Tuesday, August 16, 2011

Projek pelaburan gas: Kenapa BN petlu bohong?

Badan Perhubungan PAS Negeri Perak melihat Kerajaan Negeri rampasan kuasa Barisan Nasional (BN) gagal memberikan penjelasan manasabah terhadap isu projek pelaburan gas di Manjung yang dianugerahkan kepada Syarikat Atigas Technology yang tidak jelas kedudukannya setelah didedahkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Pantai Remis, Nga Kor Ming di Sidang DUN Perak semalam. Sepertimana kebiasaan BN, teks alasan 'kepentingan rakyat' telah sekali lagi dijadikan lesen mereka bagi menutup sebarang kelemahan dan pembohongan dengan tujuan mengaut keuntungan dan kepentingan pihak tertentu.
 
Beberapa persolan yang tidak dijawab secara jujur oleh Datuk Hamidah Osman di dalam Sidang DUN Perak semalam, jelas menunjukkan keraguan terhadap projek yang bernilai RM5.8 bilion tersebut. Ini kerana melalui carian syarikat tersebut menunjukkan ianya tidak aktif dalam pengkalan data Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), tiada rekod urusan perniagaan dan keuntungan syarikat dan hanya mempunyai modal awal sebanyak kurang daripada RM100. Namun setelah didedahkan isu syarikat tersebut, tiba-tiba syarikat tersebut dilaporkan mempunyai modal berbayar sebanyak RM5 Juta.
 
Keputusan Kerajaan BN ini amat mendukacitakan rakyat dan membuktikan bahawa BN masih tidak berubah dalam memperjudikan nasib dan wang rakyat demi kepentingan mereka. Adalah tidak masuk akal projek bernilai RM5.8 bilion itu diserahkan kepada syarikat yang bukan hanya tiada pengalaman di dalam mengendalikan urusniaga mega bahkan amat diragui akan latar belakangnya kerana tiada maklumat yang jelas mengenai syarikat tersebut. Malah terdapat juga keraguan berikutan kelulusan tanah seluas 60 hektar kepada syarikat tersebut kerana ternyata hanya selepas kelulusan itu syarikat tersebut terus dilaporkan mempunyai modal berbayar yang amat tinggi.
 
Persoalan yang timbul kini, kenapa projek besar tersebut tidak dibuat secara tender terbuka bagi menunjukkan ketelusan Kerajaan Negeri Perak di bawah BN. Siapakah dibelakang tadbir Syarikat Atigas Technology yang dipertahankan oleh Datuk Hamidah? Banyak persoalan yang tidak terjawab di dalam pemberian projek besar ini yang tentunya akan membawa kepada keraguan dan pertikaian rakyat terhadap ketelusan projek ini dan kewibawaan BN di dalam membuat keputusan tepat demi kepentingan rakyat Perak. Malah isu ini secara umumnya menggugat kredibiliti setiap pemberian dan kelulusan projek besar yang dibimbangi mempunyai agenda tersembunyi BN.
 
Oleh yang demikian, kami mencabar BN agar bersikap adil dan telus di dalam menguruskan 'wang rakyat' dan bukannya untuk kepentingan kroni-kroni tertentu sahaja. BN perlu jujur di dalam menjalankan tanggungjawab serta amanah rakyat!

AHMAD NURI AL-AMIN
Ketua Penerangan,
Badan Perhubungan PAS Negeri Perak.

1 comment:

Alhamdulillah said...

Perlu dijelaskan kepada rakyat apa yang sebenarnya berlaku terhadap apa yang telah difitnah oleh Nga Kor dan pemimpin pembangkang yang lain

Kerajaan negeri Perak bukan memberi projek kepada syarikat Atigas sebaliknya syarikat itu menawarkan pelaburan kepada kerajaan negeri dengan nilai RM5.8Billion

Walaubagaimana pun kerajaan negeri telah memberikan tempoh dua tahun kepada Atigas Technology Sdn Bhd (Atigas) untuk membangunkan kawasan seluas 60 hektar di Tanjung Hantu, Segari di Manjung bagi projek pembinaan kemudahan membekal gas cecair asli (LNG).

Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Pelancongan dan Hal Ehwal Wanita negeri, Dato' Hamidah Osman berkata, sekiranya gagal dibangunkan mengikut tempoh, kawasan itu akan dirampas dan dibangunkan untuk projek lain.

''Walaupun begitu syarikat berkenaan telah membayar premium sebanyak RM25 juta kepada kerajaan negeri Perak dan kerajaan negeri tetap akan merampas tanah itu kerana telah termaktub di dalam perjanjian yang termeterai sebelum ini.

''Begitu juga dengan tanah-tanah kerajaan lain yang diluluskan untuk industri tetapi sengaja disimpan dan dilewat-lewatkan pembangunan akan berhadapan dengan perkara yang sama,''katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Untuk perhatian tuduhan bahawa syarikat yang akan melabur hanya mempunyai modal RM100.00 adalah salah. Sebelum perjanjian dibuat syarikat telah menunjukkan semua aset yang ada termasuk mempunyai modalberbayar RM5 juta.

Kemungkinan semasa mula-mula ditubuhkan Atigas hanya bermodalkan RM100 tetapi difahamkan modal berbayar pada masa ini telah dinaikkan kepada RM5 juta.

Jika pembangkang termasuk DAP dan PAS kurang faham kepada penerangan kerajaan dalam dewan mereka boleh datang ke pejabat Exco Pelaburan untuk penerangan selanjutnya

Mereka tidak perlu membuat andaian dan tomahan liar yang boleh mengelirukan rakyat.

Kerajaan negeri mengambil sikap profesional dalam hal ini dan sentiasa memikirkan keuntungan kepada negeri dan rakyat negeri Perak

Kilang LNG di Tanjung Hantu yang melibatkan perlaburan sebanyak RM5.8 billion itu adalah yang kedua di rantau Asia Tenggara selepas Singapura dan ia bakal menyediakan sebanyak 3,000 peluang pekerjaan.

Apabila siap kilang itu kelak, kerajaan dijangka dapat menjimatkan subsidi sebanyak RM2 bilion setahun kerana Atigas menawarkan harga yang sama dengan gas yang telah disubsidi kepada pengguna.

Followers