Wednesday, October 26, 2011

ALLAH UJI SIKIT, JANGAN TERUS CABUT LARI - INGATAN SYAM KAMIKAZE KEPADA RAKAN ARTIS

"SAYA selalu berdoa... Ya Allah jangan Engkau bagi hidayah kepadaku, kemudian Engkau tarik semula hidayah itu," cerita bekas penyanyi utama kumpulan rock Kamikaze, Sham Kamikaze atau nama sebenarnya Shamril Mohd Salleh, 35. Beliau memilih jalan berdakwah selepas tujuh bulan berhijrah dan meninggalkan dunia hiburan. Walaupun dari kecil berkecimpung dalam dunia seni yang menjanjikan pendapatan mewah setiap bulan, namun baginya ia tidak memberi apa-apa makna. Ikuti pengalaman beliau yang dikongsi bersama Wartawan Harakah SALMIYAH HARUN baru-baru ini.

Harakah: Nampaknya semakin ramai rakan artis berhijrah ke jalan dakwah muktahir ini? Apakah ini fenomena atau trend?

SYAM KAMIKAZE: Saya ada dua jawapan. Pertama saya lihat ia adalah kehendak Allah SWT kita tidak ada upaya untuk berbuat apa-apa. Kalau orang tidak faham penghijrahan itu dan lihat melalui pemahaman dunia dan mengatakan penghijrahan itu adalah 'trend' saya boleh terima.

Zaman dahulu seingat saya orang yang bermain muzik apatah lagi muzik 'rock' ramai yangkata 'trend' muzik ini hisap dadah. Jadi hari ini 'trend' orang yang bermain muzik, menyanyi atau berlakon 'trend' itu tidak diktiraf.

Untungnya muslimat ini 'trend'nya hendak berhijab, saya kira ia baguslah. Dari sini adalah golongan yang kurang faham penghijrahan, kalau yang faham penghijrahan itu atas kehendak Allah, tidak ada siapa boleh larang atau 'stop' penghijrahan itu. Dia tidak akan mempersoalkan lagi.

Biasalah orang yang tidak berapa faham mereka akan tanya seperti itu. Jawapan yang mudah kalau Allah Ta'ala nakkan kita jadi macam itu, maka jadilah kita macam itu. Saya sifatkan penghijrahan saya ini adalah kehendak Allah, dan kalau ia adalah 'trend' ia adalah yang sihat dan bagus.

Artis-artis ini mereka ada peminat. Selalunya akan terpengaruh dengan artis yang dia minat lakukan. Misalnya, heronya adalah Bob Lokman. Bob Lokman ni solat tak tinggal, pergi usrah, tazkirah dan memberi ceramah. Peminat-peminatnya pun sama..."aku nak jadi macam dia jugalah".

Boleh ceritakan perjalanan hidup Saudara dalam dunia hiburan sebelum ini?

Saya adalah bekas Pensyarah di UiTM Shah Alam dalam bidang Jazz Performance. Guru saya adalah ayah saya. Kemudian menjadi pengarah muzik di Akademi Fantasia. Membuat konsert, rakaman dan 'production'. Saya masih lagi duta Fender. Saya akan bawa perkara itu kepada jalan yang baik.

Bagaimana Saudara melihat perjalanan hidup dari awal terlibat dengan dunia hiburan sehingga berhijrah? Kalau dulu Saudara tak penuh solat lima waktu kerana sibuk, dan hari ini masih juga sibuk tetapi boleh menunaikan tuntutan agama.

Apabila kita tahu masa kita untuk beribadah dan mencari ilmu sangat sedikit, dan hari ini baru kita tahu masa itu tidak cukup. Jadi baru kita faham kenapa ulama-ulama dan ustaz-ustaz masa mereka tidak pernah cukup.

Lepas itu Zohor, kemudian Asar, lepas itu kuliah Maghrib dan Isyak. Lepas itu bangun malam bertahjud. Masa dulu kita tak faham dah anggap mana nak cukup masa. Sekarang ini baru kita faham. Jadi sibuk, itu tidak dinafikan. Kita kena pilih sibuk dalam mencari redha Allah atau harta dunia. Itu beza yang paling nyata.

Apa matlamat dakwah Saudara sebenarnya?

Semasa saya mula-mula hijrah saya tidak tahu saya kena dakwah, jadi saya meletakkan tanggungjawab itu atas ulama dan pendakwah atau orang berilmu. Jadi apabila saya jumpa ustaz-ustaz mereka menegaskan semua orang Islam wajib berdakwah.

Jadi saya baru tahu "alamak ye ke?". Ustaz yang mengajar saya memberitahu saya ramai peminat, bagi tahu mereka. Sekarang ini Alhamdulillah, mana-mana program yang mengundang saya sudah tahu sasaran saya adalah orang muda.

Menurut Ustaz berkenaan, orang muda ramai kenal saya sebab orang tua tak ramai yang tengok tv. Mudah-mudahan kalau golongan ini tengok dan peminat saya sebelum ini mungkin berfikir "kalau orang berubah kenapa aku tidak boleh berubah?".

