Wednesday, April 8, 2009

Kemenangan dirai sepanjang jalan pulang



Sewaktu dalam perjalanan pulang ke Ipoh selepas pengumuman kemenangan kerusi Parlimen P059 Bukit Gantang berpihak kepada Pas, terlalu ramai penyokong yang membanjiri jalanraya sekitar bandar Taiping.

Baik yang berkenderaan mahupun yang berjalan kaki, kibaran bendera Pas jelas kelihatan dimana-mana. Bagaikan suasana yang biasa kita lihat sewaktu selesai perlawanan bolasepak terutamanya musim Piala Dunia.

Malam tadi pekan Taiping telah berubah wajah. Tidak seperti biasa.

Rondaan kenderaan-kenderaan memusing pekan Taiping sebagai tanda kemenangan dan tanda penutup kerja-kerja kempen yang berjalan selama 2 minggu tanpa tidur dan rehat yang cukup.

Namun begitu, ianya ternyata berbaloi dan penuh kemanisan. Mata yang pada mulanya mengantuk kembali terang. Suasana hingar bingar bunyi hon-hon kenderaan yang memecahkan kesunyian malam di Taiping juga berperanan menaikkan semangat untuk meraikan kemenangan ini.

Sesiapa sahaja yang berselisih dibahu jalan pasti akan mengangkatkan tangan kepada anda biarpun tanpa dikenali. Hon juga ditekan tanpa henti untuk membalas sapaan mereka.

Penduduk tempatan juga tidak ketinggalan untuk meraikan bersama. Tidak mengira bangsa, semuanya beratur di tepi jalan melambaikan bendera Pas menandakan selamat jalan kepada yang pulang ketempat masing-masing. Ada yang datangnya jauh sehinggalah daripada Johor.

Kemeriahan ini diteruskan ke lebuhraya apabila begitu ramai yang membanjiri Bukit Gantang sebelum ini mula pulang untuk membawakan kisah-kisah dan kenangan manis kepada yang tidak berkesempatan turut serta.
Sepanjang jalan dilebuhraya, kesemua kenderaan membawa bendera Pas dan juga sticker sokongan kepada Nizar. Senyum puas jelas kelihatan diwajah masing-masing.

Kesesakan dilebuhraya mula terasa di KM159.9, merangkak perlahan menyusur lebuhraya yang sedikit licin dan gelap. Terowong juga dirasakan terlalu panjang berbanding hari biasa.

Persinggahan kami di hentian sebelah Sg Perak untuk melapik perut di tengah malam yang sejuk agak memeranjatkan.

Kenapa? Kerana kesemua pengunjung disitu terdiri daripada penyokong Pakatan Rakyat. Yang didalam menjamu selera. Yang diluar samada memasang bendera ataupun membetulkan bendera dikenderaan masing-masing.

Kemana semua penyokong-penyokong umno menyorok? Tanya teman saya. Sepanjang lebuhraya juga tidak kelihatan kelibat mereka, sambungnya lagi.
Santapan lewat malam kami diserikan lagi dengan kehadiran Ust Nasharuddin Mat Isa bersama-sama gerombolannya. Begitu juga dengan Dr Khairuddin sekeluarga.

Tempikan takbir yang dimulakan Zaki menggegarkan ruang makan di hentian rehat Sg Perak itu. Ternyata bukan hanya Bukit Gantang yang kita tawan, tetapi hentian rehat Sg Perak ini juga milik kita, kata saya kepada Haji Mat, Fadzil, Zaki dan Rahim yang bersama-sama saya.

Selepas ini ada satu lagi bukit yang akan kita tawan didalam pilihanraya kecil, usik Fadzil setiap kali bersalaman dengan yang minta diri untuk pulang. Pilihanraya kecil dibukit mana?, tanya mereka. Bukit Lanjan ke?, tanya mereka lanjut.

Bukan....bukit aman, jawab selamba Fadzil. Hilai tawa semua memecahkan kedinginan angin lebuhraya waktu dinihari.

Perjalanan diteruskan. Kenderaan merangkak perlahan bagaikan jika saya turun untuk berjalan kaki, pasti saya dulu yang akan tiba di plaza tol Jelapang menunggu mereka.

Tiba dirumah jam 2.30 pagi. Agak lewat berbanding hari biasa apabila perjalanan pulang kami mulai jam 10 malam tadi.

No comments:

Followers