Monday, January 26, 2009

Raja Nazrin lawat keluarga pengawal

RAJA NAZRIN diiringi Tuanku Zara menyampaikan sumbangan kepada Lin Moy, di Taman Tinggi, Ipoh, semalam.


IPOH: Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah dan Raja Puan Besar Perak, Tuanku Zara Salim petang semalam, berkenan meluangkan masa menziarahi keluarga mangsa yang tertimbus dalam kejadian batu kapur runtuh di sini, dua minggu lalu.

Baginda turut menyampaikan hadiah dan wang tunai kepada kakak angkat mangsa, Lip Lin Moy, 58, yang tinggal di Taman Tinggi dekat sini, bersama empat anaknya. Hadir sama, Ketua Polis Perak, Datuk Zulkifli Abdullah dan isteri serta Datuk Bandar Ipoh, Roshidi Hashim dan isteri.

Dalam kejadian 11 Januari lalu, Yip Lum Choon, 55, yang baru bertugas sebagai pengawal di Tokong Gua Perak, Jalan Kuala Kangsar, maut selepas bongkah batu runtuh menimpanya.

Sementara itu, Lin Moy berkata, beliau terharu Raja Dr Nazrin dan Tuanku Zara sudi melawat keluarganya pada petang Tahun Baru Cina. "Beberapa hari lalu, polis memberitahu saya Raja Nazrin akan datang melawat hari ini (semalam).

“Saya gembira kerana baginda sudi datang ke rumah rakyat biasa, lebih-lebih lagi sebelum menyambut Tahun Baru Cina,” katanya. Lin Moy yang juga seorang suri rumah berkata, adik angkatnya, mendiang Lum Choon masih bujang dan tinggal bersama keluarganya sejak beberapa tahun lalu.

No comments:

Followers