Dalam ceramah-ceramah yang saya ikuti pun saya selalu ingatkan para jemaah, saya bukan ustaz, tetapi saya sedang belajar dari semasa ke semasa. Saya selalu ingatkan perkara yang melibatkan hukum hakam, perlu dirujuk kepada orang yang betul tahu.

Ini kerana kita yang masih baru, bimbang juga hujah yang kita bagi tidak tepat. Sudahlah zaman sekarang ini semakin ramai orang yang sesat. Kita hendak sesatkan lagi pula? Bahaya tu!

Berjaya atau tidak sebagai seorang artis menggunakan platform mereka untuk mengembangkan dakwah mereka?

Saya rasa berjaya! Sebab sudah ramai artis kita berhijrah. Saya sudah berdialog dengan Wardina Safiyyah, Catriona Ross dan terbaru Irma Hasmie. Dan mereka mengakui tidak pandai cakap apatah lagi bercakap soal agama.

Apabila lihat kita bercakap atas kemampuan kita sendiri dengan menceritakan pengalaman kita bukannya berkaitan hukum hakam. Ramai yang seronok, sebab kita berkongsi pengalaman kita kepada peminat-peminat, dan mungkin selepas ini Allah pula bukakan hati peminat-peminat ini untuk sama-sama ke jalan Allah.

Perjalanan dan perjuangan dakwah ini banyak rintangan dan halangan...

Ya betul....

Termasuklah perjuangan Bob Lokman sehingga beliau ditangkap. Tidak bimbangkah situasi ini turut berlaku pada Saudara?

Saya selalu berpesan kepada kawan-kawan saya dan diri ini, bahawa dugaan dan cabaran kita berdakwah hari ini adalah terlalu sedikit, amat berbeza dengan rintangan yang dilalui oleh Rasulullah dan sahabat baginda.

Jangan mengeluh! Kalau kita kena tangkap atas sebab apa sekali pun, itu adalah ujian Allah Taala. Jangan bila nak berdakwah... Allah uji sikit sahaja, terus kita cabut lari. Kita berpegang kepada sirah Nabi. Walaupun ada rintangan, kita masih boleh menyampaikan dakwah dengan terang tidak payah sembunyi-sembunyi.

Saya berpendapat apa yang dialami oleh Bob Lokman itu tidak akan menjadi penghalang untuk artis terus berdakwah. Yang penting kita berserah dan berdoa kepada Allah Taala. Macam Abg Bob sendiri dia dah tahu dan dia berserah 100 peratus kepada Allah Taala, dan apa yang berlaku selepas ini pun itu kehendak Allah.

Sepanjang libatkan diri dalam dunia hiburan sejak kecil lagi sehingga berhijrah tak sampai setahun, bagaimana Saudara rasa?

Saya rasa tujuh bulan ini, lebih bermakna dalam hidup. Saya yang duduk dalam hiburan ini rasa macam-macam sanjungan, hinaan, dan keji. Akhirnya kita tahu mereka kutuk kita pun kita tidak dapat apa!

Begitu juga kalau kita dapat sanjungan baik dapat anugerah atau pengiktirafan, tetapi tidak ada apa-apa makna untuk Allah Taala. Sekarang ini, orang tidak nampak kita buat ibadah dan apa yang di suruh yang penting Dia tahu.

Dia hendak hargai apa yang kita buat. Sebab itu, saya tegaskan apa yang saya buat sebelum ini adalah silap. Kita minta orang yang hargai kita bukannya Allah Taala. Kalau dulu kita ajar, dan tak berterima kasih, kita akan marah. Sebenarnya tidak perlu. Sebab kita adalah perantaraan Allah Taala.

Ramai artis yang beranggapan terlibat dalam dunia dakwah ini susah untuk 'cari makan'?

Saya dah lama tak cari makan. Ramai yang tanya saya bagaimana dengan pendapatan? Allah Taala berfirman, "Aku akan cukupkan!". Apa yang penting Dia mahukan kita bertawakal kepadaNya. Kalau orang yang faham mereka tidak akan nampak jalan ini, tidak susah.

Contohnya, dahulu saya buat konsert dan memperoleh pendapatan mewah setiap bulan. Tetapi hari ini Allah tak bagi kita macam itu. Tetapi tetap cukup, pendapatan kita. Saya tidak pernah lagi tidak dapat bayar rumah dan kereta.

Memang cukup! Memang sentiasa ada! Jadi berbalik kepada apa yang Nabi ajar, jangan serahkan sesuatu perkara itu kepada kita semata-mata tanpa doa kepadaNya.

Apa pesanan Saudara kepada rakan artis yang lain yang mungkin belum sampai masanya lagi berdakwah bersama-sama Saudara?

Saya tidak ada pesanan. Saya mendoakan. Saya pun sedar siapa saya yang hendak memberi pesanan kepada rakan artis saya. Secara umumnya kalau tidak nampak mereka tidak akan faham.

Jadi saya tidak mahu berpesan-pesan, nanti mereka akan melabelkan saya "macam bagus!". Jadi saya mendoakan supaya lebih ramai bukan sahaja rakan artis termasuk keseluruhan umat Islam di beri taufik dan hidayah daripada Allah Taala.

No comments:

Followers