Thursday, January 14, 2010

Umat Islam digesa tunaikan solat sunat gerhana matahari

Saya selaku pesuruhjaya PAS Perak, menyeru supaya seluruh umat Islam dan ahli PAS Perak khususnya untuk menunaikan solat sunat gerhana matahari yang jatuh pada esok hari mulai antara 3.15ptg hingga 5.45 ptg.

Solat Sunat Gerhana atau juga dikenali sebagai solat sunat Kusuf atau Solat Khusuf merupakan solat yang didirikan sewaktu terjadi gerhana bulan atau matahari. Solat sunat gerhana matahari dalam istilah arabnya : Solat Sunat Kusuf. Solat sunat gerhana bulan dalam istilah arabnya : Solat Sunat Khusuf.

Kusuf dari segi bahasa bermaksud terlindungnya cahaya matahari samada terlindungnya itu dalam bentuk juzu’nya atau keseluruhannya. Khusuf pula mutlak digunakan untuk lindungan cahaya bulan secara juzu’ atau pun keseluruhannya. Ramai ulama’ yang menyatakan bahawa kedua-dua kalimah itu boleh digunakan untuk kedua-duanya sekali samada gerhana bulan atau pun matahari.

Hukum Solat Gerhana Matahari

Hukumnya adalah sunat muakkadah atau pun sunat yang digalakkan.

Ini berdasarkan daripada hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim yang bermakna : Sesungguhnya matahari dan bulan merupakan dua tanda daripada tanda-tanda (kebesaran) Allah tidak berlaku gerhana pada kedua-duanya kerana kematiaan seseorang dan tidak pula kerana kelahirannya. Maka apabila kamu melihat perkara itu maka sembahyanglah dan berdoalah sehingga kembali terang(hilang gerhana) apa dengan kamu.

Hadis ini keluar daripada mulut Rasulullah s.a.w pada hari kematian anak lelakinya Ibrahim di mana ramai orang mendakwa bahawa kematian Ibrahim inilah yang menyebabkan matahari bersedih sehingga berlakunya gerhana. Mengikut kepercayaan mereka ketika jahiliah di mana apabila berlakunya gerhana matahari atau pun bulan maka mereka beranggapan bahawa berlakunya sesuatu gerhana disebabkan kematian seseorang yang besar dan mulia.

Rasulullah s.a.w telah menyangkal kefahaman karut ini lalu bersabda sebagaimana tersebut. Begitulah juga dengan kebanyakan kita hari ini yang mana mereka bukan bersegera untuk solat gerhana apabila berlakunya sesuatu gerhana tetapi sebaliknya mencari sesuatu untuk memukul pangkal-pangkal pokok buahan supaya berbuah lebat. Perkara ini jika melibatkan kepercayaan yang berlawan dengan kekuasaan Allah dalam
membuat sesuatu boleh membawa kepada syirik.

Cara Solat Sunat Gerhana

Solat gerhana ini disunatkan untuk ditunaikan secara berjemaah dengan diseru sebelum mendirikannya : as-Solatu Jaami’ah!! ( Solat berjemaah )

Niatnya : “Sahaja aku solat sunat gerhana matahari dua rakaat mengikut imam kerana Allah Ta’ala” – (Jika berimam) ataupun “Sahaja aku solat sunat gerhana matahari dua rakaat kerana Allah Ta’ala” – (Jika solat seorang diri)

Solat gerhana ini boleh dilakukan secara berseorang atau secara berjemaah dan sebaiknya dilakukan secara berjemaah. Solat Gerhana mengandungi 2 rakaat, 4 al-Fatihah, 4 rukuk, dan 4 sujud. Iaitu seperti berikut :

Rakaat pertama

1. Niat solat Gerhana, Takbir

2. Baca Surah Al-Fatihah dan surah

3. Rukuk

4. I’tidal

5. Baca Al-Fatihah dan surah

6. Rukuk.

7. I’tidal.

8. Sujud dan seterusnya seperti solat biasa.

Rakaat kedua

1. Niat solat Gerhana, Takbir.

2. Baca Al-Fatihah dan surah.

3. Rukuk.

4. I’tidal,

5. Baca Al-Fatihah dan surah.

6. Rukuk.

7. I’tidal.

8. Sujud

9. Tahiyyat Akhir

No comments:

Followers