Monday, March 29, 2010

Syarikat RM2 dapat tender penswastaan pengurusan semua makmal patologi?

Bagaikan satu kebiasaan apabila kekayaan negara dikaut hanya dengan menubuhkan syarikat yang bernilai RM2 tanpa perlu kepakaran dan juga pengalaman dalam mengendalikan sesuatu projek. Kekuatan 'kabel' perhubungan dengan orang-orang tertentu menjadi taruhan untuk merebut 'hidangan' yang sudah pasti menunggu.

Sebagai contoh, YB Zahrain MP Bayan Baru yang keluar daripada PKR baru-baru ini dikatakan hanya kerana marah apabila projek kelab golf yang bernilai RM40 juta gagal diberikan kepada syarikat RM2 kepunyaannya.

Sampai bila Melayu hendak maju hanya dengan cara yang sebegini? Melayu bawahan setengah mati berusaha mencari sesuap nasi untuk anak dan isteri manakala Melayu atasan dengan senang lenang merampok harta negara tanpa sedikit pun rasa bersalah apatah lagi rasa berdosa.

Kementerian Kesihatan diminta perjelas syarikat RM2

KUALA LUMPUR, 29 Mac: Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub meminta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjelaskan kaedah perlantikan syarikat 'RM2' sama ada menggunakan kaedah rundingan terus atau sebaliknya.

Ini ekoran cadangan kementerian mahu menswastakan semua makmal patologi di hospital-hospital awam tempatan pada Syarikat Akar Mulia Sendirian Berhad dipersoal.

Berdasarkan makluman rasmi dari Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Salahuddin mendakwa syarikat tersebut didaftarkan dengan RM2 secara segera supaya boleh mendapatkan tender penswastaan daripada KKM.

Bercakap di lobi Parlimen petang tadi, beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian meminta kementerian menafikan dakwaan-dakwaannya itu.

Ini kerana, menurut beliau, syarikat tersebut telahpun menyertai satu mesyuarat rasmi di kementerian terbabit sendiri pada 17 Julai tahun lalu.

Tidak cukup dengan itu, kementerian sekali lagi mengadakan mesyuarat eksklusif rasmi bersama-sama syarikat tersebut pada 25 Mac lalu supaya langkah penswastaan itu direalisasikan.

Dalam pada itu, beliau juga tidak menolak kemungkinan bahawa wujudnya amalan kronisme yang membabitkan individu tertentu dalam kementerian dan syarikat 'RM2' tersebut.

Selain itu, beliau turut mencabar pemilik syarikat tersebut mendedahkan profil syarikat serta rekod kemampuan syarikat dalam mengendalikan prasarana kesihatan, termasuk pengalaman menguruskan makmal patalogi tersebut.

Sekiranya kerajaan meneruskan niat menswastakan makmal-makmal patologi tersebut kepada syarikat misteri itu, beliau menganggap penswastaan tersebut sebagai malapetaka bagi kesihatan rakyat dan keselamatan tanah air.

-Harakahdaily

No comments:

Followers