Sunday, December 14, 2008

Exco Perak salahkan kerajaan Pusat


IPOH: Ahli Exco Kanan Perak, Datuk Ngeh Koo Ham hari ini menyalahkan kerajaan pusat sebagai penyebab kerajaan negeri Perak terpaksa membayar harga tinggi bagi pembelian 16 kereta Toyota Camry 2.4 untuk Exco kerajaan negeri dan pegawai kanannya.

Beliau berkata keengganan kerajaan pusat memberikan pelepasan cukai menyebabkan kerajaan negeri terpaksa membayar harga RM167,000 untuk sebuah Toyota Camry berbanding harga sebenar hanya RM97,000 bagi menggantikan Proton Perdana V6 Executive sebagai kenderaan rasmi.

Sambil menegaskan peruntukan untuk membeli kereta baru itu telah diluluskan oleh kerajaan negeri Barisan Nasional (BN) yang lepas, Ngeh berkata keputusan pembelian itu adalah untuk mengelakkan wang rakyat dibazirkan bagi membayar kos penyelenggaraan tinggi kereta rasmi sedia ada.

"Adalah lebih menjimatkan menyenggara kereta-kereta Toyota Camry daripada kumpulan Proton Perdana V6. Kami mahu menjimatkan wang dengan membeli kereta baru oleh kerana kos senggara tidak begitu tinggi," katanya kepada pemberita selepas konvensyen DAP Perak di sini.

Pada Jumaat lalu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata kerajaan negeri akan mengeluarkan RM2.7 juta bagi membeli kereta baru itu, dan menyatakan menyenggara Proton Perdana melibatkan kos tinggi. Pengumuman Menteri Besar itu mengundang reaksi pelbagai pihak termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pangkor, Datuk Dr Zambry Abd Kadir yang menyifatkan kerajaan negeri tidak menepati janji untuk berbelanja secara berhemah. - Bernama

No comments:

Followers