Saturday, October 29, 2011

APABILA HIMPUN KONTANG PENYOKONG: SIGNAL JELAS PRU-13, RAKYAT TIDAK BERSAMA UMNO-BN LAGI

SEBENARNYA sejak awal dirancang, tiada siapa yang mahu percaya HIMPUN akan berjaya menghimpunkan sejumlah besar umat Islam di Malaysia, walaupun kempen yang dijalankan cukup besar, termasuk penggunaan media arus perdana.

Lebih-lebih lagi dengan persetujuan Perkasa mahu menyertai HIMPUN, makin ramai yang menjauhkan diri dari HIMPUN, kerana terbukti selama ini, apa yang dibawa Perkasa dalam pesada politik Malaysia, menjadikan rakyat Malaysia yang sudah Merdeka 54 tahun, tidak selesa dibuatnya.

Dalam khutbah Jumaat yang lalu, ada juga diselitkan dengan pujukan supaya seluruh umat Islam mestilah menghadirkan diri di Perhimpunan HIMPUN kerana mahu menunjukkan kegusaran yang berlaku ekoran cerita murtad yang semakin menjadi-jadi.

Malangnya, pihak penganjur terlupa bahawa rakyat Malaysia sudah matang kini. Walaupun mereka tahu yang gejala murtad menjadi-jadi di Malaysia, tetapi mereka tidak bersedia menjadi mangsa eksploitasi pihak pemerintah yang mahu mengalihkan isu sebenar yang melanda negara.

Dan ini boleh dijadikan 'kayu pengukur' terhadap sokongan pemerintah terhadap program yang mereka anjurkan, walaupun 11 Resolusi HIMPUN khabarnya akan diberikan perhatian oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Jamil Khir Baharom.

Walaupun tidak berniat mahu membandingkan Perhimpunan HIMPUN degan Perhimpunan Bersih 2.0 yang lalu, rakyat kini lebih bersedia berhimpun dalam kesusahan dan semburan gas pemedih mata, jika ia menyentuh tentang penyelewengan yang lebih kepada penyatuan dalam kepelbagaian.

Kurangnya audien, dengan tidak ada penyertaan PAS dan Keadilan, sekaligus semangat mereka yang mahu berhimpun kini terserlah, bahawa mereka sedih bersusah payah dengan perbelanjaan sendiri dan kemungkinan mendapat kesusahan dan ada yang kehilangan nyawa, jika tidak melibatkan pemerintah.

Sedikit sebanyak Umno akan malu dengan perkembangan ini. Walaupun banyak NGO yang menyokong Umno mahu ahli-ahli mereka menyertai perhimpunan ini, tetapi, inilah jawapan mereka bahawa mereka tidak bersedia untuk dipergunakan.

Bagi yang hadir, mungkin juga kerana kesedaran tentang gejala murtad tetapi mereka tidak mendapat sokongan padu dari orang ramai yang juga mempunyai kesedaran dan kebimbangan mengenai gejala tersebut.

Apa lagi yang mahu dikatakan oleh Perkasa dan rakan-rakan yang sewaktu dengannya? Bayangkan kalau Perkasa yang menelurkan idea mengadakan HIMPUN ini, barangkali tidak sampai satu persepuluh jumlah kehadiran yang akan memenuhi perhimpunan tersebut.

Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin tentunya terhambat dengan rasa kecewa yang amat sangat dengan perkembangan ini, kerana ketika mereka bersedia menggunakan isu murtad dan Akta Murtad sebagai modal Pilihan Raya Umum (PRU 13) akan datang, HIMPUN yang mendapat restu Umno dan kerajaan, tidak menunjukkan situasi berpihak kepada BN.

Apa lagi usaha PM dan TPM, selain 'walk a about' dan Umno Juara Rakyat yang sudah semakin menyepi? Bajet 2012 yang dikatakan menjanjikan macam-macam ganjaran juga tidak membuatkan orang Melayu dan Islam berhimpunan di Perhimpunan HIMPUN?

