Wednesday, April 1, 2009

PRK Bukit Gantang: Media konvensional BN lwn media baru Pakatan

KEMPEN pilihan raya kecil di dua bukit di Semenanjung dan Dun Batang Ai (Air), Sarawak sedang berlangsung.

Bermula dengan hari penamaan calon 29 Mac lalu, kempen-kempen 20 calon yang bertanding - tiga di Parlimen Bukit Gantang, lima belas di Dun Bukit Selambau dan dua di Dun Batang Ai akan berlangsung hingga menjelang tengah malam 7 April akan datang.

Pastinya antara yang mencuri perhatian para pemerhati dan pengkaji politik adalah kaedah berkempen parti-parti atau calon-calon yang bertanding.

Salah satu kaedah kempen politik BN adalah melalui media-media arus perdana yang dikuasainya. Tatkala kerajaan BN bertindak menggantung permit akhbar rasmi PAS dan KeADILan selama tiga bulan (sehingga 22 Jun 2009), BN terus menggunakan media massa arus perdana untuk mewar-warkan kempennya di tiga kawasan pilihan raya kecil itu.

Sejauh mana keberkesanan kempen BN melalui media massa ini menjadi sesuatu yang menarik untuk dibincangkan. Ini kerana 'media konvensional' yang digunakan BN sudah kian hilang kredibiliti dan kepercayaan umum, berbanding 'media baru' yang digunakan Pakatan Rakyat.

Komen-komen para perwakilan Umno dalam mesyuarat agung parti itu 24 higga 28 Mac lalu tentang kegagalan BN dalam menyampaikan 'mesej dan maklumat yang benar' kepada rakyat pada kempen PRU12 tahun lalu secara tidak langsung lebih merujuk kepada kegagalan fungsi media arus perdana untuk bertindak sebagai 'jurucakap BN dan Umno'.

Sebenarnya kegagalan BN dalam menguruskan penyaluran maklumatnya kepada rakyat bukan sangat berpunca daripada kegagalan fungsi media arus perdana. Media arus perdana terus kekal berfungsi sebagai saluran kempen BN paling efektif kerana akhbar, TV dan radio masuk ke dalam hampir semua rumah kediaman rakyat. Apa yang tiada pada media massa utama ini adalah kebenaran dan keadilan.

Tanpa dua aspek penting itu (kebenaran dan keadilan), kehebatan liputan dan kecanggihan teknologi tidak dapat menawan hati dan pemikiran rakyat. Apatah lagi ketika berhadapan media baru yang lebih dekat dengan hati rakyat khususnya golongan muda.

Perlu disedari bahawa strategi berbohong dan memanipulasi fakta hanya berkesan dilakukan arus media perdana di saat ketiadaan media baru seperti internet (khususnya blog) dan khidmat pesanan ringkas (SMS). Media baru juga semakin berkembang seiring dengan perkembangan teknologi. Penghantaran SMS kini diperluaskan kepada penghantaran audio dan visual melalui telefon bimbit yang lebih efisien berbanding siaran TV dan radio.

Merujuk kepada berita yang disiarkan media BN, pastinya kita dapat melihat bagaimana insiden tersebut diputarbelitkan BN bagi kepentingan politik mereka. Jelas watak imam masjid yang bertanggung jawab menjemput Nizar untuk mengimamkan solat dan menyampaikan tazkirah tidak dilaporkan.

Malah sikap kasar Zambry (yang disifatkan Adun Sungkai, N Sivanesan sebagai 'kekanda saya') tidak pula dilaporkan media pro-BN.

Tuduhan bahawa Nizar menyalahgunakan masjid untuk kepentingan politik juga meleset kerana BNlah sebenarnya yang bertindak sedemikian kerana mengadakan majlis membaca Yaasin sempena kempen pilihan raya di masjid.

Apapun terpulanglah kepada pembaca untuk menilai kebenaran dua sumber penulisan di atas. Tetapi apa yang ingin ditegaskan sekali lagi, strategi berbohong dan memutarbelitkan fakta oleh media arus perdana tidak lagi berkesan di era kewujudan dan percambahan media baru seperti blog.

Apa yang lebih utama dalam kempen-kempen politik adalah kebenaran, ketelusan, intergriti dan kredibiliti sumber maklumat. Tanpa ciri-ciri itu usaha mempengaruhi atau meyakinkan rakyat umpama mencurah air di daun keladi.

Cuma satu yang ingin diulas... Zambry ketika memarahi Nizar mendakwa kononnya beliau juga mampu mengimamkan solat dan menyampaikan kuliah tafsir.

Soalnya, dengan kecenderungan beliau untuk berbohong dan bercakap kasar, adakah manusia yang sudi berimamkan beliau?- tajdid _

No comments:

Followers