Wednesday, December 24, 2008

Hudud tidak masuk dalam sistem pentadbiran Perak - YB Ngeh Koo Ham

IPOH 23 Dis. - Pelaksanaan hukum hudud langsung tidak termasuk dalam sistem pentadbiran kerajaan negeri campuran di Perak kerana sudah mempunyai prinsip pemerintahan tersendiri.
Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham berkata, dasar kerajaan negeri sedia ada adalah untuk memerintah negeri ini berlandaskan prinsip keadilan, kewibawaan, ketelusan, amanah dan kebajikan.

Beliau yang juga Exco kanan kerajaan negeri berkata, prinsip berkenaan mesti sentiasa dipegang kuat kerana telah dipersetujui secara bersama antara Pas, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebelum ini.

''Kelima-lima prinsip yang dipersetujui itu merupakan nilai yang diamalkan dalam semua agama di negara ini dan pelaksanaan hukum hudud sebenarnya tidak menjadi isu.

''Tambahan pula, pakatan pembangkang masih belum mengambil alih pemerintahan kerajaan Pusat,'' katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa kelmarin bahawa parti itu tidak pernah melupakan dasar perjuangannya untuk menegakkan pemerintahan Islam di negara ini termasuk melaksanakan hukum hudud.

Koo Ham berkata, niat Pas melaksanakan hukum hudud adalah baik kerana ia bertujuan membanteras jenayah atau kejahatan tetapi malangnya tidak dipersetujui oleh semua pihak. Jelas beliau, ini kerana semua pihak mempunyai matlamat untuk meningkatkan nilai moral masyarakat berdasarkan cara atau kaedah tersendiri.

''Di sini saya berpendapat undang-undang sedia ada di negara kita sudah cukup bagus tetapi ia harus dilaksanakan untuk membawa kebaikan kepada masyarakat.

''Saya rasa Perak telah diperintah dengan baik berdasarkan lima prinsip tadi dan mungkin selepas mengambil alih kerajaan pusat cara pemerintahan di Perak boleh dijadikan contoh," katanya.

Sementara itu, Koo Ham juga mempertahankan pendirian Menteri Besar Perak, Datuk Seri Muhammad Nizar Jamaluddin yang mahu pembawa HIV dan penghidap AIDS dikuarantin untuk rawatan dan tidak dibenarkan berkahwin.

''Niat beliau (Muhammad Nizar) sebenarnya adalah baik iaitu tidak mahu pasangan pembawa HIV menyusahkan mereka yang tidak bersalah.

''Perkahwinan melibatkan pembawa HIV boleh menyebabkan penyakit itu terus merebak kepada generasi akan datang,'' katanya.

No comments:

Followers