Friday, February 22, 2013

Umno perguna masjid; PAS Gopeng serah memorandum pada JAIPk


22 Februari 2013- Ipoh
Rentetan sikap UMNO yang tidak beradab menggunakan  masjid sebagai sasaran program kepartian walaupun atas nama munajat dan ceramah agama, PAS Kawasan Gopeng mengambil inisiatif menghantar memorandum kepada Pengarah JAIPk Dato' Haji Mohd Yusop bin Haji Husin  D.P.M.P , P.M.P , A.M.N untuk diambil tindakan sewajarnya.

PAS Kawasan Gopeng menganggap perbuatan menggunakan logo parti dalam dua program UMNO yang diterajui oleh YB Datuk hamidah dan penceramah UMNO terkenal Us kazim Elias sebagai perbuatan yang tidak beradab kerana ia menyalahi dan melanggar titah Yang Mula Raja Muda sebelum ini. Malah UMNO yang kini giat berkempen menyokong institusi istana dan Islam juga kelihatan melanggar arahan Mufti Perak agar menghindar sebarang objektif kepartian di masjid-masjid.

Menurut Tuan Haji Abd Rahim, pihak PAS Gopeng akan turut menghantar surat permohonan kepada jawatankuasa masjid berkenaan agar dibenarkan juga PAS menggunakan premis masjid sekiranya tiada tindakan atau teguran daripada pihak JAIPk.

Memorandum yang dihantar tersebut diserahkan melalui wakil PAS Kawasan Gopeng, Tuan Haji Abd Rahim (YDP PAS Gopeng), Ustaz Radzi Zainon (Tim YDP) dan Muhammad Nuruddin Bashah (Penerangan MTD Sg Rapat) kepada Pembantu Peribadi (PA) yang berbahagia Dato' Pengarah sendiri.

Muhammad Nuruddin Bashah
Penerangan MTD Sg Rapat


Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasih
MEMORANDUM
KEPADA : Dato' Haji Mohd Yusop bin Haji Husin  D.P.M.P , P.M.P , A.M.N
Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk)
Kompleks Islam Darul Ridzuan,
Jln Panglima Bukit Gantang Wahab,
30000 Ipoh, Perak
20 Februari 2013

BANTAHAN TERHADAP PENGGUNAAN LOGO KEPARTIAN DAN PROGRAM BERBENTUK KEPARTIAN DI MASJID-MASJID MAHUPUN PREMIS MASJID DI PARLIMEN GOPENG
--------------------------------------
Daripada : PAS KAWASAN GOPENG
Pihak PAS Kawasan Gopeng ingin mengemukakan Memorandum Khas kepada Pengarah JAIPK Dato' Haji Mohd Yusop bin Haji Husin  D.P.M.P , P.M.P , A.M.N bagi mempertimbangkan tindakan wajar untuk menghalang pihak tertentu menggunakan premis masjid sebagai lokasi aktiviti kepartian.

Latar belakang:
Pihak PAS Kawasan Gopeng menjunjung tinggi titah Yang Mulia Raja Muda Negeri Perak serta nasihat daripada pihak Mufti Perak sebelum ini berkenaan larangan menjadikan masjid sebagai gelanggang berpolitik. Malah PAS tidak pernah menaikkan sebarang bendera atau logo kepartian di kawasan masjid atau pada iklan-iklan, baner ceramah anjuran jawatankuasa masjid kerana percaya ia boleh mengundang ketidakselesaan dan menganggu keharmonian perpaduan di dalam kariah.

Pada tahun 2010, Yang Mulia Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah pernah bertitah bahawa Baginda mahukan pegawai agama bebas daripada politik kepartian atau pengaruh mana-mana pemimpin dan kumpulan politik dalam melaksanakan amanah serta tanggungjawab urusan agama Islam.

Titah Baginda titah baginda pada majlis sembah menghadap Orang Besar Jajahan Perak dan pegawai tadbir agama daerah di Kompleks Islam di Ipoh  antara lain menegaskan bahawa Masjid dan surau tidak wajar dijadikan pentas untuk permainan politik, sebaliknya hendaklah menjadi instrumen perpaduan untuk menyatupadukan ummah.

Manakala  kenyataan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria pernah menasihati umat Islam termasuk pihak kepartian agar tidak menggunakan surau dan masjid sebagai `gelanggang' berpolitik sepanjang bulan Ramadan dan juga pada hari-hari lain.

Tindakan UMNO Gopeng yang diterajui oleh YB Datuk Hamidah;
·         Menganjurkan ceramah Agama oleh Us Kazim Elias  di Masjid Kg Rapat Jaya Tambahan pada 20 Feb 2013 dengan menggunakan baner bercetak logo UMNO dan Barisan Nasional.

.   Menganjur Munajat dan solat hajat di Masjid Pengkalan Pegoh pada 19 Feb 2013 juga dengan baner yang berlogokan parti UMNO dan Barisan Nasional.

Walaupun baner tidak dipasang di kawasan masjid, namun program tersebut ternyata dibuat di masjid, memasukkan logo parti seolah-olah usaha menampilkan penganjur adalah pihak politik.

Penutup:
Kami berharap agar pihak JAIPk akan berlaku adil dalam menangani isu ini memandangkan misi dan visi JAIPk sendiri adalah untuk mengurus selia masjid-masjid agar menjadi medan perpaduan umat islam di negeri ini.

Objektif Bahagian Pengurusan Masjid dan Surau juga meletakkan sasaran untuk mengembalikan fungsi dan peranan Masjid sebagaimana yang dikehendaki oleh Syarak serta menjadikan masjid sebagai pusat kegiatan Umat Islam, pusat penyebaran ilmu dan maklumat amat dihormati oleh pihak PAS Kawasan Gopeng.

Yang Benar,
Hj Abd Rahim bin Md Ariff
YDP PAS Kawasan Gopeng

Radzi Bin Zainon
Timbalan YDP Pas Kawasan Gopeng

PAS Kawasan Gopeng, 23A, Persiaran Sepakat 3, Taman Indah Jaya, 31350 IPOH


 
Sumber: blog landskapsiasah

No comments:

Followers