Thursday, April 16, 2009

Speaker DUN Perak tiada kuasa halang Zambry, 6 Exco

PUTRAJAYA: Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, V. Sivakumar tidak mempunyai kuasa untuk menggantung Menteri Besar, Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir dan enam Exco yang lain daripada menghadiri sidang DUN.

Perkara itu diputuskan oleh panel lima hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai oleh Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Alauddin Mohd Sherif.

Panel itu mendapati tindakan Sivakumar menggantung Zambry daripada menghadiri sidang DUN selama 18 bulan dan enam ADUN lain selama 12 bulan adalah melampaui perlembagaan negeri, justeru ia tidak sah dan batal.

Hakim Alauddin berkata, mengikut Artikel 63 Perlembagaan Negeri Perak, mahkamah mempunyai kuasa menyelesaikan saman pemula yang difailkan oleh Zambry dan enam anggota exco di Mahkamah Tinggi Ipoh awal bulan lalu dengan tidak ada arahan mengenai kos.

Hakim Alauddin, yang bersidang bersama Hakim Besar Malaya, Datuk Arifin Zakaria dan Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Nik Hashim Nik Ab Rahman, Datuk S. Augustine Paul dan Datuk Zulkefli Ahmad Makinuddin telah menangguhkan pendengaran selama 45 minit sebelum mencapai keputusan itu.

Zambry dan enam Exco tersebut iaitu Datuk Ramly Zahari, Hamidah Osman, Zainol Fadzi Paharuddin, Datuk Saarani Mohamad, Mohd Zahir Abdul Khalid dan Dr. Mah Hang Soon membawa kes tersebut ke Mahkamah Persekutuan di bawah Artikel 44 Perlembagaan Negeri Perak bagi memohon perisytiharan bahawa penggantungan yang dikenakan Sivakumar ke atas mereka adalah tidak sah.

Sementara itu, ketika ditemui di luar mahkamah, peguam yang mengetuai pasukan Zambry dan enam Exco, Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin berkata, pihaknya berasa gembira dengan keputusan mahkamah itu kerana ia menunjukkan tiada sesiapa yang boleh bertindak mengatasi undang-undang.

"Semua orang terikat di bawah peruntukan perlembagaan Perak dan juga Perlembagaan Persekutuan.

"Inilah masanya untuk terus ke hadapan dan memastikan Perak akan ditadbir dengan baik dan persidangan DUN dapat diteruskan.

"Sekarang terpulang kepada Sultan Perak untuk memberi perkenan baginda mengenai bila sidang DUN tersebut akan diadakan sama ada 9 atau 10 Mei ini," katanya.

Katanya, semua kes berhubung perlembagaan Perak termasuk yang melibatkan tiga ADUN pembangkang yang kini menjadi wakil rakyat Bebas telah pun selesai.

Berhubung saman bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin yang mencabar pelantikan Zambry sebagai Menteri Besar yang baru di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, seorang lagi peguam, Datuk Hafarizam Harun berkata, beliau tidak pasti sama ada kes tersebut akan diteruskan tetapi pada pandangannnya, keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini juga telah meliputi kes tersebut.

"Penggantungan dilakukan oleh Speaker kerana Datuk Zambry dan enam Exco dikatakan menghina Dewan kerana mengangkat sumpah jawatan pada 10 Februari lalu.

"Dengan keputusan mahkamah pada hari ini, ia bukan lagi satu isu dan telah pun selesai.
"Mungkin Datuk Seri Nizar ingin mempertimbang untuk menarik semula kes tersebut, saya tidak tahu," katanya.

Sementara itu, peguam yang mengetuai pasukan Sivakumar, Sulaiman Abdullah berkata, pada masa ini, pihaknya masih belum mempertimbangkan untuk melakukan semakan semula terhadap keputusan tersebut.

"Apa yang kita akan lakukan adalah untuk berbincang dan melihat apa yang diputuskan mahkamah dan apa yang boleh dilakukan seterusnya.

"Saya dapati tidak ada pihak yang menang semuanya dan tidak ada yang kalah semuanya kerana masih ada ruang untuk berbincang dan bertindak walaupun mahkamah telah membuat keputusan.

"Selagi kes Nizar belum diputuskan, isu ini masih subur dan hidup," katanya.

Pada 18 Februari lalu, Sivakumar mengambil tindakan mengejut menggantung dan melarang Menteri Besar bersama enam Exco kerajaan negeri daripada menghadiri sidang DUN berkuat kuasa serta-merta selama 18 bulan.

Berikutan itu, Zambry dan enam Exco itu memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi Ipoh bagi membatalkan keputusan Speaker DUN menggantung dan melarang mereka menghadiri sidang Dewan kerana tindakan itu bertentangan dengan undang-undang.

Zambry dan enam Exco terbabit juga memohon satu pengisytiharan bahawa mereka berhak mengambil bahagian dalam sidang Dewan dan menjalankan fungsi serta kewajipan masing-masing.

-mstar.com

Mahkamah batal penggantungan Zamry dan exco - malaysiakini.com

No comments:

Followers