Saturday, February 26, 2011

Pertandingan 2 penjuru di Kerdau, Merlimau


KUALA LUMPUR, 26 Feb — Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat yang diwakili PAS berhadapan dengan pertarungan satu lawan satu pada kedua-dua pilihan raya kecil serentak — DUN Merlimau dan Kerdau.

Status calon parti-parti yang mengemukakan borang penamaan calon disahkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebentar tadi sejurus selepas berakhirnya sesi bantahan.

Pilihan raya kecil Merlimau dan Kerdau — yang ke-15 dan ke-16 sejak 8 Mac 2008, menyaksikan pertembungan tradisi Umno dan PAS.

BN memenangi kedua-dua kerusi itu tiga tahun yang lalu.

Di Merlimau, Roslan Ahmad dari BN berhadapan dengan calon PAS Yuhaizat Abdullah.

Yuhaizat merupakan Timbalan Ketua Pemuda PAS Melaka dan Timbalan Yang Dipertua PAS Jasin.

Sementara di kerusi DUN Kerdau, PAS diwakili Ketua Penerangan PAS Pahang Hassanuddin Salim manakala BN pula Naib Ketua Umno Kuala Krau Syed Ibrahim Syed Ahmad.

Hassanuddin pernah bertanding di Kerdau pada 2008 tetapi tewas.

Penamaan calon bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri kawasan Kerdau berlangsung di Dewan Tun Razak, Majlis Perbandaran Temerloh dengan dikendalikan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya Datuk Tarif Abdul Rahman.

Kerusi itu kosong berikutan kematian Datuk Zaharuddin Abu Kassim dari BN 12 Februari lepas.

Pada pilihan raya umum 2008, Zaharuddin menewaskan Hassanuddin dengan majoriti 1,615 undi.

Pengundian bagi kedua-dua kerusi diadakan pada 6 Mac ini dengan kempen rasmi bermula hari ini.

Sementara itu penamaan calon kerusi Merlimau diadakan di Dewan Platinum Politeknik Merlimau.

Sebaik tempoh pencalonan ditutup, borang-borang pencalonan dipamerkan di papan kenyataan berhadapan pusat penamaan itu untuk semakan umum.

Tempoh bantahan dibuka selama sejam dan tamat pada pukul 11 pagi.

Pilihan raya kecil DUN Merlimau diadakan berikutan kematian wakil rakyatnya Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan pada 20 Januari lepas akibat serangan jantung.

Pada pilihan raya umum 2008, Mohamad Hidhir menewaskan calon PAS Jasme Tompang dengan majoriti undi 2,154.

Pengesahan 'pertarungan' kedua-dua calon di Merlimau diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN Merlimau Roslan Eusoff pada pukul 11.30 pagi.

Menurut beliau, Yuhaizat menyerahkan borang pencalonan pada pukul 9.05 pagi manakala Roslan berbuat demikian pada pukul 9.07 pagi.

“Terdapat tiga bantahan dikemukakan bagi pencalonan-pencalonan berkenaan, namun ia ditolak,” katanya ketika membuat pengumuman tersebut.

Ini merupakan kali pertama kedua-dua calon bertanding dalam pilihan raya.

Menurut Tarif, semasa sesi bantahan membabitkan Kerdau terdapat satu bantahan diterima tetapi ia telah ditolak.

Terdapat seramai 8,999 pengundi berdaftar di DUN Kerdau, 15 daripadanya pengundi pos.

“Sebanyak 13 pusat mengundi dengan 22 saluran mengundi,” kata Tarif.

Di Kerdau, sebagaimana disaksikan di DUN Tenang bulan lalu, jumlah pengundi wanita melebihi jumlah pengundi lelaki dengan pengundi wanita 4,628 iaitu 51.43 peratus.

“Tiga kawasan di DUN berkenaan mempunyai jumlah pengundi lebih daripada 1,000 orang iaitu kawasan Felda Jengka 23 seramai 1,572 orang, Desa Murni (1,343 orang) dan Felda Jengka 22 (1,048 orang),” katanya.

No comments:

Followers