Saturday, March 6, 2010

Saya cabar Harussani letak jawatan mufti dan masuk politik - Mahfuz Omar



PAS mencabar Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria meletakkan jawatannya untuk bergiat aktif dalam politik termasuk bertanding pilihan raya daripada mengeluarkan kenyataan-kenyataan memperlekehkan kerjasama Pakatan Rakyat.

“Saya mencabar Tan Sri Harussani meletakkan jawatan sebagai mufti dan beliau secara langsung terlibat dalam politik,” kata Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Sambil menyifatkan Harussani sepatutnya memahami persekitaran kerjasama sebelum 8 Mac 2008, Mahfuz berkata, PAS tidak wajar memutuskan hubungan yang telah dijalin bersama komponen Pakatan Rakyat.

“Saya tidak tahu apa yang berlaku itu (perbincangan selepas pilihan raya umum). Tetapi yang penting, bolehkah kita yang ada Pakatan Rakyat, menyertai pilihan raya secara bersama dengan mereka, jatuh bangun dan susah payah menghadapi pilihan raya... tidak boleh mengkhianati semangat setiakawan yang telah dibentuk,” kata Mahfuz.

Mahfuz memberitahu Harussani sebagai mufti seharusnya faham dalam Islam juga tidak digalakkan memungkiri janji kerjasama yang telah dijalin dengan DAP dan PKR. Malah Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berharap Harussani tidak menghalalkan unsur-unsur rasuah yang didakwa diamalkan oleh kalangan pemimpin BN-Umno.

Sehubungan itu, Mahfuz juga menambah bahawa kelihatan masih ada usaha di kalangan Umno dan BN termasuk menggunakan mufti untuk melakukan usaha ‘menarik’ wakil-wakil rakyat. Kata beliau, ia menunjukkan Umno-BN terus berada dalam suasana cemas untuk mendapatkan kuasa dengan menarik sokongan wakil rakyat Pakatan Rakyat.

Mahfuz mengulas kenyataan Harussani mendakwa PAS bersikap angkuh dengan menolak syor agar dibentuk kerajaan campuran di negeri itu pada 2008. Beliau menceritakan keangkuhan PAS Perak yang menolak mentah-mentah cadangan penubuhan kerajaan perpaduan di negeri itu walaupun secara dasarnya ia diperkenan oleh Sultan Perak, Raja Azlan Shah dan juga dipersetujui oleh kepimpinan tertinggi parti itu.

Kata beliau apabila dikemukakan cadangan penubuhan kerajaan campuran antara PAS dan BN, Pesuruhjaya PAS Perak, Ahmad Awang terus berkata pihaknya tidak akan bersekongkol dengan orang Umno yang zalim dan lebih baik berkawan dengan kafir yang dirujuk kepada DAP.

(Sumber: Malaysian Insider)

No comments:

Followers