mengapa saya katakan konotasi istilah ‘artis’ di Malaysia adalah sekular? Ia disebabkan si ahli seni tersebut (artis) bukanlah menceburkan diri dalam bidang seni kerana ingin mengeluarkan bakat kerana agamanya. Ia mengeluar bakat, menyertai temuduga rancangan realiti, menjadi metee artis senior semata-mata untuk popular dan dihalalkan atas alasan mencari rezeki. Adakah rigid benar Islam sehingga menolak sebahagian besar karya ‘seni’ artis negara ini? Menurut Imam Al-Ghazali, tidak ada keterangan yang jelas dari sunnah Nabi SAW yang melarang penggunaan alat muzik. Menurutnya, setiap instrumen muzik yang mempunyai bunyi yang baik tidak dilarang, malah ianya tidak lebih dari kemerduaan suara burung. Seni muzik yang dilarang kepada umat Islam ialah sekiranya ia bersekongkol di dalam keadaan yang bercampur dengan kumpulan peminum arak, penzina dan lain-lain perbuatan dosa.

Mazhab Ahlul Madinah (ulama-ulama Madinah) dan lainnya seperti ulama Dzahiri dan jemaah ahli Sufi memberikan kemudahan pada nyanyian walaupun dengan gitar dan biola. (Imām Asy-Syaukānī, NAIL-UL-AUTHĀR, Jilid VIII, hlm. 100-103)

Terjaminkah akhlak artis jika ingin menepati piawaian Imam Al Ghazali?

Jika dianggap tiada kajian ilmiah berkenaan kegilaan rakyat terhadap hiburan, lihat sahaja kajian berkaitan kerakusan rakyat Malaysia menggunakan media internet sebagai medan hiburan mereka. Tidakkah benar rakyat kita suka berhibur? Dalam kajian oleh Syarikat Nielsen ke atas 52 negara mendapati rakyat Malaysia merupakan pengguna internet yang rakus dan berpengalaman, aktif dalam memuat turun dan melayari kandungan media dan hiburan secara percuma dalam internet. Pengarah Urusan Kumpulan Pengguna Nielsen Malaysia, Paul Richmond, berkata penduduk Malaysia adalah ketagih hiburan dan teknologi kerana menikmati sejumlah besar hiburan dalaman, muzik, permainan video dan media digital.

Hiburan melalui media juga mempengaruhi tabiaat remaja dan belia negara ini. Samsudin A. Rahim dalam kajiannya (1994), Tingkah Laku Lepak Di Kalangan Remaja, (Kementerian Belia dan Sukan Malaysia) menunjukkan majoriti remaja memilih ruangan atau program berbentuk hiburan apabila mereka mendedahkan diri kepada media (55% untuk TV, 70% untuk radio, 57 % untuk akhbar, dan 56 % untuk majalah).

Lihat juga dalam kajian Persepsi Mahasiswa Fakulti Pendidikan Terhadap Kesan Rancangan Hiburan Realiti Tv Akademi Fantasia (Mohd Ismail Bin Mustari & Ahmad Shukri Bin Jamaludin Fakulti Pendidikan Universiti Teknologi Malaysia ). Bilangan mahasiswa UTM yang bersetuju mengatakan rancangan hiburan realiti AF sesuai untuk ditonton juga berada pada tahap rendah. Ini kerana masih ramai bilangan mahasiswa yang kurang setuju. Kajian juga menunjukkan rancangan berbentuk hiburan masih boleh dipertikaikan kesesuaiannya kepada masyarakat terutamanya golongan pelajar iaitu mahasiswa. Ramai dikalangan mahasiswa UTM tidak bersetuju dengan “kenyataan melalui rancangan realiti AF dapat melambangkan rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan saling bantu membantu”. Secara keseluruhan kajian itu, rancangan hiburan realiti AF tidak sesuai dengan budaya masyarakat Malaysia. Dari sudut budaya ilmu responden juga menunjukkan bahawa, rancangan hiburan realiti AF tidak memberikan impak kepada peningkatan budaya ilmu dikalangan muda mudi walaupun dalam hiburan realiti.

Kepada pihak media yang optimis bahawa hiburan yang di bawa oleh para artis tiada kena mengena dengan akhlak masyarakat renungilah kritikan Syed Ali Ashraf yang telah mengkritik pihak media massa yang sering menggunakan pelbagai alasan, termasuk hak dalam demokrasi, kebebasan bersuara dan hak individu. untuk membolehkan mereka melaksanakan beraneka rancangan dan program yang akhirnya telah merosakkan budaya, cara hidup dan pegangan agama seseorang. Menurut Ashraf (1997: 1):

…it [the media] has become a very powerful instrument in the hands of human beings to cultivate or destroy moral values, to affect and control the minds of people by those who have the power over these media. In the name of freedom and human rights, various big and small companies have started putting up programmes with little censorship or restriction. Whether these programmes will be good or bad depends on what is meant by good or bad and who determines what is good and what is evil.

Bagaimana pula dengan kajian UPM yang menolak media hiburan sebagai punca kerosakan akhlak masyarakat? Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Datuk Mohd Nakhaie Ahmad, berkata pendedahan itu dibuat selepas satu kajian berhubung pengaruh media massa dan kesan terhadap nilai keagamaan dibuat oleh Jabatan Komunikasi Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK), UPM, diketuai oleh Dr Hamisah Hassan. Pihak UPM juga menyatakan faktor keluarga, pengaruh rakan serta hiburan luar yang menyebabkan kerosakan akhlak belia. Yang sewajarnya, YADIM tidak perlu membuat kajian menafikan pengaruh media hiburan sebagai faktor utama kerosakan akhlak kerana umum mnegetahui kerosakan akhlak disumbang oleh pelbagai faktor diantaranya juga adalah media. Kritikan dan saranan baikpulih media hiburan bukan bermakna kita menafikan faktor keluarga dan rakan sekeliling sebagai punca kerosakan akhlak sebaliknya fokus utama hari ini dalam realiti globalisasi media hiburan dan aktiviti hiburan itu sendiri menyumbang kepada kerosakan masyarakat selain faktor yang disebut di atas.

Adakah pendakwah di Malaysia hanya menyelar artis melayu dan hanya mendiamkan diri terhadap kekaratan jahiliyah artis Amerika umpamanya? Jawapan mudah, sebelum menunding jari ke negara luar, molek lah kiranya kita perhatikan rumahtangga kita dahulu iaitu negara sendiri. Sebelum menunding jari ke Hollywood, sudilah kiranya kita menegur Malaysiawooddahulu.

Muhammad Nuruddin Bashah

Ketua Penerangan DPPK Gopeng 2011

No comments:

Followers

Video ajijoi

Loading...