Sunday, March 7, 2010

Nama Allah; Ramai yang ingin jadi juara, bukan membela kesucianNya

Suatu masa dahulu saya pernah mengarang satu tulisan panjang berkenaan Allah bukan nama tuhan Yahudi dan Kristian. Pendekatan penulisan itu adalah berasaskan retrospektif iaitu menelusuri rekod penggunaan nama Allah dalam kitab Bible dan Old Testament (Taurat) di mana bahasa Inggeris yang banyak digunakan dalam kitab tersebut dipertikai oleh saya.

Saya menilai mengapa Kristian dan Yahudi gemar menggunakan bahasa Inggeris dan kalimah God berbanding kalimah asal bahasa Ibrani bagi Yahudi dan Aram bagi Kristian. Jelsnya Aram adalah bahasa proto Syiriac iaitu bahasa suryani kuno yang menjadi asas bagi ketamadunan Bani Israel dahulu.

Ibrani dan Aram adalah kelompok bahasa yang sama. Lantaran itu kalimah Ellah, Ela, Abba, Elohim dan sebagainya digunakan dalam Old dan New Testment. Manakala kalimah ini semua jika diterjemah ke dalam bahasa Arab, ia adalah Allah. Namun begitu saya persoal mengapa di Malaysia ingin digunakan kalimah Allah sedangkan terlalu lama mereka gemar menggunakan bahasa Inggeris iaitu God dalam Bible di Malaysia. Malah Inggeris seolah menjadi bahasa rasmi Kristian di Malaysia bukannya Aram atau Ibrani.

Penolakan saya terhadap signifikan kalimah itu dalam Bible serata dunia adalah berasas. Namun saya tidak boleh menafikan Allah yang mereka percayai adalah Allah saya juga walaupun Allah yang saya fahami adalah Allah yag tanzih dan tasbih daripada sifat makhluk dan kekurangan malah ia adalah Esa dan satu.

Dalam keceramukan pandangan dan pegangan masyarakat terutama berbangsa Melayu terhadap isu ini, suka untuk saya petik pandangan YAB Tuan Guru NIk Abd Aziz Nik Mat terhadap isu ini.

“ Pada asasnya saya sudah jawab, memang boleh guna kalimah Allah. Bagaimanapun kerana ada mainan di belakang, jadi untuk menyekat perkara tidak betul maka menurut usul fiqh ia harus disekat. Benda harus, jika bahaya boleh disekat”.

Pandangan Ustaz Taib Azamuddin (Bekas Imam Masjid Negara) dan Ustaz Abd Ghani Shamsuddin (bekas YDP Persatuan Ulama Malaysia) pula ialah pentingnya dialog dan interaksi untuk berkongsi pengalaman dan fahaman antara Kristian dan Islam di Malaysia berkaitan hakikat nama Allah. Mereka guna nama Allah, kita juga gunakannya. Inilah peluang untuk kita perjelaskan pendirian kita bahawa Allah itu suci daripada triniti. Bukankah ini metod Rasulullah dalam menerangkan bezanya Allah yang diyakini oleh Abu Jahal dengan Allah yang difahamkan oleh Jibrail kepada Baginda? Bukankah ini lebih efisien.

Dr Yusuf Al Qaradhawi juga menyatakan dalam khutbah beliau di Masjid Saidina Umar Qatar 22 januari 2020 yang lalu, bahawa Allah adalah tuhan semua manusia. Tetapi agama lain merosakkan nama Allah dan sifatnya dengan menambah sifat jismiyyah dan kemanusiaan kepada Allah SWT. Inilah bezanya aqidah Islam dengan pegangan agama lain. Adakah perbezaan ini menyebabkan kita membakar gereja, meletupkan kuil?

Tentu tidak!

Malah Islam menggalakkan kita terlibat dengan kaum Kristian dan mendekatkan mereka dengan kefahaman tanzih (menyucikan) Allah dari segala sifat triniti yang salah dalam aqidah Islam.

Dr Yusuf juga memiliki ramai sahabat baik yang sama-sama berjuang isu sosial, perjuangan bembela rakyat yang dizalimi serta kemanusiaan seperti Dr George Ishaq, Dr Rafiq Habib, Azmy Basyarah Dr Ataillah Hana (Palestin) dan sebagainya. Dr Yusuf juga bersahabat dengan pejuang keamanan dan hak asasi Kristian dari Palestin. Inilah interaksi Islam yang diajar oleh Nabi.

