Friday, March 9, 2012

BN dalam dilema, PRU tangguh lagi

Bulan Mac setiap tahun menjadi detik yang menggembirakan penyokong Pakatan Rakyat (PR). Pada bulan inilah Pilihan Raya Umum ke-12, tanggal 8 Mac 2008 mengambil tempat dan buat pertama kali dalam sejarah Pembangkang berjaya menafikan majoriti 2/3 BN di Parlimen.

Mac ini genap empat tahun PR memerintah Kelantan, Pulau Pinang, Selangor, Kedah dan menguasai Parlimen Wilayah Persekutuan. Barangkali masih segar di ingatan rakyat bagaimana stesen televisyen gentar menyiarkan keputusan PRU pada petang Sabtu, 8 Mac itu.

Suasana petang itu juga sungguh aneh di negeri-negeri Pantai Barat. Tidak seperti pilihan raya lalu, penyokong BN akan berarak menaiki motosikal meraikan kemenangan, biar pun Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) belum mengisytiharkan secara rasmi. Dalam waktu sama, Pembangkang pula terkejut Borang 14 yang menjadi bukti pembuangan undi dan dikumpulkan datanya di ibu pejabat parti menunjukkan Selangor, Perak, Kedah dan Pulau Pinang tumbang.

Pada jam 7.00 malam, hanya Astro Awani berani mengumumkan keputusan di beberapa kawasan Pembangkang seperti Kelantan dan Kedah. Berita jam 8.00 di TV3 dan RTM1 sebaliknya menyiarkan suasana pembuangan undi.

Shahrizat kalah

Penyokong Pembangkang tertanya-tanya. Pada jam 9.00 malam masih tidak diketahui keputusan di Kuala Lumpur, sedangkan sistem pesanan ringkas (SMS) mula membariskan beberapa nama calon Pembangkang yang menang. Juga di Selangor, negeri yang maju sistem komunikasi, masih tidak ada satu kerusi pun diumumkan statusnya.

Namun menjelang 9.30, Astro tidak mampu berselindung lalu menyiarkan keputusan Parlimen Lembah Pantai. Nurul Izzah mengalahkan Shahrizat Jalil. Keputusan itu disambut dengan laungan 'Reformasi' dan takbir di seluruh negara. Pada hari penamaan calon, Shahrizat menyifatkan Nurul sama usia dengan anaknya (tidak layak mencabar). Terbukti, Nurul bukan lagi remaja 10 tahun lalu ketika bapanya ditahan pada malam 28 September 1998.

Selepas itu, keputusan yang lebih positif diumum. Samy Vellu kalah di Sungai Siput. Beberapa DUN di Johor jatuh ke tangan DAP. Menjelang 10.30, hampir semua pusat penjumlahan undi telah mengisytiharkan pemenang pilihan raya.

Bagaimanapun keputusan penuh di Selangor, Perak dan Kedah masih tidak diketahui. Mujurlah pemimpin Gerakan Pulau Pinang, Dr Koh Tsu Koon bersikap demokratik, beliau muncul di kaca televisyen mengucapkan tahniah kepada bakal Ketua Menteri, Lim Guan Eng. Pengumuman itu memberi isyarat jelas BN telah mengangkat bendera putih, lalu penyokong Pembangkang berpesta di seluruh negara.

Lucunya, stesen media BN dan akhbar harian sehingga keesokan hari masih meneruskan sindrom penafian.Utusan sengaja tidak menyiarkan keputusan pilihan raya sebahagian DUN Selangor kerana ketika itu Dr Khir Toyo sedang berunding dengan beberapa pemimpin PAS untuk membentuk kerajaan perpaduan.

Berulangkah kegemilangan?

Apa pun, persoalannya, adakah kegemilangan lalu itu akan berulang pada PRU ke 13 kelak? Banyak faktor yang perlu difikirkan. Mood pengundi juga masih belum jelas. Adakah mereka bergantung kepada isu semasa atau pun terpengaruh dengan kemurahan BN memberi bantuan serta meneutralkan polisi-polisi tertentu seperti perhimpunan aman dan memansuhkan ISA?

Bagaimanapun, pemerhati politik bersetuju banyak isu yang masih tidak berjaya diselesaikan BN secara sempurna. Isu yang melibatkan masyarakat Cina, seperti Lynas dan perobohan bangunan bersejarah di Jalan Sultan misalnya, amat tidak menguntungkan BN.

