KUALA LUMPUR, 3 April (Hrkh) - Ketua Penerangan PAS, Dato' Mahfuz Omar mendakwa kehadiran Dato' Seri Najib Tun Razak selaku Perdana Menteru keenam akan banyak mengundang masalah kepada negara.
Ini kerana ujar Mahfuz, sebelum Najib mengangkat sumpah selaku PM dan hingga sah diperkenan ke jawatan nombor satu negara hari ini, imej 'negatif' terus membayanginya.
Sedangkan hingga ke saat ini, hanya penafian sahaja yang dibuat sedangkan tiada satu tindakan konkrit melalui undang-undang dibuat bagi membersihkan segala tuduhan ke atasnya, kata Mahfuz.
Paling menyedihkan, rakyat tidak menyambut kehadiran PM keenam ini dengan sambutan yang dilihat kepada beberapa pemimpin terdahulu seperti Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj; Tun Abdul Razak Hussien; Tun Hussien Onn dan Tun Abdullah Ahmad Badawi, katanya.
"Ketika Abdullah disebut menggantikan Tun Mahathir, namanya disbeut sebagai 'mr clean' dan rakyat menyambut dengan baik hingga pilihan raya umum ke-11 menyebelahi BN dengan majoriti besar.
"Maknanya rakyat sambut baik, kepada Abdullah walaupun selepas itu imej buruknya mula terlihat, itu hal lain.Dalam kes Najib ini, rakyat mempunyai persepsi yang 'negatif; kepadanya termasuk apa yang diterjemah melalui pemilihan Umno baru-baru ini yang dikatakan penuh dengan rasuah atau politik wang," ujarnya.
Bagi Mahfuz beban yang dibawa Najib selaku PM mengundang banyak persepsi di kalangan rakyat sehingga kini kerana tiada usaha untuk membersihkannya secara perundangan.
Paling dibimbangi kata Mahfuz, Najib juga dilaporkan oleh beberapa akhbar asing mengenai imej negatifnya, dan hingga kini PM yang baru itu tidak bertindak menyaman tujuh akhbar asing itu.
"Ini yang membimbangkan kita, nama Najib di mata dunia sudah tercalar dengan laporan itu, apatah lagi belum ada usaha yang dilihat untuk membersihkan namanya samada oleh beliau sendiri atau secara rasmi melalui kerajaan Malaysia.
"Najib perlu ingat bahawa beliau membawa imej negara dan bukan dirinya sendiri sahaja," tegasnya.
Sementara itu Mahfuz melihat kabinet bayangan yang bakal dibariskan Najib selepas ini pastinya tidak terlepas dari pemimpin yang diragui kredibilitinya.
Apa tidaknya, kabinet yang akan dibariskan adalah dikalangan mereka yang menang dalam pemilihan Umno dan pemilihan Umno baru-baru ini sangat diragui tahap bersihnya.
"Ada amalan rasuah kerana banyak pihak yang mendakwa berlaku, dan hingga kini ia belum reda," katanya.
Rakyat juga katanya akan merasa bimbang dengan kehadiran Najib selaku PM keenam kerana pastinya dakwaan bahawa pentadbirannya akan mendapat campur tangan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor akan terus dibincangkan.
Kebimbangan ini berasas kerana katanya ada rungutan di kalangan pegawai-pegawai kerajaan akan perihal sikap Rosmah yang sangat diketahui mereka.
Mohd Najib Abdul Razak hari ini secara rasminya dilantik PM Malaysia keenam apabila istiadat pengurniaan surat cara pelantikan dan istiadat mengangkat sumpah setia serta menyimpan rahsia sempurna dilangsungkan di Istana Negara, 10.10 pagi.
Stesen RTM menyiarkan secara langsung istiadat pelantikan dan mengangkat sumpah jawatan serta sumpah rahsia Najib sebagai perdana menteri walaupun kesemua 81 ahli Parlimen pembangkang membantahnya.
Mereka memohon Yang di-Pertuan Agong menunda majlis tersebut sehingga satu suruhajaya bebas dibentuk untuk membersihkan ahli parlimen Pekan itu daripada sebarang dakwaan salah laku - antara yang popular, berkaitan kematian Altantuya Shaariibuu dan komisyen pembelian kapal selam Scorpene.
Najib menggantikan Tun Abdullah Ahmad Badawi dalam pelan peralihan kuasa Umno dan negara susulan ketewasan mengejut dan terburuk dalam sejarah BN pada pilihan raya umum lalu. _
No comments:
Post a Comment