Najib dan Muhyiddin mungkin sudah buntu memikirkannya. Slogan atau Gagasan 1Malaysia yang cuba dijual selama ini juga tidak membangkitkan semangat apa-apa kepada petugas Umno dan BN kecuali lambang 1Malaysia yang mereka tampal di dada baju yang mereka pakai setiap masa.

Umno tentu tidak sedap badan dibuatnya. Pemuda Umno di bawah kepimpinan Khairy Jamaluddin Abu Bakar (KJ) juga semakin binggung dengan sikap Najib yang tidak memperdulikan sayap itu, sehingga menyebabkan ada yang sudah berani mengatakan 'mereka putus harapan' dengan Najib yang berlaku tidak wajar terhadap KJ.

Barisan lama yang membarisi kabinet Najib juga merimaskan. Ketua Pergerakan Wanita Umno hanya seorang Senator dan Presiden Gerakan dan MIC yang menjadi Menteri Di Jabatan Perdana Menteri juga merupakan Senator.

Apakah Najib masih bercadang mahu mengekalkan mereka ini selepas PRU 13 akan datang, kerana tempoh Senator mereka mungkin sudah sampai ke penghujung dan mungkin juga mereka akan tewas sekali lagi dalam PRU 13 seperti mana mereka ini tewas dalam PRU 12, 2008 yang lalu.

Pastinya bekas Perdana Menteri seperti Tun Abdullah Ahmad Badawi sudah tidak perlu dicalonkan lagi mewakili BN. Begitu juga bekas-bekas Menteri Besar yang sudah tidak diperlukan seperti Idris Jusoh dan Shahidan Kassim, sudah barang tentu disenaraikan untuk digugurkan.

Bagaimana dengan bekas Menteri seperti Syed Hamid Albar, Abdullah Mohd Zin dan Mohd Zin Mohamad?

Jika Najib merasakan tenaga muda diperlukan, siapakah mereka? Apakah Najib mahu dikenali sebagai PM 'kitar semula' dengan mengekalkan mereka yang sudah tamat tempoh perkhidmatannya? Ini semua menyebabkan orang Melayu yang selama ini bersama Umno dan menyokong BN menjauhkan diri mereka dari pemerintah.

Mereka sedar, transformasi yang Najib laung-laungkan hanyalah pemanis bibir untuk menutup segala kelemahan dan kekurangan. Apakah Najib tahu bahawa semua ini sudah tidak laku lagi di zaman yang serba canggih ini?

HIMPUN sebenarnya satu medan ujian yang sangat berguna buat Umno dan BN. Malahan, jika Perkasa dapat menghimpunkan semua ahli-ahlinya yang didakwa sudah beratus ribu orang, juga boleh menjanjikan Presidennya mendapat tempat di Pasir Mas, malangnya, ia kini menjadi harapan hampa kepada mereka.

Cukuplah! Jangan semua perkara mahu dipolitikkan. Jangan semua hal mahu dieksploitasi. Ini bukan zaman 70 an dan 80 an lagi. Zaman sudah berubah. Lebih baik pemuda-pemuda Melayu menonton perlawanan bolasepak antara Selangor dengan Terengganu atau antara T Team dengan Negeri Sembilan.

Di sini mereka dapat merasakan kebebasan sebenar sedangkan ketika di HIMPUN, jika mereka hadir, mereka merasakan diri mereka diperkudakan oleh mereka yang masih kepingin mengekalkan kuasa. Dari jauh, Najib dan Muhyiddin tentunya kecewa kerana usaha memasang perangkap menarik sokongan bagi menyerang PAS tidak berjaya.

Percayalah, selepas ini tiada lagi perhimpunan sebegini, lebih-lebih lagi yang bernama Perhimpunan Sejuta Umat mahu dianjurkan kerana risiko untuk mereka dimalukan cukup tinggi.

Akhirnya, mereka tahu bahawa cerita mengangkut orang untuk menunjukkan mereka masih ramai penyokong sudah tidak boleh dilakukan lagi. - safar jumaat

No comments:

Followers