Friday, January 1, 2010

2009, tahun politik yang celaka

Pelbagai isu besar muncul sepanjang tahun 2009, tahun yang tidak jauh dramatiknya berbanding tahun sebelumnya, 2008, yang menyaksikan kemenangan besar parti-parti Pakatan Rakyat dalam pilihan raya umum.

Tahun 2009 bermula dengan rakyat menyaksikan krisis di Perak apabila Umno dan Barisan Nasional merampas pemerintahan negeri Perak daripada PR melalui tindakan lompat parti tiga Adun PR, dua daripada PKR (Jamaluddin Mat Radzi dan Mohd Osman Jailu) dan satu DAP (Hee Yit Foong).

Ketiga-tiga mereka keluar daripada parti masing-masing dan mengisytiharkan diri bebas dan menyokong BN. Usaha Menteri Besar Mohammad Nizar Jamaluddin membubarkan dewan untuk mengadakan pilihan raya melalui pertemuan dengan Sultan Perak Sultan Azlan Shah tidak berjaya.

Umno dan BN berjaya menubuhkan kerajaan dan meletakkan Zambry Abdul Kadir sebagai menteri besar baharu, menerajui kerajaan yang terus dipertikaian penyokong-penyokong PR sehingga kini.

Perjuangan PR walau bagaimanapun diteruskan, dengan mengadakan perhimpunan di bawah pokok, mendesak pembubaran dewan dan pelbagai kempen politik terhadap kerajaan diterajui Zambry.

Pada Februari, kerajaan PR Selangor menerima tekanan apabila gambar bogel exco Elizabeth Wong muncul dan disebarkan di internet. Tekanan ini walau bagaimanapun ditangani dengan tenang oleh kerajaan pimpinan Tan Sri Khalid Ibrahim.

Wong meneruskan tugasnya sebagai exco dalam kerajaan negeri Selangor, tetapi pendedahan gambar itu menunjukkan satu standard yang sangat rendah yang mula menular dalam politik negara.

Pada bulan Julai, negara melihat satu lagi kecelakaan apabila seorang pembantu Ean Yong Hian Wah wakil rakyat di Selangor, Teoh Beng Hock ditemui mati di bangunan menempatkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Shah Alam.

Kematian yang penuh misteri itu mencatat sejarah hitam dalam kisah politik Malaysia tahun 2009, kerana tempat kejadian itu berlaku dan pelbagai spekulasi dan dakwaan yang timbul ekoran kematian Teoh.

Sehingga hari ini, keluarga Teoh masih mencari keadilan untuk mendiang. SPRM dan kerajaan BN menerima kritikan hebat banyak pihak akibat kejadian ini, kerana usaha menjatuhkan kerajaan PR di Selangor dilihat sebagai satu agenda besar yang membawa kepada siasatan terpilih SPRM.

Pada akhir Ogos, sekumpulan peserta demonstrasi terdiri daripada kumpulan bukan kerajaan dan penduduk tempatan di Seksyen 23 Shah Alam mengarak kepala lembu sebagai protes terhadap pembinaan kuil di kawasan itu.

Mereka mengarak kepala lembu itu ke bangunan Setiausaha Kerajaan Selangor di Shah Alam, mengatakan kepala lembu itu ditujukan kepada pemimpin-pemimpin PR negeri Selangor.

Tindakan itu mencetuskan kemarahan ramai disebabkan kaitan antara lembu dengan agama Hindu. Tindakan itu jelas mengemukakan sesuatu yang boleh disalah tafsir dan membawa kepada provokasi.

Kumpulan-kumpulan Hindu dan PR mengecam tindakan itu dan enam daripada peserta demonstrasi itu kemudian didakwa di bawah Akta Hasutan.

Sepanjang 2009, secara berterusan PR dan PAS di Selangor menghadapi pelbagai tekanan dan permainan politik pihak tertentu, yang terbaharu demonstrasi mendesak PAS keluar daripada PR.

PAS dengan tegas menyatakan terus bersama PR dalam kerajaan negeri Selangor, walaupun menerima tekanan dan kritikan.

Memasuki tahun 2010, cabaran dihadapi PAS dan PR dijangka akan lebih hebat lagi, memandangkan Pilihan Raya Umum ke-13 yang semakin hampir.

Umno dan BN pasti akan melakukan pelbagai usaha untuk melemahkan gabungan PR supaya lawan mereka dalam pilihan raya umum nanti lebih lemah berbanding pilihan raya umum lalu.

Dengan terjalinnya kerjasama PR dengan lebih rapat selepas konvensyen Pakatan Rakyat pertama berjaya diadakan, PR mempunyai potensi untuk mengambil pengajaran daripada apa yang berlaku sepanjang 2009.

PR kini boleh memasuki tahun 2010 dengan menanam azam untuk bergerak dengan lebih bijak.

Kecelakaan yang dialami sepanjang 2009 perlu dijadikan pendorong untuk sentiasa bersedia sepanjang masa menghadapi cabaran yang bakal muncul.

No comments:

Followers