Monday, December 22, 2008

Gerakan bidas cadangan MB Perak supaya pembawa HIV dikuarantin

IPOH: Timbalan Presiden Gerakan Datuk Chang Ko Youn hari ini membidas cadangan yang dikemukakan Menteri Besar Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin semalam bahawa pembawa HIV tidak boleh dibenarkan berkahwin dan sebaliknya harus dikuarantin untuk rawatan.

Menyifatkan idea itu sebagai primitif, Chang berkata idea seumpamanya telah dikutuk di seluruh dunia dan tidak diterima untuk menyelesaikan masalah Aids.

"Pembawa penyakit ini mesti dilayan sebagai manusia dan bukannya dipinggirkan. Ia hanya memisahkan mereka daripada masyarakat dan menyebabkan pembawa merahsiakan masalah mereka," katanya dalam satu kenyataan.

"Ini akan meningkatkan lagi jangkitan penyakit jika perkara ini disembunyikan dan pembawa tidak bersedia untuk mendapatkan rawatan secara terbuka," katanya.

Chang, yang juga Pengerusi Gerakan Perak, berkata cadangan Mohammad Nizar itu menunjukkan ketidakprihatinan dan kegagalan Menteri Besar Perak itu memahami penyakit berkenaan. Beliau berkata ia juga menunjukkan kegagalan kempen kerajaan mengenai kesedaran penyakit HIV kerana pemimpin politik sendiri masih jahil, apatah lagi rakyat biasa.

Chang menggesa para pemimpin politik mengkaji masalah dengan teliti sebelum mengemukakan cadangan yang tidak membantu dan menimbulkan perbalahan sehingga boleh menyebabkan masyarakat kembali ke Zaman Kelam. BERNAMA

No comments:

Followers