KUALA TERENGGANU, 20 Dis (Bernama) -- Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh hari ini dipilih sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu, 17 Jan depan.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang juga Timbalan Presiden Umno, mengumumkan perkara itu ketika berucap di hadapan lebih 4,000 penyokong BN di kediaman Menteri Besar, Datuk Ahmad Said di Sri Iman di sini.
Najib berkata pemilihan Wan Ahmad Farid, yang juga Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu mendapat restu daripada Perdana Menteri yang juga Presiden Umno Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
"Untuk calon, bagi pihak Presiden Umno, telah diambil kira pandangan dan segala-galanya, BN dengan ini menampilkan Datuk Wan (Ahmad) Farid sebagai calon pilihan raya kecil P36 Kuala Terengganu," katanya.
Pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu diadakan berikutan kematian penyandangnya yang juga Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Razali Ismail pada 28 Nov lepas.
Najib berkata Wan Farid, 46, yang memegang jawatan Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu, selama dua penggal adalah pilihan tepat dan calon yang diyakini mampu mengekalkan penguasaan BN di kerusi Parlimen itu.
"Saya sudah beberapa kali berbincang dengan Presiden, saya nak beritahu Presiden dan saya mempunyai pendapat sama dalam menentukan calon ini," katanya.
Selain itu kata beliau pemilihan Wan Farid turut mendapat sokongan pemimpin Umno lain serta pemimpin parti komponen lain termasuk dari Terengganu sendiri.
"Dalam pilihan raya kecil, calon antara faktor penentu kemenangan sesebuah parti dan kita yakin calon kita ini mampu mencapai kemenangan pada 17 Jan nanti," kata Najib.
Beliau berkata pengumuman calon BN bagi pilihan raya kecil kali ini dibuat awal dari kebiasaannya, iaitu sehari atau pada malam penamaan calon, bagi memberi peluang calon terpilih memperkenalkan diri kepada pengundi.
Ia juga bagi memberi masa kepada BN menangani dan menyelesaikan sebarang masalah yang timbul sekiranya ada, katanya.
Beliau berkata pilihan raya kecil Kuala Terengganu besar maknanya dan perlu dimenangi BN kerana ia memberi kesan terhadap masa depan parti itu.
Antara yang turut hadir pada majlis itu termasuk bekas menteri besar Datuk Seri Idris Jusoh, Ketua Pergerakan Wanita Tan Sri Rafidah Aziz dan Ketua Pergerakan Pemuda Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein.-- BERNAMA
Ajijoi ~ Kita tunggu pula siapa calon pilihan PAS bagi menentang Wan Farid yang akan diumumkan esok.
No comments:
Post a Comment