Wednesday, December 24, 2008

Perak tiada hak?

PUTRAJAYA: Hak milik tanah pegangan kekal tidak boleh sewenang-wenangnya diberi kepada penduduk Rancangan Perkampungan Tersusun (RPT) dan Kampung Baru tanpa persetujuan Majlis Tanah Negara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menegaskan, Dasar Tanah Negara menetapkan pegangan tanah secara kekal hanya boleh diberi bagi maksud kegunaan Kerajaan Persekutuan, awam dan keadaan istimewa yang terhad.

Berikutan itu, katanya, cadangan kerajaan Perak untuk memberi hak milik tanah pegangan kekal kepada penduduk RPT dan kampung baru di negeri itu tidak boleh dilaksanakan sehingga Majlis Tanah Negara membuat keputusan.

"Dari segi dasar dan Perlembagaan Persekutuan, ia tidak boleh dibuat secara sendirian, tetapi mesti melalui Majlis Tanah Negara. "Sebagaimana kita sedia maklum, Majlis Tanah Negara diwujudkan mengikut Perlembagaan Persekutuan untuk menyelaraskan Dasar Tanah Negara supaya wujud keseragaman antara negeri,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat ke-23 majlis itu di sini, semalam. Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, turut menghadiri mesyuarat itu.

Najib berkata, perkara itu dibangkitkan pada mesyuarat berkenaan tetapi Majlis Tanah Negara membuat keputusan untuk mengadakan mesyuarat khas tidak lama lagi bagi membincangkan kertas kerja berhubung cadangan kerajaan Perak itu.

Sebelum ini, Mohammad Nizar berkata, pemberian hak milik tanah pegangan kekal itu akan diberi secara berperingkat kepada 110,000 pemilik iaitu 60,000 di RPT dan 50,000 Kampung Baru membabitkan kawasan seluas 6,000 hektar. Mohammad Nizar berkata, ini kerana ia hanya membabitkan saiz tanah yang kecil iaitu 6,000 hektar atau 0.01 peratus daripada jumlah keluasan tanah di Perak.

Ditanya alasan yang diberi kerajaan Perak untuk berbuat demikian, Timbalan Perdana Menteri berkata: "Dia ada alasan, tetapi apa-apa pun tidak boleh bertentangan dengan Dasar Tanah Negara yang diputuskan oleh majlis." Najib berkata, Majlis Tanah Negara juga bersetuju mengembangkan pelaksanaan e-tanah di Negeri Sembilan dan Melaka mulai tahun depan selepas projek perintis di Pulau Pinang.

"Sekiranya projek ini memberi kesan dan manfaat yang besar, ia akan diperluaskan ke seluruh negara," katanya.

Sementara itu, Exco Kanan Perak, Datuk Ngeh Koo Ham bertegas menyatakan cadangan kerajaan negeri itu mematuhi Dasar Tanah Negara dan boleh dilaksanakan. “Kita ada kriteria yang dipanggil sebagai ’keadaan khas’ untuk meluluskan pegangan sedemikian,” katanya kepada pemberita di Ipoh.

No comments:

Followers