AMALAN RAMADHAN: APA CERITA PERAK?
Badan Perhubungan PAS Negeri Perak kesal dengan kegagalan Kerajaan Negeri Perak memberikan sebarang reaksi terhadap usaha Kerajaan Negeri Kedah melaksanakan penguatkuasaan melarang umat Islam menghadiri Pusat Hiburan di bulan Ramadhan. Keputusan Kerajaan Negeri Kedah itu telah mendapat sambutan dari negeri-nageri lain seperti Selangor dengan membuat larangan secara terbuka jualan minuman arak kepada umum dan terbaru adalah tindakan Majlis Perbandaran Kuantan, Pahang yang akan menguatkuasakan larangan wanita Islam bekerja di Pusat Hiburan. Namun Kerajaan Perak hanya berbangga dengan menjuarai pembatalan lesen perniagaan bazar Ramadhan sahaja.
Nampaknya Kerajaan Negeri Perak di bawah Barisan Nasional (BN) yang mempunyai 27 orang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Umno sebagai parti teras masih jelas kurang berupaya untuk mengangkat martabat agama Islam dengan menjaga kehormatan dan kemuliaan bulan Ramadhan dengan bentuk penguatkuasaan. Tidak pula kedengaran ketegasan Kerajaan Negeri Perak untuk melaksanakan penguatkuasaan sepertimana di Selangor, Kedah dan Pahang tersebut. Sepatutnya inilah peluang dan ruang bagi Umno membuktikan bahawa mereka serius dalam memelihara dan meninggikan syiar Islam tetapi malangnya hanya membiarkan perkara tersebut berlalu sahaja.
Mungkin tawaran pembatalan lesen peniagaan bazar Ramadhan yang memberi manafaat material kepada sesetengah rakyat adalah perkara yang paling utama oleh Kerajaan Negeri Perak di bawah BN. Sedangkan usaha memelihara kemuliaan dan martabat keimanan umat Islam agar menjauhkan amalan yang menambah dosa dan mengundang kemurkaan Allah ini tidak diberikan perhatian. Bagi PAS Perak, kami akan sentiasa menyokong usaha Kerajaan Negeri Perak di dalam memastikan semua kecenderongan ke arah kemaksiatan dapat ditegah terutamanya menjelangnya bulan yang mulia ini. Oleh yang demikian, kami mengharapkan tindakan susulan bagi usaha tersebut dan Kerajaan Negeri Perak perlu berani di dalam memastikan akidah umat Islam terus terpelihara.
AHMAD NURI AL-AMIN
Ketua Penerangan,
Badan Perhubungan PAS Negeri Perak.
No comments:
Post a Comment