Monday, November 21, 2011

PKR dakwa dana NFC biaya umrah, syarikat keluarga Shahrizat di Singapura

KUALA LUMPUR, 21 Nov — Pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini membuat pendedahan terbaru sambil berkata dana Projek Fidlot Kebangsaan (NFC) digunakan untuk membiaya pakej umrah dan dua syarikat milik keluarga Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil di Singapura.

Tiga pemimpin parti itu berkata pada 2010, NFC telah membelanjakan RM31,580 untuk membiayai pakej umrah di atas nama pengerusi eksekutifnya Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail dan anaknya Wan Shahinur Izran.

"PKR mempunyai bukti jelas bagaimana arahan agar pembayaran bagi pakej umrah menggunakan dana awam ini datangnya dari pejabat pengerusi eksekutif NFC sendiri," kata mereka dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Kenyataan hari ini dibuat oleh Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail, Ketua Wanita Zuraida Kamaruddin dan Pengarah Strategi Rafizi Ismail.

Selain perbelanjaan bersifat peribadi yang tidak sepatutnya dibiayai oleh dana awam seperti itu, kata mereka, lebih membimbangkan adalah pelbagai urus niaga dan pemindahan wang yang melibatkan syarikat-syarikat milik keluarga Shahrizat (gambar) di Singapura.

"Justeru, PKR menggesa supaya (Jawaatankuasa Kira-kira Awam Negara) PAC dan (Polis Diraja Malaysia) PDRM menyiasat segala urus niaga antara NFC, NMLC dan RFC dengan syarikat-syarikat di Singapura," kata mereka.

Dua syarikat tersebut ialah Global Biofuture Pte Ltd dan Meatworks Singapore Pte Ltd.

Global Biofuture Pte Ltd terlibat dalam urus niaga makanan dan bahan api. Semakan awal menunjukkan syarikat ini dalam proses menubuhkan pasar raya di Singapura dan disyaki juga terlibat sebagai ejen untuk mengimport lembu dari luar negara melalui Singapura untuk dibekalkan kepada NFC.

Kata mereka, semakan PKR juga menunjukkan sehingga akhir Jun 2010, Global Biofuture berhutang dengan RFC sebanyak RM939,495.

"PKR percaya bahawa sejumlah wang disalurkan dari pinjaman asal RM250 juta kepada pelbagai syarikat peribadi milik keluarga Datuk Seri Shahrizat, termasuklah untuk menubuhkan dan membiayai Global Biofuture di Singapura.

"Meatworks Singapore Pte Ltd pula bertanggungjawab menguruskan beberapa restoran mewah milik keluarga Datuk Seri Shahrizat di Singapura. Semakan penyata kewangan menunjukkan bahawa pada akhir Jun 2010, Meatworks Singapore berhutang dengan RFC sebanyak RM2,416,815," katanya lagi.

Sehubungan itu kata mereka, bukti-bukti awal tersebut sudah cukup untuk membolehkan satu siasatan terperinci dibuat dalam menentukan sama ada penyelewengan berlaku, apabila wang rakyat yang disalurkan untuk projek nasional berimpak tinggi digunakan bagi tujuan peribadi termasuklah membuka pelbagai syarikat milik keluarga yang menyimpang dari tujuan asal pinjaman diberikan.

Kata mereka, skandal ini akan terus terbongkar dan Perdana Menteri perlu tampil memberi penjelasan memandangkan beliau yang bertanggungjawab mengkaji cadangan projek dan meluluskan dana awam sebanyak RM250 juta.

"PKR menyeru supaya Perdana Menteri segera membuat kenyataan mengenai skandal ini, lebih-lebih lagi apabila Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar mengejutkan negara apabila mengesahkan bahawa kelulusan projek ini tidak dibawa ke peringkat Kabinet.

"Sebaliknya, projek berjumlah RM250 juta ini khabarnya diluluskan oleh sebuah jawatankuasa bukan Kabinet yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri sendiri," katanya lagi.

Mereka juga percaya bahawa unsur penyelewengan yang mungkin berlaku dalam NFC dan syarikat-syarikat yang berkaitan melangkaui pendedahan yang mengejutkan rakyat Malaysia selama ini.

Ketiga-tiga pemimpin itu juga mengalu-alukan siasatan yang akan dibuat oleh PAC dan PDRM terhadap pelbagai urusniaga melibatkan NFC dan Projek Fidlot Kebangsaan seperti yang diumumkan mutakhir ini.

"Bagaimanapun, isu paling pokok adalah persoalan pertanggungjawaban awal yang bermula dari Kabinet dan menteri-menteri kanan Barisan Nasional yang terlibat menganugerahkan projek bernilai RM250 juta ini kepada sebuah syarikat yang tidak mempunyai kepakaran dan pengalaman langsung.

"Dana awam berjumlah RM250 juta pun disalurkan tanpa ada sebarang jadual pembayaran seperti mana kebiasaannya," katanya lagi.

No comments:

Followers