Friday, November 25, 2011

Banjir Utara Perak: Pas Perak buka bilik gerakan

Badan Perhubungan PAS Negeri Perak mengambil serius ramalan kaji cuaca yang menjangkakan berlakunya hujan lebat berterusan yang akan mengakibatkan banjir di sebelah Utara Perak pada pertengahan atau akhir bulan November ini nanti. Langkah yang pertama yang telah diputuskan oleh pimpinan Parti ialah dengan menubuhkan satu Pusat Bilik Gerakan Banjir di peringkat Negeri dan PAS Kawasan yang terbabit di bawah pemantauan dan seliaan Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri, Haji Mohd Misbahul Munir Haji Masduki.
 
PAS Perak juga telah menyusun beberapa langkah persediaan awal bagi menghadapi suasana banjir di Utara Perak pada kali ini termasuk persediaan keselamatan jika berlaku hujan lebat yang berterusan yang mengakibatkan banjir. Malah Parti yang memperjuangkan konsep negara berkebajikan ini juga akan menawarkan bantuan yang sesuai seperti membersihkan rumah selepas banjir surut kelak. Bagi persediaan itu juga, Jabatan Amal Negeri Perak yang dikendalikan oleh Dewan Pemuda PAS Negeri Perak akan menyiapkan anggota mereka bagi membentuk satu pasukan bantuan banjir bagi menghadapi sebarang kemungkinan musibah banjir kali ini.
 
Kami juga mengalu-alukan bantu orang ramai dalam semua aspek keperluan bagi membantu mangsa banjir kelak. Kami berharap persediaan awal ini nanti akan melicinkan gerak kerja bantuan yang akan disalurkan kelak. Kami juga mendoakan agar Allah SWT dapat melindungi kita dari segala malapetaka dan memberi kita kekuatan untuk bersabar dalam menghadapi segala ujianNya. Untuk sebarang pertanyaan, maklumat dan sumbangan, bolehlah menghubungi dengan talian kami di – 05 313 6377.
 
 
AHMAD NURI AL-AMIN
Ketua Penerangan,
Badan Perhubungan PAS Negeri Perak.

No comments:

Followers