Di Pahang, BN lebih mementingkan pelaburan RM700 juta syarikat Lynas membina kilang radioaktif. Mereka enggan membatalkan projek itu meskipun mengetahui risiko paling buruk seandainya berlaku kebocoran radiasi akibat kegagalan sistem atau bencana alam.

Isu Jalan Sultan membabitkan tender yang telah diberikan kepada MMC-Gamuda, kroni utama BN. Masyarakat setempat membantah pembinaan stesen MRT yang bakal memusnahkan warisan Kuala Lumpur. Bangunan Pasar Raya Uda-Ocean, Plaza Warisan dan Stesen Bas Klang adalah mercu tanda yang wajar dikekalkan. Penduduk yang terlibat tidak mahu berpindah dan tidak akan menyerahkan hartanah kepada kerajaan.

Hakikatnya, MRT melalui laluan bawah tanah Kuala Lumpur dan boleh dilencongkan tetapi sengaja tidak dilakukan. Sebelum ini, MRT Corp berjanji untuk 'tidak menyentuh' bangunan lama di kawasan berkenaan. Satu teori yang meluas berlegar di kalangan masyarakat Cina ialah Najib ingin membalas dendam kerana masyarakat Cina Jalan Sultan menyokong himpunan Bersih 2.0 tahun lalu.

Rompakan Felda

Isu melibatkan masyarakat Melayu juga membebankan. Penyenaraian Felda di bursa saham dilihat sebagai percubaan Umno merompak dana agensi perladangan yang kaya-raya itu. Generasi muda Felda amat terkesan dengan penyenaraian, mereka mahukan tanah rizab Felda seluas 830,000 ekar diagih-agihkan. Tetapi peluang itu lenyap sebaik sahaja Felda Plantations memajakkan tanah berkenaan selama 99 tahun untuk dijadikan modal penyenaraian Felda Global Venture Holdings.

Bagi masyarakat India, pembangunan kosmetik di kawasan tertentu yang disediakan BN belum cukup untuk mengembalikan keyakinan mereka. Nasib pekerja ladang dengan pendapatan RM400 sebulan kekal tidak terbela. Tidak dinafikan sokongan kepada PR tidak lagi sekuat 2008 namun boleh dikatakan tidak sampai 50 peratus masyarakat India yang kembali kepada BN.

Dengan peningkatan sokongan kaum Cina ke atas PR dan jumlah margin undi yang kecil kaum India, kaum Melayu dijangka akan menjadi penentu keputusan PRU kali ini. BN kini meneliti impak beberapa perhimpunan besar sepanjang 2012. Perhimpunan 901 dihadiri 20,000 orang Melayu menunjukkan sokongan ke atas Anwar tidak luntur. Perhimpunan Lynas di seluruh negara dengan 20,000 peserta didominasi kaum Cina memberi gambaran penentangan kaum itu masih kuat.

Oleh itu, pilihan raya agak merbahaya kepada BN sekiranya dilaksanakan pada Mac seperti yang diramalkan sebelum ini. Namun PRU tidak begitu jauh di hadapan. Tanda-tandanya amat jelas berikutan jentera kempen utama BN, Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) telah pun digerakkan ke tahap maksimum. Dalam 12 siri pilihan raya lalu, apabila jentera utama ini digerakkan untuk menilai tahap sokongan maka pilihan raya adalah sekitar beberapa bulan selepas itu.

Maka paling selamat untuk meramalkan tarikh baru ialah pada Jun 2012 selepas sidang Parlimen sesi Mac. Ini bersesuaian dengan pelaksanaan skim gaji baru perkhidmatan awam pada April, penyenaraian Felda pada bulan yang sama dan pindaan undang-undang buruh menetapkan kadar gaji minimum sektor swasta pada Mac.

BN menjangkakan pemberian lebih banyak wang akan melenyapkan janji-janji PR di hati rakyat. Tetapi sekiranya PR bersedia, mereka dengan mudah boleh mengumpulkan kembali senarai kenaikan harga barang sepanjang 3 tahun selepas PRU 2008. Itulah jawapan kepada kenaikan gaji, pemberian wang saham Felda dan gaji minimum. Sepanjang 3 tahun selepas BN menang pasti harga barang keperluan akan dinaikan dua kali ganda dan semua 'hadiah' ditelan inflasi.

Cuma satu yang menjadi tanda tanya: Sekiranya takdir menyebelahi PR, adakah media arus perdana akan menyiarkan keputusan PRU kali ini. Jika tidak, bagaimanakah caranya PR memberitahu rakyat mereka telah menang pilihan raya?

- Keadilan Daily

No comments:

Followers