Sunday, November 27, 2011

Beri perhatian kepada sekolah tamil, gesa V. Sivakumar

IPOH: ADUN Tronoh, V. Sivakumar ketika membahaskan bajet 2012 Kerajaan Negeri pada sidang Dewan Undangan Negeri 23 Novembr lalu menyentuh Akta Pelajaran, setiap sekolah harus mempunyai Lembaga Pengurus Sekolah (LPS).

Namun begitu katanya undang-undang ini tidak dipedulikan oleh sekolah-sekolah Tamil di Perak yang berjumlah 134 sekolah.

"Setahu saya kurang daripada 10 peratus sekolah-sekolah Tamil ini mempunyai Lembaga Pengurus Sekolah. Kenapakah kerajaan negeri tidak mengambil sebarang usaha untuk menubuhkan Lembaga Pengurus Sekolah di setiap sekolah Tamil di Perak," katanya.

Menurut beliau ini merupakan satu kegagalan Kerajaan Negeri untuk memberi perhatian sewajarnya kepada kebajikan dan pembangunan sekolah-sekolah Tamil.

Dalam hal ini kerajaan Negeri jangan harapkan MIS melakukannnya kerana jika tugas itu diberikan kepada MIS samalah seperti memberi tugas kepada Mat Jenin dan mengharapkan beliau menyiapkan kerja itu.

"MIC akan tunggu sampai gagak putih dan bangau hitam datang untuk menyelesaikan masalah ini. MIC juga mungkin mempunyai agenda tersendiri atau sesuatu muslihat untuk mengelak daripada menubuhkan Lembaga Pengurus Sekolah di Sekolah-sekolah Tamil di Negeri Perak," jelasnya.

Di Pulau Pinang, 5 daripada 28 sekolah Tamil iaitu 17.8 peratus mempunyai Lembaga Pengurus Sekolah. Begitu juga di Selangor, lebih daripada 30 peratus daripada sekolah-sekolah Tamil sudahpun mempunyai Lembaga Pengurus Sekolah.

Beliau turut membangkitkan mengenai Sekolh Tamil Gopeng di mana mengikut maklumat semua bilik darjah menghadapi masalah anai-anai yang sangat serius. SJKT Gopeng mempunyai jumlah murid seramai 200 orang. Keselamatan anak-anak ini adalah penting dan harus diberi keutamaan. Ibubapa murid-murid sekolah ini sungguh mengharapkan pihak kerajaan mengambil tindakan segera sebelum apa-apa kejadian yang tidak diingini berlaku di sekolah ini.

Satu lagi sekolah Tamil yang memerlukan perhatian kerajaan ialah SJKT Menglembu, Ipoh. Sekolah ini mempunyai lebih kurang 304 orang murid-murid. Sekolah ini menghadapi pelbagai masalah yang perlu diselesaikan dengan segera. Masalah-masalah sekolah ini telah dibawa kepada perhatian pihak-pihak yang bertanggungjawab tetapi tidak ada sebarang tindakan setakat ini. Setiap pemimpin yang melawat sekolah ini hanya memberi janji-janji kosong untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh sekolah ini.

Sekolah ini merupakan sebuah sekolah bantuan penuh kerajaan. SJKT Menglembu hanya memiliki 6 buah bilik darjah utama untuk menampung 304 orang murid-murid. Tambahan pula, bilik komputer dan perpustakaan juga telah dijadikan sebagai bilik darjah untuk menampung keperluan. Ini merupakan satu bukti bahawa sekolah-sekolah Tamil sentiasa di anaktirikan oleh kerajaan. Walaupun kerajaan telah menjanjikan untuk membina bangunan baru untuk sekolah ini, tetapi janji itu bagaikan janji di atas angin. Harap Dewan mengambil perhatian terhadap perkara yang dibangkitkan ini.

"Sungguh sedih dalam belanjawan ini tidak ada peruntukan yang secukupnya untuk sekolah-sekolah Tamil di negeri Perak. Kerajaan Negeri Perak hanya memberi RM1juta perbelanjaan utiliti untuk sekolah-sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil. Untuk makluman semua Ahli-ahli Yang Berhormat, Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor memberi RM4juta empat tahun berturut-turut kepada sekolah-sekolah Tamil sejak tahun 2009. Pada tahun ini, di bawah program ‘Geran Selangorku’, peruntukan tambahan yang dianggarkan lebih kurang RM5juta lagi akan diberikan untuk 97 sekolah Tamil di Selangor," ucap beliau..

Begitu juga di Pulau Pinang, Kerajaan Pakatan Rakyat memberikan RM1.5juta pada tahun 2009, RM1.75 juta pada tahun 2010 dan RM1.75juta pada tahun 2011. Jumlah ini diberikan untuk ke semua 28 buah sekolah Tamil di Pulau Pinang. Sedangkan di Negeri Perak, yang mempunyai jumlah sekolah Tamil yang paling banyak di Malaysia, iaitu 134 buah sekolah, terpaksa berkongsi peruntukan untuk utiliti dengan sekolah-sekolah lain berjumlah hanya sekadar RM1juta sahaja. Ini membuktikan bahawa kerajaan ini sekali lagi menganak-tirikan sekolah-sekolah Tamil di negeri Perak.
Beliau turut menyentuh mengenai pendidikan anak orang asli,dan melahirkan rasa kesal hanya RM500 ribu sahaja diperuntukan terhadap pendidikan anak-anak orang asli di bawah program Murid Cemerlang Orang Asli.

Jumlah ini adalah terlalu rendah untuk membantu kaum orang asli yang amat memerlukan sokongan dan dokongan daripada kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan.

"Kerajaan boleh memperuntukan sejumlah RM3.5juta untuk Program Pemetaan Minda untuk sekolah-sekolah menengah tetapi tidak berjiwa besar untuk membantu masyarakat orang asli yang sentiasa dipinggirkan dalam segala aspek pembangunan negara," katanya.

Beliau berharap kerajaan akan menambahkan jumlah peruntukan pendidikan untuk membantu anak-anak orang asli supaya mereka juga turut menikmati arus pembangunan negara.

Oleh: Johari Jaafar

No comments:

Followers