FENOMENA artis yang kembali ke pangkal jalan merupakan suatu perkara yang sudah tidak asing lagi dalam masyarakat. Sungguhpun begitu, bagi pelakon muda, Irma Hasmi Ibrahim, 29, berpendapat, cabaran utama yang perlu dilalui golongan ini adalah cara untuk istiqamah dengan perubahan tersebut.
"Apapun semuanya bergantung kepada niat asal seseorang dalam melakukan sesuatu. Kita perlu diletakkan niat hanya semata-mata kerana Allah," tegasnya kepada Harakah.
Ujarnya lagi, perubahan dan penghijrahan sering berlaku dalam kehidupan seharian manusia tanpa mengira kedudukan dan nama menerusi hidayah dan taufik daripada Allah.
"Namun golongan artis yang nature nya mempunyai pengaruh dan kesan memandangkan mereka ini mempunyai peminat dan pengikut yang tersendiri," kata artis yang sedang meningkat naik menerusi pelbagai drama tv dan beberapa rancangan di stesen TV Al-Hijrah.
Justeru, kata Irma, seseorang artis itu perlu sentiasa berdoa kepada Allah untuk ditetapkan hati dan menguatkan tekad dalam melakukan proses penghijrahan itu.
"Saya mendoakan kepada semua rakan-rakan artis tidak kira apa jua perubahan yang sedang berlaku kepada mereka agar semuanya beroleh hidayah dan sentiasa istiqamah dengan niat yang betul serta ikhlas dalam apa jua amal kebaikan yang dilakukan," katanya lagi.
Ditanya mengenai situasi dirinya setelah proses penghijrahan, Irma melahirkan rasa syukur selain berasa tenang dan yakin dengan apa yang dilakukannya.
"Saya dapati kehidupan saya sangat bahagia, tenang, bebas dan yakin kerana tahu batas-batas syariat, malah saya rasa tidak teragak-agak untuk melakukan sesuatu," ujarnya lagi. Bahkan jelas beliau, nikmat yang dirasai seseorang yang bertaubat adalah lebih disayangi oleh Allah SWT.
-harakah
No comments:
Post a Comment