Monday, January 4, 2010

Kalimah Allah adalah hak asasi insan - Dr Muhd Nur Manuty

Dr. Muhd Nur Manuty, Pengerusi Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama (BIPPA) Parti KeADILan Rakyat telah mengeluarkan kenyataan berikut:

"Merujuk kepada rentetan pelbagai kontroversi berterusan yang masih wujud berhubung penggunaan kalimah 'Allah' oleh pelbagai agama selain dari agama Islam di negara kita Malaysia sekarang ini, maka BIPPA PKR sukacita menjelaskan pendirian kami mengenai hal ini.

Kami berpendirian bahawa, keinginan rakyat bukan Islam menggunakan kalimah “Allah” sebagai Tuhan adalah suatu perkembangan yang sangat positif dan perlu diterima secara terbuka dan berlapang dada. Umat Islam di Malaysia tidak perlu menjadi gelisah dan “over react” dengan pelbagai andaian dan kemungkinan dengan fenomena yang dikata baharu ini. Sesungguhnya, kami melihat bahawa fenomena ini adalah manifestasi dari fitrah insani sejak dari azali lagi bahawa kesemua manusia memperakui keesaan dan penciptaan dunia oleh Allah SWT sebagaimana firmanNya yang bermaksud:

"Dan jika kamu tanya mereka (orang kafir) siapakah yang mencipta langit dan bumi? Mereka akan berkata Allah..." (Al Quran, Az-Zumar (39):38).

Adalah jelas bahwa penggunaan kalimah Allah oleh penganut bukan Islam telah berlaku sejak dari dahulu lagi, khususnya bagi para penganut agama samawi. Sebahagian dari kitab suci mereka memang menggunakan kalimah Allah (terutama di Timur Tengah). Di dalam kehidupan harian mereka hari ini, penggunaan Bismillah, Alhamdulillah, Masya Allah, Astaghfirullah, Wallahi dan sebagainya bukanlah suatu yang pelik dan janggal. Di Indonesia, penggunaan kalimah Allah di gereja-gereja memang telah lama menjadi kebiasaan. Begitu juga bagi bagi penganut agama Kristian di Sabah dan Sarawak.

Adalah jelas bahawa menggunakan kalimah Allah untuk mengiktiraf dan membesarkan Allah sebagai Tuhan, adalah hak asasi setiap insan. Hak ini perlu dihormati dan tidak boleh dihalang. Bukankah Allah itu Tuhan untuk semua - Rabbul `aalamiin atau Lord of the Universe?

Maka itu, kami melihat fenomena ini adalah bertepatan dan serasi dengan wadah dan perjuangan KeADILan selama ini. Malahan, perjuangan untuk menegak yang makruf dan mencegah kemungkaran akan menjadi lebih mudah dan selesa sepertimana firman Allah:
"Katakan wahai Ahli Kitab, mari tegakkan kalimah yang sama antara kami dan kamu iaitu bahawa kita tidak akan menyembah selain Allah dan tidak mensyirikkan (associate) Allah dengan satu apapun serta janganlah ada antara kita yang mengambil tuhan-tuhan selain Allah. Dan jika mereka berpaling maka katakanlah bahawasanya kami adalah orang Islam (menyerah diri pada Allah)" (Surah Ali `Imran(3):64).

1 comment:

PKR (PERAMPAS KUASA RAKYAT) said...

Wahai ajijoi,

Memang benar kata Dr Nur Manuty.

Dalam isu ini, barulah jelas bagaimana pemimpin PR termasuk PAS yang kononnya juara mengenai Islam bercakap pasal ini.

Macamlah UMNO dan BN tak tahu hal ini pada pandangan pemimpin Ajijoi.

UMNO dan BN lebih tahu hal pentadbiran dan pemerintahan berkaitan Islam berbanding PAS yang hanya tahu mengenai Islam tapi gagal mengetahui Islam dalam kerangka pentadbiran dan pemnerintahan sebab tak pernah memerintah negara yang sehingga kini terkebil-kebil untuk mendapatkannya.

Dulu PAS kata Perlembagaan Persekutuan adalah perlembagaan penjajah. Dalam kenyataan rasmi PAS, sebut sikit pasal Perlembagaan Malaysia. Buat apa sebut kalau ia datang dari penjajah.

Cuba Ajijoi fikir apa, kenapa, bagaimana, siapa, bila dan kepada siapa sebenarnya penggunaan kalimah ALLAH ini oleh akhbar mingguan Gereja Katholik itu.

Memang benar kata Nur Manuty tapi Ajijoi tahukah perancangan gelap musuh Islam yang selama ini banyak disentuh oleh cendikiawan Islam di Malaysia dan seluruh dunia.

Di sinilah kelemahan pemimpin PR seperti Nik Aziz, Hadi, Nur Manuty, Khalid Samad dan lain yang seolah2 gagal memahami tindakan sebenar gereja katholik tersebut.

Kenapa tak tanya tentang niatnya, kenapa sekarang, kenapa di Malaysia sahaja dan kenapa tiada keterangan dan kertas cadangan dari pihak gereja.

Dan banyak lagi perkara lain yang harus diambil kira.

Jangan hanya bercakap sahaja tapi tak memahami keadaan dunia ketika ini berkaitan dengan Islam.

Sekian.

Followers