Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berasa amat sedih dengan pelantikan Datuk Seri Mohd Najib Razak sebagai perdana menteri Malaysia keenam hari ini.
Tambahnya, pengambilalihan kuasa kepada Najib dipersoalkan rakyat dengan alasan presiden baru Umno itu diselubungi pelbagai isu kontroversi, antaranya, dikaitkan dengan Altantuya Shaariibuu seperti dakwaan seorang penyiasat persendian yang kemudiannya hilang.
"Adakah ini pemimpin yang hendak memimpin negara ini? Apakah beliau (Najib) mempunyai kaitan dengan P Balasubramaniam.
"Siapa yang bersalah di atas kehilangan satu nyawa," katanya, walaupun tidak menyebut identiti tersebut.
Wan Azizah sedang berceramah untuk calonnya dalam pilihanraya kecil DUN Bukit Selambau di sebuah rumah di Taman Ria Jaya, kira-kira 250 meter dari lokasi kekecohan antara polis dengan penyokong parti itu minggu lalu.
Majlis dalam keadaan hujan renyai-renyai tidak melemahkan semangar kira-kira 250 hadirin daripada pelbagai kaum termasuk Cina dan India.
Menurut bekas ahli parlimen itu, rakyat terkejut kerana pertama kali dalam sejarah pilihanraya seramai 15 calon menawarkan diri merebut kerusi itu, 7 April ini.
"Apa istimewanya Bukit Selambau sampai 15 orang mahu bertanding?" katanya.
Sehubungan itu beliau menyeru pengundi agar tidak lupa memangkah calon nombor empat di kertas undi terbesar dalam sejarah negara, calon PKR S Manikumar.
Wan Azizah berkata demikian sambil membilang jarinya dalam bahasa Tamil sambil disambut gelak ketawa hadirin.
-malaysiakini.com
No comments:
Post a Comment