Namun begitu saya juga tidak menolak usaha beberapa NGO untuk mendesak Gereja berfikir semula sensitiviti kaum melayu di malaysia di mana kaum melayu Malaysia canggung dengan kalimah Allah digunakan oleh orang Kristian. NGO tertentu juga mengambil pendekatan menolak kemudaratan lebih besar kerana penggunaan ini akan mengelirukan anak muda dan belia di malaysia yang jahil tetang Allah. Ia bersifat diterrence (pencegahan) awal untuk mengelakkan gejala murtad di Malaysia yang kian barah kerana perlembagaan persekutuan melarang sebarang perancangan dan usaha menyebar dakwah agama lain kepada kaum muslim. Menurut Perkara 3 perlembagaan negara, Islam adalah agama rasmi persekutuan. Namun agama-agama lain bebas diamalkan di mana-mana bahagian persekutuan tanpa boleh disekat. Ini bermakna kebebasan beragama sebagai sebahagian hak asasi manusia dijamin di sisi perlembagaan negara.

Namun berbanding agama-agama lain, Islam mendapat keistimewaan dan perlindungan di bawah undang-undang. Perkara 11(4) menegaskan bahawa penyebaran agama bukan Islam kepada khalayak Islam adalah dilarang. Pengecualian diberikan kepada penyebaran syiar dan dakwah Islam.

Jika perkara 11(4) dijalankan dengan jayanya, tidak ada masalah dalam penggunaan nama Allah oleh gereja Kristian selagi mana ia dikawal.

Saya suka untuk memetik kenyataan Peguam Hanifa Maidin,

“Kalimah God telah diterjemah sebagai Allah dalam “Istilah Agama Kristian Bahasa Inggeris ke Bahasa Malaysia” yang diterbitkan pertama kali oleh Catholic Bishops Conference of Malaysia pada tahun 1989 . Kamus Melayu-Latin yang diterbitkan sejak tahun 1631 telah menterjemah perkataan “Deus” (Kalimah Latin untuk God ) sebagai “Allah” dalam terjemahan Melayu. Dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Indonesia, kalimah “Allah” telah digunakan secara terus menerus dalam edisi Matthew’s Gospel di Malaysia pada tahun 1629 dan dalam Bible Melayu pertama yang lengkap pada tahun 1733 dan Bible Melayu yang Kedua Lengkap pada tahun 1879 sehingga sekarang. Munshi Abdullah yang dianggap bapa kesusasteraan Melayu telah menterjemah Gospels ke dalam Bahasa Melayu pada tahun 1852 dan beliau telah terjemah perkataan “God” sebagai “Allah”. Telah ada Bible yang diterjemah ke dalam Bahasa Melayu yang wujud sebelum 1957 yang mana terjemahannya telah dibuat oleh British and Foreign Bible Society di mana kalimah “Allah” telah digunakan”. Jika sebelum merdeka kaum melayu berjuang menghalang penggunaan nama Allah dalam dokumen-dokumen di atas mungkin kuat untuk umat Islam melarang gereja hari ini (dalam konteks Malaysia).

Pendirian saya ialah, saya skeptikal kepada pihak Kristian yang mungkin ingin menggunakan kalimah Allah untuk tujuan murtadkan kaum melayu (jika ada). Namun dalam isu ini saya lebih cenderung dengan dialog dan pertukaran pandangan serta wacana yang sihat sepertimana amalan Ahmad Deedat dan sebagainya. Dengan dialog, insya Allah , Allah akan lebih dikenali ramai secara absah dan tepat.

Kepada pihak melayu yang ekstrim dalam politik sekular, namun berubah fikiran untuk taksub dalam isu nama Allah tanpa sebarang wacana dan fakta yang benar, sila matikan hasrat anda kerana anda hanya menjadi punca jauhnya sinar hidayah dalam diri kaum Kristian di Malaysia serta melambakkan lagi sikap curiga antara kaum di Malaysia.

Muhammad Nuruddin Bashah

Pengerusi Skuad Penyelamat Aqidah (SPAQ)

Hadapan 360 MKJ Kampung Terang

11000 Balik Pulau

Pulau Pinang

No comments:

Followers