Sunday, August 28, 2011

Fahaman perkauman musuh no. 1 negara

Fahaman perkauman adalah barah no. 1 negara dan ia bukan merupakan preskripsi ubat yang cocok untuk menyelesaikan masalah politik dan sosial negara ini. Jika dahulu penjajah menjual fahaman ini sebagai syarat utama peralihan pewarisan kuasa daripada tangan penjajah ke tangan kerajaan Persekutuan, kini ia masih digunakan sebagai senjata tembak terakhir apabila segelintir pihak gagal menyelesaikan sesuatu isu.

Bila Pulau Pinang jatuh ke tangan Pakatan Rakyat, perkauman melayu ditiupkan dan dilagakan dengan polisi kerajaan negeri. Bila Pilihanraya Sarawak 2011 menyaksikan peningkatan undi pembangkang, rasis melayu terpekik melolong mengatakan kaum Cina bersatu menghancurkan melayu.


Bila isu gereja menyuap makanan kepada fakir miskin melayu, perkauman sekali lagi dikumandangkan walaupun ada cara agama yang lebih baik dan sesuai boleh digunakan.


Selepas Abdullah Badawi kini Perdana menteri terbaharu Najib pula kelihatan ingin diguling oleh rakan-rakannya sendiri atas nada perkauman walaupun diberikan alasan ekonomi, sosial dan kestabilan politik.


Laporan dalam portal berita, oleh Muda Mohd Noor, mencerita berkenaan Penawar, sebuah

badan bukan Kerajaan yang disertai oleh beberapa bekas ahli Parlimen UMNO yang dikatakan tidak puas hati dengan Dato Seri Najib sebagai Perdana Menteri.


Isu siapa lebih melayu antara Najib atau Muhyiddin Yasin memberi kesan besar kepada masa depan UMNO lebih daripada isu siapa lebih bertaqwa atau siapa lebih bermoral antara Najib dengan Muhyiddin.


Dengan banjirnya NGO perkauman seperti PERKASA yang bukan sahaja taksub dengan DNA Melayu (yang tidak akan ditanya oleh Allah di mahsyar kelak) malah cukup aktif mengeluar kenyataan jahil dan dangkal minda berhubung denga isu semasa (isu BERSIH, Kes tuduhan Liwat dan sebagainya). NGO sebegini diproksikan untuk menjadi tajdid semangat taksub bangsa, sebagai timbangtara jika UMNO tersasar daripada matlamat perkaumannya atau cenderung kepada Malaysian.


Najib dimomokkan sebagai pelopor fahaman Malaysian apabila giat mengantikan islam hadhari dengan fahaman 1 Malaysia yang semestinya ada nilai kejamakan kaum dalamnya. Sedangkan dahulu DAP pernah diserang teruk di Pulau Pinang apabila giat berkempen fahaman malaysian untuk semua warganegara.


Jika perkauman melayu digunakan untuk menjatuhkan dan memburuk kerajaan pakatan rakyat, kini ia menjadi senjata merosakkan dalaman UMNO.


Mahathir sendiri dalam blognya cuba melegitimasi fahaman perkauman;

Saya pernah dilabel Malay ultra tetapi sepanjang saya menjadi Perdana Menteri apakah Melayu sahaja yang diberi layanan dan mendapat nikmat. Apakah pembangunan Malaysia dihasilkan oleh orang Melayu semata-mata dan mereka sahaja yang meraih kekayaan” . (http://chedet.cc/blog/?p=566#more-566 )


Biarlah digelar perkauman asalkan semua kaum ada peluang dalam negara ini. Ini bukan alasan yang bijak untuk menghalalkan semangat perkauman etnik yang jelas rekos pentadbiran beliau penuh dengan kronisme dan ketidak adilan.


Adalah lebih baik beliau berkata “walaupun saya penganut islam dan menobatkan syariah Islam, agama lain masih boleh diamal secara bebas di negara ini”. Inilah jawapan yang kita inginkan daripada pemimpin etnik Melayu.


Fahaman perkauman umpama konsep ‘daurr’ dan ‘tasalsul’ dalam ilmu kalam (Aqidah) iaitu tiada kesudahannya, tiada penyelesaian, malah Hitler sendiri keletihan akhirnya apabila berjuang atas nama ras Aryan. Yang masih mendabik dada atas nama kaum hanyalah Zionis atas nama ras yahudi bani Israel. Adakah kita menjejak langkah Israel?


Walaupun Ibnu Khaldun menyarakankan penggunaan konsep asobiyyah untuk kelancaran proses pentadbiran serta mengelakkan kesusahan kepimpinan, ia bukan suatu lesen besar untuk kita membina negara melalui formula perkauman. Asobiyah atau perkauman (qaumiyyah) adalah nilai semulajadi sejajar dengan penciptaan Allah namun ia perlu dikawal sebaiknya sehingga kita memahami batas pemisah manusia hanyalah iman dan taqwa kepada Allah.


Adakah pemimpin etnik Melayu Malaysia tidak mengambil iktibar betapa negara yang diasaskan oleh dasar perkauman seumpama Singapura tidak selamanya berada di atas persada dunia. Lambat laun fahaman itu pasti menggigit pemimpin-pemimpinnya. Kita hingga kini gagal bersaing dengan Singapura apabila fahaman perkauman Cina Lee Kwan Yew cuba diatasi dengan kesatuan semangat perkauman Melayu suatu ketika dahulu.


Muhammad Nuruddin Bashah

Ketua Penerangan DPPK Gopeng


No comments:

Followers